Pada hari ini 22.06.1956,
lahirlah DBP di Bukit Timbalan, Johor Bharu sebagai sebuah agensi bagi
mengembangkan bahasa Melayu dan menjadikannya bahasa kebangsaan dan bahasa
rasmi negara merdeka. Setahun kemudian, DBP telah dipindahkan ke Kuala Lumpur
dengan Pengarahnya yang pertama Prof. Diraja Ungku Aziz. Tugas utama Dewan
Bahasa dan Pustaka ketika itu hanyalah membina dan melengkapkan bahasa. Dalam
tahun 1959, melalui sebuah Akta Parlimen, DBP telah bertukar taraf dari sebuah
Jabatan Kerajaan menjadi sebuah Badan Berkanun yang mana matlamatnya antara
lain memajukan dan memperkayakan Bahasa Kebangsaan, memajukan bakat
kesusasteraan, mencetak dan menerbitkan buku-buku, risalah-risalah dan
lain-lain persuratan dalam bahasa kebangsaan dan bahasa lain serta menyamakan
ejaan dan bunyi sebutan dan membentuk istilah-istilah yang sesuai dalam bahasa
kebangsaan. Pada 31 Januari 1962, DBP telah berpindah ke bangunannya sendiri di
Jalan Wisma Putra. Semenjak penubuhannya di Johor Bahru, DBP telah memainkan
peranan yang penting dalam memajukan dan mendaulatkan Bahasa Melayu dan hingga
kini terus bergiat dalam pengembangan bahasa dan sastera agar menjadi lebih
mantap.
Ad
Labels
- AGAMA
- AKHYARLSJDT
- ARKIB LIGA MALASIA
- BELASUNGKAWA
- BICARA AGAMA
- HADIS-JAKIM
- HARI INI DALAM SEJARAH
- HIDUPAN LIAR
- HOKI MALAYSIA
- KARTUN
- PASIR PUTEH
- PASUKAN BOLASEPAK MALAYSIA
- PELANCONGAN
- PEMAIN MUDA 2017
- PENDIDIKAN
- PENGASUH 1918-1955
- PENYELIDIKAN SEJARAH AHMAD
- PIALA DUNIA
- PIALA FA
- PIALA MALAYSIA
- SEJARAH FELDA
- SEJARAH MALAYSIA
- SEJARAH STPM P2
- SEJARAH STPM P3
- SEJARAH STPM PI
- SELANGOR 2008
- SIRAH NABI
- SMK JENGKA2
- SUKAN KOMANWEL
- VIDEO SEJARAH
Showing posts with label HARI INI DALAM SEJARAH. Show all posts
Showing posts with label HARI INI DALAM SEJARAH. Show all posts
Wednesday, 22 June 2016
TPM TUN ABDUL RAZAK MERASMIKAN SEMINAR PEMBANGUNAN NEGARA KE-2 22.6.1967
Pada
hari ini dalam tahun 1967, Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak telah
merasmikan Seminar Pembangunan yang dilangsungkan di bangunan Mara Kuala
Lumpur. Seminar yang dilangsungkan selama 10 hari itu dihadiri oleh para
perwakilan daripada 14 buah negara iaitu India, Sri Langka, Ghana, Indonesia,
Iran, Kenya, Malagasy, Nigeria, Filipina, Vietnam Selatan, Thailand, Turki,
Uganda, Republik Arab Bersatu dan Malaysia sebagai tuan rumah. Dalam ucapannya
semasa merasmikan seminar tersebut, Tun Razak menyifatkan persidangan ini
sebagai "Sidang Kecil Bangsa-bangsa Bersatu" kerana ianya dihadiri
oleh berbagai negara dari Benua Afrika, Asia Barat dan Asia. Sementara itu
pengerusi Tetap Seminar tersebut Tan Sri Jamil Rais berharap seminar ini dapat
memecahkan masalah bagi mencapai pembangunan di negara-negara masing-masing
dengan bertukar-tukar pendapat mengenai pembangunan di negara masing-masing.
Tun Abdul Razak juga memberitahu bahawa Kerajaan Malaysia telah berusaha untuk
memberi kemakmuran hidup kepada rakyatnya. Dengan adanya seminar seperti ini
adalah diharapkan sesuatu yang bernas akan dapat dirumuskan dalam seminar ini
yang akan membawa faedah kepada semua pihak.
Sunday, 19 June 2016
PELANCARAN RANCANGAN PERKHIDMATAN TV PENDIDIKAN 19.06.1972
Pada hari ini 19.06.1972,
Perdana Menteri, Tun Abdul Razak telah merasmikan pelancaran rancangan
Perkhidmatan TV Pendidikan atau ETV. Upacara pelancaran ini telah diadakan di
Dewan Tunku Abdul Rahman di Kuala Lumpur. Sebaik sahaja selesai Tun Abdul Razak
mengisytiharkan pelancaran rancangan TV pendidikan itu, para jemputan di
upacara tersebut telah menyaksikan rancangan permulaan TV pendidikan itu
menerusi kira-kira 10 buah peti televisyen yang telah disediakan khas untuk
upacara pelancaran tersebut. Rancangan permulaan ini juga telah ditonton
serentak oleh orang ramai di seluruh negara. Dalam upacara pelancaran rancangan
TV pendidikan ini, Tun Abdul Razak telah menyifatkan upacara tersebut sebagai
peristiwa bersejarah yang menunjukkan betapa mustahaknya pelajaran dan latihan
tenaga manusia dalam pembanguan negara. Perkhidmatan TV pendidikan akan dapat
memainkan peranan penting dalam melaksanakan kehendak Rancangan Malaysia Kedua
untuk menyatukan sistem pelajaran bagi mencapai perpaduan negara. Rancangan TV
pendidikan yang disiarkan melalui TV Malaysia adalah bertujuan membantu
guru-guru dan juga para pelajar dalam beberapa mata pelajaran khasnya yang
berhubung dengan sains dan teknologi serta tatarakyat. Sebagai permulaannya
Kementerian Pelajaran Malaysia telah membahagi-bahagikan 500 buah peti
televisyen kepada Sekolah-sekolah Menengah di seluruh negara. Rancangan ini
juga akan diperluaskan kepada murid-murid sekolah rendah. Oleh itu dengan
pelancaran TV Pendidikan pada hari ini dalam tahun 1972, maka jelaslah bahawa
kerajaan telah berusaha berbagai cara untuk membantu para guru dan murid-murid
dalam usaha meninggikan prestasi masing-masing dalam bidang pendidikan.
Thursday, 5 May 2016
ALIRAN MENENGAH MELAYU DIPERKENALKAN 5.5.1958
Pada hari
ini dalam tahun 1958, Pengajian
peringkat menengah dalam
aliran Melayu telah diperkenalkan
di seluruh negara. Pengenalan
Sistem Pelajaran Melayu
di peringkat Sekolah Menengah
ini adalah sebagai
asas dan permulaan
kepada perlaksanaan sepenuhnya
Sekolah Menengah yang
menggunakan Bahasa Melayu
sebagai bahasa pengantar.
Pada peringkat permulaan,
Sebanyak 15 buah
kelas baru telah
dibuka di seluruh
negara bagi membolehkan pelajar – pelajar lepasan
darjah 6 Sekolah
Melayu melanjutkan pelajaran ke
peringkat menengah. Sebelum
pengenalan aliran Menengah
Melayu ini, pelajar – pelajar dari
Sekolah Rendah Melayu perlu
melanjutkan pelajaran peringkat
menengah ke Sekolah
Menengah Inggeris dan
menduduki kelas peralihan
selama setahun untuk mempelajari
Bahasa Inggeris. Lanjutan
daripada ini, ia
telah menjadi pemangkin
kepada kewujudan dan
perkembangan Sekolah Menengah
Melayu yang kini
menjadi tunggak kepada
sistem pelajaran kebangsaan di
negara ini. Sesungguhnya,
ianya juga merupakan
antara langkah yang
telah diambil oleh kerajaan
selepas negara mencapai
kemerdekaan untuk memartabatkan
dan mendaulatkan Bahasa
Melayu sebagai Bahasa
Kebangsaan.
http://www2.arkib.gov.my/hids
Wednesday, 16 March 2016
SEKOLAH LATIHAN KEMAHIRAN MARA PERTAMA DIRASMIKAN 16.3.1969

Pada
hari ini dalam
tahun 1969, Sekolah
Latehan Kemahiran MARA telah dirasmikan
oleh Timbalan Perdana
Menteri Malaysia, Y.A.B Tun Abdul
Razak bin Hussien. Sekolah
latihan Mara yang
pertama di Malaysia ini
dibina bertujuan untuk meninggikan mutu
kemahiran dan mempelajari
teknik-teknik baru dalam bidang
perusahaan dan perdagangan. Terletak di Jalan Hang Tuah,
Melaka dengan keluasan lima ekar, sekolah ini menyediakan dua
kursus iaitu Kursus
Kajisawat Motor dan
Kursus Mekanikal. Selaras dengan
perkembangan semasa, beberapa
kursus tambahan telah
dimasukkan di Pusat
Latihan ini iaitu
Lukisan Jentera (1972) dan
Kursus Ketuj dan
Cat Kereta (1975). Bagi
menampung pelajar yang semakin
ramai, pada Januari 1984 sekolah ini telah dipindahkan ke Kg.
Simpang Kerayong Jasin,
Melaka. Kini, namanya
juga telah bertukar
kepada Institut Kemahiran
MARA Melaka dengan menyediakan sepuluh kursus kemahiran
untuk kaum bumiputera. Sesungguhnya, langkah penubuhan institute latihan
ini merupakan antara usaha
awal yang diambil oleh
kerajaan selepas kemerdekaan bagi menyediakan kemahiran
memperlengkapkan penyertaan orang Melayu
dalam bidang teknikal
sebagai majikan atau
pekerja bumiputera. Sesungguhnya sejak
ditubuhkan Institut
Kemahiran MARA telah
menjadi pamangkin kepada
banyak Institut lathan
yang lain di seluruh
Negara terutama dalam
menyediakan tenaga kerja
mahir dalam Negara
yang merdeka ini.
SUMBER-http://hids.arkib.gov.my/
Monday, 14 March 2016
PERSIDANGAN SPEAKER-SPEAKER DEWAN UNDANGAN NEGERI PERSEKUTUAN KALI YANG PERTAMA 15.3.2016
Peranan speaker
cukup penting sekali bagi melicinkan persidangan di Dewan Undangan Negeri. Tanggungjawab mereka dalam mengendalikan
persidangan akan dapat berjalan dengan lancar jika setiap speaker dapat
mengendalikan persidangan dengan sempurna.
Pada hari ini
15hb Mac 1962, buat pertama kalinya selepas Merdeka satu Persidangan
Speaker-speaker Dewan Undangan Persekutuan telah diadakan di Kuala Lumpur.
Tujuan diadakan persidangan ini ialah:
Menggalakkan
supaya Speaker-speaker gemar belajar dan mengetahui aturan-aturan mesyuarat Parlimen. Setengah-setengah aturan mesyuarat Parlimen
itu boleh dipakaikan kepada Mesyuarat Dewan Negeri.
Supaya
Speaker-speaker dapat berjumpa dan berkenal-kenalan di antara satu dengan lain,
bertukar-tukar fikiran dan mencari jalan bagaimana hendak melicinkan perjalanan
Majlis Undangan Negeri masing-masing.
Hendak memberi
peluang kepada Speaker-speaker merundingkan tugas-tugasnya,
kesusahan-kesusahannya dan pengalaman-pengalaman yang didapatinya dalam Majlis
Mesyuarat masing-masing.
Menimbangkan
masalah menjaga tertib dalam Majlis.
Merundingkan
cadangan hendak menubuhkan sebuah cawangan Commonwealth Parliamentary
Association (C.P.A.) dalam tiap-tiap negeri di Persekutuan.
Speaker-speaker
dapat bertukar-tukar fikiran berkenaan dengan hal-hal yang bersangkut-paut
dengan Majlis Mesyuarat Negeri masing-masing.
Persidangan
yang berlangsung pada 15 & 16 ini telah dibuka dengan rasminya oleh Yang
Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman. Pada
persidangan ini 11 orang speaker dewan Undangan Negeri Persekutuan Tanah Melayu. Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Negara Dato'
Hj. Abdul Rahman Mohd. Yasin dan pemerhati khas daripada Brunei iaitu Speaker
Dewan Undangan Negeri Brunei Y. Berhormat Dato' Setia Pengeran Haji Mohd. Daud.
Diharap dengan adanya persidangan speaker-speaker ini akan menjadi pertemuan
yang berguna dalam usaha memperbaiki pengendalian persidangan Dewan yang akan
diadakan.
SUMBER- http://hids.arkib.gov.my/
PERLETAKAN BATU ASAS ITM, LENDU 15.3.2016
Pada hari ini
dalam tahun 1987, telah diadakan upacara pecah tanah dan meletak Batu Asas
Institut Teknologi MARA di Lendu, Alor Gajah, Melaka. Upacara tersebut telah
disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri,
Datuk Seri Dr. Mahathir bin Mohamad. Sejarah ITM Melaka (Kini UiTM Melaka)
bermula pada 12 Ogos 1984 di bangunan sementara IKM di Jalan Hang Tuah, dengan
jumlah pelajar seramai 158 orang. Rancangan pembinaan kampus baru di Lendu ini
adalah sebagai menggantikan kampus sementara yang terletak di Jalan Hang Tuah,
Melaka. Dalam ucapan upacara tersebut,
YAB Perdana Menteri menasihatkan para
pelajar supaya mempelajari ilmu untuk memperbaiki diri dan membantu mencapai
matlamat negara bagi menseimbangkan pembangunan antara kaum. Dengan tercapainya
perseimbangan ini, maka masalah soal perkauman
akan dapat diatasi dan semua kaum dapat melaksanakan tanggungjawab yang
sama dalam semua bidang. Penubuhan kampus baru Institut Teknologi MARA di Lendu
tersebut bertujuan untuk menampung
masalah kekurangan tempat untuk melanjutkan pelajaran terutamanya kepada
golongan bumiputera. Pada bulan Januari 1994, kampus ini telah berpindah ke
lokasi tetapnya di Lendu. Kampus dengan keluasan kawasannya 358.2 telah dirasmikan pada 2 Mei 1996 oleh YAB
Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohammad.
SUMBER- http://hids.arkib.gov.my/
Monday, 7 March 2016
PERSIDANGAN PERTAMA PENGURUS-PENGURUS FELDA 7.3.1961
Pada hari ini
dalam tahun 1961, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), mengadakan satu
seminar di peringkat pihak Pengurusan untuk kali pertama telah diadakan di
Kuala Lumpur. Berucap semasa merasmikan seminar tersebut, Tun Abdul Razak bin
Dato’ Hussein berharap seminar bukan sahaja memberi kebaikan kepada
pengurus-pengurus tetapi juga kepada proses-proses perancangan pihak FELDA
khususnya kepada masyarakat di luar kawasan dengan tumpuan kepada memperbaiki
pendapatan penduduk yang menjadi peneroka di bawah rancangan FELDA. Berucap
semasa perasmian tersebut Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein juga berharap pihak
pengurusan akan dapat berkomunikasi dengan pihak peneroka supaya segala
perancangan dapat dijalankan dengan licin dan teratur. Pembangunan tanah di
luar bandar telah mendapat kejayaan yang gemilang hari ini, tentunya kejayaan
ini hasil kerjasama yang erat di antara pihak pengurusan dan peneroka yang
dapat memahami hasrat Kerajaan memajukan golongan peneroka.
Friday, 4 March 2016
PENGUMUMAN KEJAYAAN OPERASI SRI AMAN PADA 4.3.2016
Peranan Pasukan
Keselamatan negara mempertahankan negara ini telah terbukti menonjolkan
kemampuan yang bertaraf dunia. Ini jelas sekali dapat dilihat dengan
kebijaksanaan pasukan keselamatan menghapus kegiatan komunis di negara ini.
Bagi negeri Sarawak, usaha-usaha yang tidak pernah mengenal jemu serta penuh
dedikasi pasukan keselamatan, pada hari ini 4.3.1974, Ketua Menteri Sarawak,
Datuk Haji Abdul Rahman Yaakub mengumumkan kejayaan Operasi Sri Aman di Dewan
Pembangunan Tun Abdul Razak, Kuching. Operasi Sri Aman merupakan Gerakan
Kerajaan membenteras pengganas komunis di negeri Sarawak. Operasi ini
melibatkan 7 batalion angkatan tentera dan 4 batalion pasukan polis hutan.
Pengumuman kejayaan gerakan ini berikutan penyerahan diri seramai 482 orang
pengganas komunis kepada pihak berkuasa negeri Sarawak pada 18 Oktober 1973.
Berikutan penyerahan beramai-ramai, yang diketuai oleh Bong Kee Chok iaitu
pemimpin tertinggi pasukan Gerila Rakyat Kalimantan Utara atau PARAKU. Rundingan
damai di antara wakil-wakil Kerajaan dan wakil pengganas telah diadakan di
Rumah Kerajaan Simanggang pada 19, 20 dan 21 Oktober 1973 di mana akhirnya satu
perjanjian persefahaman telah ditandatangani apabila pihak pengganas bersetuju
menerima keluhuran Pelembagaan Malaysia dan bersedia menamatkan perjuangan
mereka. Hasil daripada persefahaman inilah Operasi Sri Aman telah ditamatkan
pada 21 Oktober 1973. Dengan kejayaan ini gerakan keselamatan di Bahagian
Pertama dan di kawasan RASCOM atau ‘Rajang Security Commad’ telah digantung
buat sementara bagi membolehkan saki baki pengganas mengikut jejak rakan-rakan
lain menyerah diri. Ekoran daripada kejayaan ini pada hari ini yang sama juga
telah diadakan perarakan mengelilingi bandar Kuching di mana Ketua Menteri
mengisytiharkan seluruh Sarawak bebas daripada perintah berkurung buat pertama
kalinya dalam masa lebih daripada 11 tahun.
Sumber- http://hids.arkib.gov.my/
Thursday, 3 March 2016
DEWAN RAKYAT MELULUSKAN RANG UNDANG-UNDANG BAHASA KEBANGSAAN 1967 PADA 3.3.2016
Pada hari ini dalam tahun
1967, bahasa Melayu telah dijadikan
Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi yang tunggal bila Dewan Rakyat meluluskan
Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan 1967.
Rang Undang-undang ini telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Tunku Abdul
Rahman pada 2 Mac 1967 dan telah disokong oleh Menteri Kewangan Tan Siew Sin.
Perbahasan yang hangat telah terjadi selama dua hari suntuk dengan bangkangan
ahli-ahli pembangkang ketika itu. Tokoh-tokoh bahasa, sasterawan dan rakyat
Melayu memang telah lama berjuang untuk menegakkan bahasa Melayu sebagai Bahasa
Kebangsaan dan Bahasa Rasmi. Walau bagaimanapun usaha ini kurang berjaya dan
pemimpin-pemimpin kerajaan berjanji akan menaikkan taraf bahasa Melayu kepada
Bahasa Kebangsaan dan Rasmi hanya 10 tahun
selepas Merdeka 1957. Oleh kerana itu Perlembagaan Persekutuan Tanah
Melayu, Perkara 52, Fasal I, telah mencatatkan bahawa bahasa-bahasa lain tidak
boleh ditegah dari digunakan. Fasal 3, 4
dan 5 pula telah membenarkan bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa rasmi,
bahasa Undang-undang, perbincangan dan tugas-tugas mahkamah. Rang Undang-undang
Bahasa Kebangsaan 1967 ini adalah bertujuan untuk menghapuskan penggunaan
bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi dan menggantikannya dengan bahasa Melayu.
Di samping itu juga, perbahasan di Parlimen mestilah dijalankan dalam bahasa
Melayu. Walau bagaimanapun bahasa-bahasa
lain masih boleh digunakan dalam kehidupan harian ataupun dengan cara membuat
terjemahan ke dalam bahasa Melayu. Di
Sabah dan Sarawak, Bahasa Inggeris masih boleh digunakan sebagai bahasa rasmi
kecuali kalau ada bantahan dari Dewan Undangan Negeri. Setelah dibahaskan
dengan begitu hangat, Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan 1967 telah berjaya
diluluskan oleh Dewan Rakyat pada hari ini dalam tahun 1967. Dengan lulusnya
Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan 1967 itu bahasa Melayu akhirnya
dimahkotakan sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi yang tunggal di negara
kita dan berkuatkuasa mulai 1 September 1967.
Sumber-http://hids.arkib.gov.my/
Friday, 26 February 2016
PENUBUHAN PERSATUAN CINA MALAYA (MCA) 27.2.2016
Pada hari ini dalam tahun 1949, Persatuan Cina Malaya (MCA) ditubuhkan. Penubuhannya adalah hasil daripada perjumpaan seramai 300 orang perwakilan Cina dari seluruh Persekutuan Tanah Melayu kecuali Kelantan di Dewan Perhimpunan Cina, Kuala Lumpur. Di perhimpunan tersebut, para perwakilan telah memilih 100 orang ahli jawatankuasa pusat dan wakil negeri-negeri. Jawatankuasa pusat dipengerusikan oleh Tan Cheng Lock, Encik Yong Shook Lin dan Encik Leong Chung Lin sebagai Setiausaha Bersama. Bendahari disandang oleh Encik Khoo Teik Ee. Antara jawatankuasa kecil yang dibentuk ialah Jawatankuasa Kecil Perundangan, Jawatankuasa Kecil Kebajikan, Jawatankuasa Kecil Kewangan dan Jawatankuasa Kecil Publisiti. Selain itu, para perwakilan juga bersetuju memilih Kuala Lumpur sebagai ibu pejabat MCA.Di antara matlamat penubuhan MCA ialah:
untuk merapatkan hubungan dikalangan masyarakat Cina dengan masyarakat lain di Tanah Melayu berasaskan semangat muhibah, persefahaman dan kerjasama.
menyatukan orang-orang Cina untuk menentang komunis serta memberi gambaran kepada masyarakat iaitu bukan semua orang Cina berfahaman komunis
untuk menguatkan persatuan dengan tujuan menjadikan MCA sebagai wakil orang-orang Cina dengan kerajaan Inggeris.
Tan Cheng Lock dalam ucapannya mengingatkan masyarakat Cina agar sentiasa memelihara hubungan baik dengan kaum lain dan hendaklah menjauhkan diri dari dipengaruhi oleh Parti Komunis Malaya (PKM). MCA juga turut membantu pihak British memindahkan orang-orang Cina ke Kampung Baru. Penubuhan MCA pada ketika itu telah mendapat sokongan dan galakan yang baik daripada pihak British. Sehubungan itu, pada 12 Jun 1949 perlembagaan pertama MCA telah diluluskan. Walau bagaimanapun, di peringkat awal penubuhannya MCA lebih mirip kepada pertubuhan kebajikan. Namun pada tahun 1952, MCA telah menjadi sebuah pertubuhan politik dan telah dapat menyatukan orang-orang Cina serta memenuhi kekosongan politik di Tanah Melayu.
Sumber-http://hids.arkib.gov.my/
Monday, 22 February 2016
MAJLIS GERAKAN NEGARA DIBUBARKAN PADA 22.2.1971
Pada hari ini dalam tahun 1971, MAGERAN dibubarkan dan sistem kerjaan berparlimen dipulihkan semula. Pada 16 Mei 1969 Kerajaan Malaysia telah menubuhkan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN). Tujuan utama penubuhan MAGERAN ini untuk menghadapi keadaan darurat dan mengembalikan semula negara kepada keadaan sediakala. Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein telah dilantik sebagai Pengarah MAGERAN, manakala anggota terdiri daripada pemimpin-pemimpin politik, Pegawai-pegawai Tadbir Kanan Kerajaan dan pihak perkhidmatan tentera dan polis.Pada dasar fungsi utama MAGERAN ialah:
Untuk mengembalikan keamanan dan undang-undang negara.
Untuk menentukan pentadbiran yang licin dan sempurna.
Untuk mengembalikan suasana keharmonian dan saling mempercayai di kalangan pelbagai kaum
Apabila keadaan ketenteraman dapat dikawal dan pentadbiran negara kembali pulih maka MAGERAN telah dibubarkan.
SUMBER-http://www2.arkib.gov.my/hids/sejarah.php
Wednesday, 17 February 2016
PENUBUHAN UNIVERSITI UTARA MALAYSIA 16.2.1984
Pada hari ini dalam tahun 1984, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah ditubuhkan di bawah Perintah (Perbadanan) Universiti Utara Malaysia. Universiti keenam ini ditubuhkan bagi memenuhi permintaan terhadap pendidikan tinggi dan menampung kekurangan tempat di lima Universiti tempatan yang sedia ada. Pada bulan Ogos 1983, kerajaan telah mengarahkan Kementerian Pendidikan supaya menjalankan kajian kemungkinan ke atas projek Universiti Keenam ini dan menyediakan satu kertas kerja. Pada 19 Oktober 1983, Kabinet telah meneliti dan meluluskan penubuhan Universiti ini. Seramai 295 orang penuntut telah memulakan pengajian bagi Fasa pertama pada 7 Julai 1984. Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah telah dilantik sebagai Canselor. Manakala Profesor Tan Sri Dato’ Awang Had Salleh telah dilantik sebagai Naib Canselor yang pertama. Kampus tetap UUM di Sintok yang berkeluasan seluas 1,061 hektar telah memulakan operasi pada 15 September 1990. Sesungguhnya, selepas 50 tahun kemerdekaan negara bidang pendidikan terus diberi keutamaan oleh kerajaan bagi memastikan aspek pembagunan insan tidak ketinggalan.
Sumber-http://hids.arkib.gov.my/
Thursday, 11 February 2016
PERASMIAN MUZIUM TAMAN GETAH ASLI 11.2.1992
Pada hari
ini 11.2 dalam tahun 1992,
Menteri Kebudayaan, Kesenian
dan Pelancongan Malaysia,
Y.B. Dato’ Sabbaruddin
Chik telah merasmikan
Muzium Taman Getah
Asli di Institut
Penyelidikan Getah Malaysia,
Sungai Buloh, Selangor.
Turut serta pada majlis
perasmian tersebut ialah
Timbalan Menteri Besar
Selangor, Y.B. Dato’ Haji
Abu Sujak; Pengerusi
Lembaga Penyelidikan dan
Kemajuan Getah Asli,
Datuk Ahmad Farouk
dan Pengarah Institut
Penyelidikan Getah, Dr. Abd. Aziz
Kadir. Dalam ucapan
perasmiannya, Dato’ Sabbaruddin
menyarankan kepada agensi
pelancongan tempatan supaya
mengeksploitasikan produk pelancongan berasaskan Getah
Asli untuk dijadikan
pakej pelancongan dan
mengadakan program melawat
Muzium Taman Getah
Asli. Beliau juga
mengalu-alukan usaha agensi
kerajaan yang lain
seperti Institut Penyelidikan
Hutan, MARDI, FELDA
dan MAJUIKAN agar
tampil kehadapan untuk
membuat perancangan mengadakan
produk-produk pelancongan dan
pakej lawatan yang
menarik demi untuk
mengembangkan industri pelancongan
negara. Sesungguhnya, Pembinaan
Muzium Taman Getah
Asli ini membantu
menepati matlamat dalam
rancangan jangka panjang
pembangunan industri pelancongan
negara.
Sumber-http://hids.arkib.gov.my/
Wednesday, 10 February 2016
TENTERA JEPUN MENYEBERANG SELAT JOHOR
Pada hari ini 9.2 dalam tahun
1942, tentera Jepun yang diketuai oleh General Tomoyuki Yamashita telah
menyeberangi Selat Johor dalam
usahanya menyerang Singapura.
Sebelum menyeberangi Selat Johor, tentera Udara dan Pasukan meriam Jepun
telah membedil sasaran-sasaran di Singapura untuk melemahkan pertahanan tentera
Inggeris. Kekuatan tentera
Jepun telah berjaya mengundurkan
tentera bersekutu Inggeris, India
dan Australia. Setelah seluruh
Tanah Melayu ditawan, tentera Jepun mara ke
Singapura walaupun tambak Johor telah dimusnahkan oleh tentera
Inggeris. Tentera Jepun telah
menyeberangi Selat Johor melalui bahagian yang tersempit di Selat Johor iaitu
di bahagian Barat Laut Pulau Singapura. Pantai itu dipenuhi dengan paya lumpur
dan berhutan. Ini memberikan keuntungan
kepada tentera Jepun. Pertahanan Inggeris
pula tidak menduga tentera
Jepun akan menggunakannya. Serangan udara Jepun
berjaya memusnahkan kubu-kubu Inggeris
dan sistem bekalan air. Gudang yang membekalkan makanan kepada Inggeris di
Bukit Timah pula berjaya dikuasai. Tentera Inggeris
bertambah lemah dengan
kekurangan peluru dan minyak petrol. Akhirnya General Percival bersama
tenteranya terpaksa menyerah
kalah dan Singapura jatuh
ke tangan Jepun
pada 15 Februari, 1942.
Sumber-http://hids.arkib.gov.my/
Subscribe to:
Posts (Atom)