Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
Pemain Kedah, Baddrol Bakhtiar (kiri) mengasak pemain Johor Darul Ta’zim pada saingan Liga Malaysia.
Kuala Lumpur: Ketua pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC, Baddrol Bakhtiar percaya masih ada sinar tatkala harapan untuk beraksi di pentas Piala AFC 2021 hampir terkubur susulan ketiadaan tuan rumah untuk menganjurkan kejohanan itu.
Selepas Singapura menarik diri daripada menjadi tuan rumah, Piala AFC Zon Asean dilihat berdepan kesukaran kerana sehingga kini masih tiada mana-mana negara yang menawarkan diri untuk menganjurkan kejohanan itu yang sepatutnya bermula pada 29 Jun lalu.
Meskipun kejohanan itu dilihat hampir pasti terpaksa dibatalkan, Baddrol merasakan tidak salah untuk mereka terus positif agar ia dapat diteruskan apatah lagi selepas Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengumumkan kelab Kemboja, Visakha dan Timor Leste, Lalenok United akan menyertai saingan Kumpulan I yang terdiri daripada wakil Malaysia, Terengganu FC (TFC) dan Singapura, Geylang International.
Namun, sekiranya hasrat mereka untuk beraksi tidak kesampaian, pasukan harus menerima dengan hati terbuka dan fokus untuk saingan Liga Super serta Piala Malaysia.
"Masa mula-mula dengar berita, memang rasa sedikit kecewa sebab kita sudah lama melakukan persiapan ini, jadi kalau memang batal juga, nak buat macam mana.
"Cuma kami cuba untuk positif lagi dan berharap kerana selepas ada kelab dari Kemboja dan Timor Leste sertai kumpulan I, mungkin ada sedikit sinar untuk kita katakan mereka boleh jadi tuan rumah atau tidak.
"Tetapi apa-apa pun kita tunggu sahaja, dan kalau memang sudah pasti ia dibatalkan, kerja keras tetap perlu dilakukan untuk fokus kepada Liga Super dan Piala Malaysia pula", jelasnya.
Pemain berusia 33 tahun ini baru sahaja pulih daripada kecederaan pangkal peha dan akan kembali melakukan sesi latihan penuh dalam masa terdekat.
Menurutnya, kecederaan yang dialami hanyalah kecil dan tidak memakan masa yang lama untuk kembali pulih sepenuhnya bagi meneruskan latihan bersama pasukan.
KDA FC dan TFC adalah pasukan yang layak beraksi mewakili Malaysia di pentas Piala AFC 2021 menyaksikan KDA FC berada di Kumpulan H bersama-sama bersama-sama Lion City Sailors FC, Saigon FC dan Persipura Jayapura.
Disiarkan pada: Julai 6, 2021 @ 8:09pm.1
___________________________________
1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/07/727264/baddrol-harap-ada-sinar-penganjuran-piala-afc
No comments:
Post a Comment