Ad

Sunday, 18 July 2021

Pahlawan memburu komunis meninggal dunia

Oleh Nor Azizah Mokhtar - Julai 18, 2021 @ 10:28pm

bhnews@bh.com.my



Warga PDRM mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Datuk Leong Chee Woh. - Foto Facebook

KUALA LUMPUR: Pahlawan negara, bekas ketua Pasukan Rahsia Cawangan Khas (Pasukan E3F) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membanteras pemberontakan pengganas komunis, Datuk Dr Leong Chee Woh meninggal dunia, hari ini.

Mendiang yang berusia 92 tahun meninggal dunia di kediamannya di Seri Kembangan, Selangor petang tadi.

Berita kematian mendiang disahkan melalui satu hantaran di Facebook rasmi PDRM, hari ini.

Chee Woh dilahirkan pada 11 November 1929 di Taiping, Perak dan mula berkhidmat dalam PDRM pada 1 Disember 1950.

Selepas berkhidmat selama 34 tahun dalam PDRM, beliau bersara dengan jawatan terakhirnya sebagai Timbalan Pengarah (Operasi) Cawangan Khas Bukit Aman dengan pangkat Senior Asisten Komisioner 1 (SAC 1).

Ketokohan Chee Woh sebagai seorang pegawai polis yang cekap dan berani terserlah apabila dilantik mengetuai Pasukan E3F atau lebih dikenali sebagai Pasukan F yang ditubuhkan pada 1971.

Misi utama penubuhan Pasukan F membanteras pengganas komunis ketika kebangkitan kedua Parti Komunis Malaya (PKM) pada tahun 1968-1989 di Semenanjung Malaysia serta Pasukan Rakyat Kalimantan Utara (PARAKU).

Hasil kebijaksanaan beliau mengemudi Pasukan F, seramai 48 orang pengganas PKM berjaya dibunuh, 171 lagi berjaya ditahan bersama 1,432 orang tali barut.

Kejayaan Pasukan F melumpuhkan pemberontakkan pengganas PKM di negara ini turut menjadi faktor utama termeterainya Perjanjian Hatyai 1989 sehingga membawa kepada pembubaran PKM.

Komander Force E3F, Leong Chee Woh (berdiri, kanan) bersama-sama skuadnya ketika operasi dalam hutan Malaya, ketika itu. - Foto KELUARGA DATUK LEONG CHEE WOHKomander Force E3F, Leong Chee Woh (berdiri, kanan) bersama-sama skuadnya ketika operasi dalam hutan Malaya, ketika itu. - Foto KELUARGA DATUK LEONG CHEE WOH

Selain itu, beliau juga individu yang bertanggungjawab memberkas Ketua Malayan People Liberation League Mobile Unit (MPLL) atau dahulunya dikenali sebagai Malayan People's Liberation Union yang membunuh Ketua Polis Perak ketika itu, Tan Sri Khoo Chong Kong dan 16 anggota polis dalam insiden pengeboman di Kem Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am (PGA), Jalan Pekeliling di sini.

Atas jasa bakti dan sifat keberaniannya, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke XV Sultan Muhammad V berkenan mengurniakan anugerah Darjah Kebesaran dan Bintang Kehormat Panglima Gagah Berani kepada beliau pada 9 September 2017.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani serta seluruh warga PDRM, hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.

"Selamat berehat buat selama-lamanya, Perwira Negaraku," katanya.

Mendiang Datuk Leong Chee Woh berbual-bual dengan rakannya, Michael Choo di depan Tugu Negara di Kuala Lumpur. - Foto KELUARGA DATUK LEONG CHEE WOH

Mendiang Datuk Leong Chee Woh berbual-bual dengan rakannya, Michael Choo di depan Tugu Negara di Kuala Lumpur. - Foto KELUARGA DATUK LEONG CHEE WOH.1

_________________________________________-

1https://www.bharian.com.my/berita/kes/2021/07/840872/pahlawan-memburu-komunis-meninggal-dunia

No comments:

Post a Comment