Ad

Friday, 9 July 2021

Peluang cerah skuad B-23 ke pusingan akhir

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my



SKUAD B-23 negara diletakkan dalam Kumpulan J selepas majlis undian Kelayakan Kejuaraan AFC B-23 berlangsung di Tashkent, Uzbekistan, hari ini. FOTO AFC

Kuala Lumpur: Skuad bawah 23 (B-23) tahun negara berpeluang cerah untuk layak ke pusingan akhir Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Tashkent, Uzbekistan, Jun tahun depan apabila diundi berdepan dua pasukan dari Asia Tenggara.

Dalam majlis undian Kelayakan Kejuaraan AFC B-23 yang berlangsung di Tashkent itu hari ini, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan J bersama Thailand, Laos dan Mongolia.

Skuad negara yang pernah mara hingga ke suku akhir pada 2018 lalu, dijadual terbang ke Mongolia selepas negara itu dipilih menjadi tuan rumah untuk Kumpulan J itu.

Kempen kelayakan akan dilangsungkan bermula dari 23-31 Oktober ini dengan juara dari 11 kumpulan kelayakan akan mara secara automatik ke pusingan akhir tahun depan.

Manakala, empat lagi slot bagi melengkapkan 16 pasukan di Tashkent akan dipilih menerusi kedudukan pasukan naib juara terbaik dari 11 kumpulan itu.

Untuk rekod, skuad negara pernah melakar sejarah manis di pusingan akhir pada 2018 apabila mara hingga ke suku akhir sebelum tewas kepada Korea Selatan dengan 1-2.

Bagaimanapun, kecemerlangan itu gagal diteruskan pada kelayakan edisi dua tahun lalu.

Pada edisi 2020 itu, skuad negara sekadar menamatkan saingan kelayakan di tangga kedua Kumpulan J di belakang China, selain gagal merebut empat tiket selaku naib juara kumpulan terbaik.

Disiarkan pada: Julai 9, 2021 @ 5:28pm.1

_________________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/07/728523/peluang-cerah-skuad-b-23-ke-pusingan-akhir 

No comments:

Post a Comment