Agensi
MESSI (tengah) meraikan kemenangan Argentina. FOTO EPA
Brasilia: Argentina akan menentang Brazil pada final Copa America selepas menewaskan Colombia 3-2 menerusi penentuan penalti pagi ini.
Kedua-dua pasukan terikat 1-1 apabila Luis Diaz menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-61 selepas Lautaro Martinez meletakkan Argentina di depan pada babak pertama.
Emiliano Martinez muncul wira ketika penentuan penalti apabila menyelamatkan tiga penalti bagi membawa juara 14 kali Copa itu yang kali terakhir menjuarainya pada 1993 mara ke final impian menentang juara bertahan Brazil Ahad ini.
Messi yang memburu gelaran pertama bersama La Albiceleste dikawal ketat namun berjaya melepaskan diri daripada kawalan tiga pemain sebelum menghantar bola kepada Lautaro Martinez namun tandukannya tersasar pada minit keempat.
Tetapi tiga minit kemudian Martinez yang mendapat hantaran Messi menebus kesilapannya dengan meledak gol pendahuluan menerusi rembatan yang menewaskan penjaga gol David Ospina.
Colombia hampir menyamakan kedudukan namun percubaan Juan Cuadrado yang meraih kap ke-100 diselamatkan Martinez tidak lama selepas itu.
Argentina sekali lagi terselamat apabila tandukan Yerri Mena terkena palang pada minit ke-37. Menuju rehat, mereka hampir menggandakan jaringan namun tandukan Gonzalez ditepis Ospina.
Usaha gigih Colombia pada babak kedua berhasil apabila Diaz menyamakan kedudukan selepas sejam perlawanan.
Susulan serangan balas, Diaz pantas melepasi kawalan pertahanan lawan dan menolak bola melepasi jangkauan Martinez dari sudut sukar.
Messi turut tidak bernasib baik apabila percubaannya terkena tiang ketika permainan berbaki sembilan minit. Keputusan 1-1 kekal membawa kepada penentuan penalti yang dimenangi Argentina 3-2.
Lagi berita berkaitan Copa America 2021
Disiarkan pada: Julai 7, 2021 @ 11:53am.1
_____________________________________
1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/07/727485/argentina-brazil-berentap-di-final
No comments:
Post a Comment