AFP
ERIKSEN (kanan) beraksi ketika bertemu Finland sebelum rebah akibat jantung terhenti. FOTO EPA
Baku: Denmark mungkin sudah mencapai satu sasaran dengan kejayaan melangkah ke separuh akhir Euro 2020, namun perjuangan mereka tampak tidak akan terhenti selepas menerima pujian daripada Christian Eriksen.
Kemenangan 2-1 ke atas Republik Czech awal pagi tadi menyaksikan Denmark melangkah ke pentas separuh akhir di kejohanan utama buat kali pertama sejak melakukan kejutan memenangi Euro 1992.
Ia adalah pencapaian yang luar biasa selepas mereka mengalami dua kekalahan pertama di saingan peringkat kumpulan termasuk tewas kepada Finland yang dibayangi insiden Eriksen rebah di atas padang.
Namun 10 gol sepanjang tiga kemenangan selepas itu menyaksikan Denmark hanya tinggal dua perlawanan lagi untuk mengulangi kejayaan skuad 1992 dengan Eriksen terus memberi sokongan di rumahnya.
"Christian menulis mengenai skuad yang dia amat berasa bangga," kata pemain tengah, Thomas Delaney menceritakan mesej yang dihantar Eriksen kepada pasukan.
"Dia sentiasa menjadi watak penting kepada pasukan ini dan pemain terbaik kami sejak beberapa tahun lalu.
"Eriksen sentiasa berada dalam ingatan kami. Menjadikannya berasa bangga membuatkan kami sangat gembira."
Ketika penjaga gol, Kasper Schmeichel menyatakan pasukannya mahu mengulangi kejayaan 29 tahun lalu yang turut disertai bapanya, Peter, kenyataannya itu pada mulanya dianggap keterlaluan.
Bagaimanapun Denmark kini berpeluang melakar sejarah itu sekali lagi.
Disiarkan pada: Julai 4, 2021 @ 9:10pm.1
_______________________________________
1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/07/726472/eriksen-bangga-pencapaian-denmark
No comments:
Post a Comment