Ad

Sunday 11 July 2021

England sedia lakar sejarah di Euro 2020

AFP



BENDERA England menghiasi seluruh pelusuk negara membuktikan keterujaan menjelang final Euro 2020 menentang Itali di Wembley, hari ini. FOTO EPA

London: Gareth Southgate berkata, England bersedia melakar sejarah apabila menentang Itali di final Euro 2020 di Wembley, hari ini pada ketika mereka memburu trofi pertama dalam tempoh 55 tahun.

Anak buah Southgate mencetuskan kegilaan di seluruh negara apabila layak ke final pertama Kejuaraan Eropah, selepas selama ini hanya berbangga dengan trofi tunggal iaitu Piala Dunia 1966.

Bersama 60,000 penyokong di Wembley, berjuta-juta yang lain menyaksikan di televisyen sambil sekolah dan pejabat dibuka lewat, esok bagi membolehkan mereka menikmati final itu.

Beberapa jam sebelum sepak mula, penyokong sudah mula mengibarkan bendera merah putih di sepanjang jalan ke stadium Wembley Way, pada ketika keseronokan dan keterujaan kian terasa.

Malah, anak buah Southgate turut menerima pesanan dan ucapan 'Selamat Berjaya' daripada Ratu Elizabeth II; Perdana Menteri, Boris Johnson dan aktor Hollywood, Tom Cruise.

"Memang luar biasa apabila menerima surat daripada Ratu, surat daripada Perdana Menteri kepada pasukan. Pengiktirafan kepada pemain dan staf yang membawa pasukan sampai ke tahap ini," kata Southgate.

"Kami mendapat sambutan hebat apabila meninggalkan St George's Park. Penduduk kampung keluar berbaris di tepi jalan dan bersorak, jadi anda boleh rasa apa yang berlaku di seluruh negara ketika ini.

"Pemain perlu merasai kehangatan dan sokongan itu. Ia membantu memberikan inspirasi kepada kami. Kami di final dan akan bermain untuk menang.

"Jadi, kami mahu turun padang dan membawa pulang trofi untuk semua orang."

Sejak mengambilalih pasukan pada 2016, Southgate membuat revolusi kepada bola sepak Inggeris dan cemerlang di pusingan kalah mati dengan menewaskan Jerman, Ukraine dan Denmark.

England kecundang di tangan Croatia di separuh akhir Piala Dunia 2018, tetapi satu kemenangan ke atas Itali, hari ini sudah cukup untuk memuaskan hati mereka.

"Itulah cabarannya sekarang. Kami sudah melepasi halangan demi halangan dan perlu turun sekali lagi untuk menang," kata kapten England, Harry Kane.


Pada ketika England bermain enam daripada tujuh perlawanan Euro di gelanggang sendiri di Wembley, negara musuh mendakwa Uefa mencipta kejohanan yang tertangguh selama setahun ini untuk memihak kepada Three Lions.

Lagi berita berkaitan Euro 2020

Disiarkan pada: Julai 11, 2021 @ 9:35pm.1

__________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/07/729437/england-sedia-lakar-sejarah-di-euro-2020

No comments:

Post a Comment