Suraya Roslan dan Syazwan Msar
MANAF ketika beraksi bersama Marcerra.
Kuala Lumpur: Serik menjadi mangsa beberapa kelab Liga Malaysia apabila tidak menerima bayaran gaji hingga mencecah puluhan ribu ringgit mendorong bekas pemain kebangsaan, Abdul Manaf Mamat, 34, meneruskan kelangsungan hidup dengan menjual durian.
Bukannya merajuk, namun bekas pemain Marcerra Kuantan FA dan Batu Dua FC itu mendedahkan sehingga kini tidak menerima tunggakan gaji daripada kedua-dua pasukan berkenaan walaupun sudah bermati-matian beraksi bersama kelab terbabit.
Manaf yang kini menetap di Teluk Panglima Garang, Selangor berkata, dia sebelum ini tidak mahu bersuara dengan masalah terbabit, namun melihat situasi berkenaan sudah berlanjutan lebih setahun sekali gus mendorongnya untuk mendedahkan perkara itu kepada umum.
"Saya antara yang tidak menerima gaji ketika bermain di Marcerra Kuantan FA dan situasi terbabit berulang ketika bermain dengan Batu Dua FC apabila lebih enam bulan tidak menerima bayaran.
MANAF puas hasil jualan durian sangat menggalakkan.
"Situasi berkenaan cukup mengajar saya untuk lebih berhati-hati dan ketika ini saya menyara keluarga dengan menjual durian saja. Walaupun sudah mengadu masalah terbabit kepada pihak berkaitan termasuklah berjumpa dengan pengurusan kelab itu sebelum ini namun setakat ini tiada jalan penyelesaian," katanya, di sini.
Dia yang pernah menyarung jersi skuad Terengganu berkata, tiada apa yang perlu dimalukan demi mencari sesuap nasi buat keluarganya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Satu masa dulu dia pemain bola sepak terkenal, namun sekarang semuanya hanya tinggal kenangan dan terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan.
"Tiada apa yang perlu dimalukan, saya juga manusia biasa yang perlu menyara isteri dan anak untuk hidup. Kebetulan musim durian, saya mengambil peluang dengan menjual raja buah ini dan Alhamdulillah sambutan diterima sangat menggalakkan," katanya.
Selain itu, katanya, dia kini mahu menumpukan sepenuhnya fokus untuk mengambil lesen jurulatih dan mahu terbabit dalam bidang kejurulatihan selepas ini.
"Kelab terakhir saya beraksi untuk Liga M3 iaitu Harini FC namun hanya sempat bermain dua perlawanan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dikuat kuasakan," katanya.Disiarkan pada: Julai 16, 2021 @ 8:45pm.1
___________________________
1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/07/731435/manaf-kini-tauke-durian
No comments:
Post a Comment