PENYERANG Perak FC II, Muhammad Aqil Hilman Danial Roslan (kiri) mengawal bola dari pemain Kelantan FC, Christian Intzidis dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium Perak di Ipoh hari ini. UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Oleh AZIZAN HASHIM
18 Julai 2021, 12:20 am
IPOH: Jaringan cantik Aizat Safuan Razali membolehkan Perak FC II bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat Kelantan FC 1-1 dalam aksi Liga Perdana yang kembali bersambing selepas dua bulan berehat malam tadi.
Selepas ketinggalan menerusi jaringan Nurshamil Abd Ghani pada minit ke-55, skuad bimbingan Syamsul Mohd. Saad menggandakan asakan untuk mencari gol penyamaan.
Akhirnya pada minit ke-69, Aizat melakukan rembatan dari jarak 30 meter yang bukan saja menewaskan penjaga gol The Red Warriors (TRW), Nik Mohd. Amin Ahmad, malah membuatkan semua pertahanan Kelantan FC terpaku.
Dalam di Stadium Perak, Ipoh itu permainan pantas tuan rumah nyata berkesan untuk menekan pelawat tetapi mereka gagal menyudahkan peluang.
Kelantan FC yang lebih banyak bertahan cuba melancarkan serangan balas yang berjaya dipatahkan oleh benteng tuan rumah.
Babak kedua menyaksikan perubahan corak kedua-dua pasukan yang berbalas serangan.
Kelantan akhirnya berjaya menjaring gol pendahuluan apabila Nurshamil menendang bola jarak dekat selepas menerima hantaran dari sebelah kanan pintu gol.
Gol itu nyata menyentak pemain Perak II yang bangkit melancarkan serangan balas, dan percubaan mereka berhasil apabila Aizat melepaskan tendangan yang tidak diduga menyebabkan pemain Kelantan terduduk.
Keputusan seri tidak banyak membantu Perak II yang kekal di tangga kedua tercorot dengan 10 mata, manakala Kelantan di tempat ketujuh (15 mata).1
__________________________________
1https://www.utusan.com.my/sukan/2021/07/gol-cantik-aizat-kecewakan-the-red-warriors/
No comments:
Post a Comment