Ad

Sunday, 18 July 2021

Anugerah Datuk lonjak semangat Azizul buru emas pertama

Malik Muhamad

sukanteam@nstp.com.my



AZIZUL bakal beraksi di Olimpik Tokyo. FOTO AFP

Kuala Terengganu: Pelumba berbasikal sensasi negara, Azizulhasni Awang mendapat suntikan moral terbaik sebelum memulakan kayuhan di Sukan Olimpik Tokyo selepas dianugerahkan Darjah Kebesaran Negeri Terengganu yang membawa gelaran Datuk, hari ini.

Pelumba kelahiran Dungun berusia 33 tahun yang terkejut menerima berita gembira itu mengakui anugerah berkenaan di luar jangkaannya selain tidak pernah bermimpi untuk mendapatkan gelaran itu.

Namun Azizulhasni yang digelar 'The Pocket Rocketman' dan bakal berangkat ke Tokyo pada 25 Julai ini menyifatkan anugerah itu satu pengiktirafan tertinggi buatnya selepas lebih 15 tahun terlibat dalam sukan berbasikal.

"Pertamanya rasa syukur kepada Allah dan terima kasih kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin; kerajaan negeri Terengganu, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) serta semua orang kuat yang berada di depan dan belakang tabir termasuk pihak media yang menyokong sejak awal pembabitan saya dalam sukan berbasikal ini.

"Terus terang saya terkejut mendengar berita ini, pada mulanya saya tidak percaya malah menyangka ia sebagai gurauan daripada rakan-rakan dan sahabat media kerana berbaki seminggu lagi sebelum saya bertolak ke Jepun.

"Namun selepas diyakinkan beberapa pihak, saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua terutama Sultan Terengganu selain tidak menyangka gelaran itu adalah betul berlaku dan bukannya gurauan," katanya ketika dihubungi Sukan NSTP hari ini.

Mengulas lanjut, Azizulhasni yang bakal turun ke gelanggang dalam acara pecut pada 4,5 dan 6 Ogos dan diikuti acara keirin pada 7 dan 8 Ogos menyifatkan gelaran itu mampu membakar semangatnya untuk memburu pingat emas pertama buat negara dalam sejarah.

"Sudah pasti gelaran itu menyuntik lagi semangat saya untuk merealisasikan impian negara memburu pingat emas pertama dalam temasya terbesar dunia itu.

"Namun saya memohon doa daripada seluruh peminat negara agar saya mampu beraksi dengan baik sambil mendoakan seluruh kontinjen negara bebas daripada sebarang masalah termasuk wabak pandemik Covid-19 yang sudah tentu dibimbangi semua," katanya.

Menerusi kenyataan media dikeluarkan Pejabat Sultan Terengganu hari ini, pelumba yang meraih pingat gangsa dalam acara keirin pada temasya Sukan Olimpik Rio 2016 itu tersenarai antara 10 penerima Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T) yang membawa gelaran Datuk.Setiausaha Dewan Pangkuan Diraja Terengganu, Datuk Isa @ Ghazali Endut berkata, pengurniaan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin bagi tahun 2021 itu berkuatkuasa mulai hari ini.

Disiarkan pada: Julai 18, 2021 @ 3:39pm.1

______________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/lain/2021/07/732073/anugerah-datuk-lonjak-semangat-azizul-buru-emas-pertama

No comments:

Post a Comment