Ad

Saturday 30 September 2017

Siti Khadijah isteri Rasulullah



ARKIB : 22/06/2007 
DAN setengah daripada tanda-tanda kebesaran-Nya bahawa Dia ciptakan untuk kamu daripada dirimu sendiri akan isteri-isteri, agar tenteramlah kamu kepadanya. Dan Dia jadikan di antara kamu cinta dan kasih sayang.

Sesungguhnya pada yang demikian adalah tanda-tanda bagi kaum yang berfikir. (ar-Rum: 21)

SITI Khadijah merupakan seorang wanita yang berasal daripada suku kaum Asadiyah, iaitu satu keturunan Quraisy yang amat dihormati dan disegani.

Beliau dilahirkan pada tahun 68 sebelum hijrah iaitu 15 tahun sebelum tahun gajah, tahun kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Beliau diasuh dan dibesarkan oleh ibu bapanya dengan penuh kasih sayang serta diberikan tarbiah yang sempurna.

Pendidikan dan tunjuk ajar oleh ibu bapanya diterima dengan patuh dan taat, sehingga beliau tampil sebagai seorang wanita budiman dan berakhlak luhur serta tidak pernah bangga atau sombong dengan taraf kebangsawanannya. Kaumnya memanggil beliau dengan gelaran Al-Tahirah yang bermaksud perempuan suci.

Sebelum berkahwin dengan Rasulullah, beliau pernah berkahwin dua kali, tetapi kedua-dua suaminya telah meninggal dunia. Ketika berkahwin dengan baginda, umur beliau ialah 40 tahun, manakala umur baginda 25 tahun.

Walaupun berbeza usia 15 tahun, tetapi rumah tangga mereka penuh dengan kedamaian dan ketenteraman, aman bahagia dan tidak pernah berselisih faham terhadap sesuatu masalah.

Beliau juga merupakan Ummul Mukmin pertama yang mempunyai keistimewaan-keistimewaan yang tersendiri, berbeza dengan isteri-isteri baginda yang lain. Beliau bukan sahaja wanita yang jelitawan tetapi mempunyai harta kekayaan dan tergolong di antara orang-orang yang ternama di Mekah.

Beliau sangat pandai mentadbir perniagaannya sehingga berjaya sampai ke Yaman dan Syam. Beliau pernah menyerahkan urusan perniagaannya kepada baginda kerana percaya dengan kejujuran baginda. Sehinggalah sampai suatu ketika beliau jatuh cinta dengan kebaikan dan kelembutan Rasulullah, lalu menyatakan hasrat untuk mengahwini baginda.

Beliau hidup bersama Rasulullah selama 24 tahun. Sepanjang menjadi isteri baginda, beliau menjadi suri rumah tangga dan kekal menjadi satu-satunya isteri baginda sehinggalah beliau meninggal dunia. Beliau telah melahirkan enam orang anak sedangkan isteri-isteri baginda yang kemudian tidak seorangpun yang melahirkan anak sepertinya.

Beliau juga menanggung berbagai-bagai penderitaan bersama-sama Rasulullah dalam usaha berdakwah dan menyeru kepada Islam. Ketika dua orang anak lelakinya iaitu Kasim dan Abdullah meninggal dunia, beliau bersama dengan baginda berdukacita menangisi pemergian anak-anaknya itu.

Sudah menjadi kebiasaan Rasulullah untuk pergi ke Gua Hira kerana ingin bertafakur dan bermunajat kepada Allah seorang diri. Setiap kali baginda ke sana, baginda akan membawa sedikit bekalan yang disediakan oleh isterinya, Siti Khadijah. Apabila makanan sudah habis, baginda turun semula ke Mekah dan tawaf di Kaabah sebanyak tujuh pusingan, kemudian barulah kembali menemui isteri tercinta. Demikianlah yang dilakukan oleh Rasulullah, berulang alik dalam tempoh masa lebih kurang lima tahun di Gua Hira.

Sungguhpun demikian, Siti Khadijah tidak pernah berasa kecil hati terhadap Rasulullah. Malah, beliau berusaha agar baginda lebih memperoleh ketenangan dalam bermunajat kepada Allah. Oleh yang demikian, apabila Rasulullah pulang ke rumah, beliau tidak pernah bersungut apatah lagi bermasam muka. Beliau melayan suaminya dengan baik, penuh hormat dan kasih sayang.

Begitulah tanggungjawab sebagai seorang isteri yang taat dan setia kepada suami sehinggalah beliau meninggal dunia dalam usia 64 tahun dan enam bulan. Semenjak pemergian Siti Khadijah, Rasulullah sangat sedih dan murung kerana begitu terasa kehilangan seorang kawan, teman, isteri, pembantu dan pembela ketika baginda menjalankan seruan Allah.

- Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel: edusb@streamyx. com.

PENGAJARAN

* Sebagai isteri yang solehah, si isteri hendaklah sentiasa menghormati, setia, taat dan patuh kepada suami kerana syurga seorang isteri terletak di bawah tapak kaki suami.

PERBENDAHARAAN KATA

tarbiah: pendidikan atau pengasuhan.

bermunajat: mendekati atau mendampingi Allah dengan cara berdoa, berzikir dan lain-lain.

tawaf: mengelilingi Kaabah.

INFORMASI

* Nama penuh Siti Khadijah iaitu Siti Khadijah binti Khuwalid bin Asad bin Abdul Uzza bin Qushai, yang tergolong daripada golongan bangsawan dan ternama di Mekah.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0622&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz4uA9SbpMx
© Utusan Melayu (M) Bhd

Manusia berasal dari Nabi Adam

ARKIB : 20/06/2007
Manusia berasal dari Nabi Ada 
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Syeikh al-Maraghi berkata: Selepas Allah perintahkan mereka yang beriman dengan nabinya supaya memeluk Islam keseluruhannya dan mereka dalam kepatuhan tanpa bangkangan.

Sayugia hidayah yang datang kepada seseorang daripada tuhannya tidak akan berjalan dalam melakukan amalan kepada yang khilaf, tetapi wajib atasnya mengikut petunjuk-Nya. Akhirnya dijelaskan dalam ayat ini.

Firman Allah, Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga, dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, - mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izin-Nya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturan-Nya). (Al-Baqarah: 213)

Firman Allah s.w.t: Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga, dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka).

Al-Qurtubi berkata: Dengan maksud atas satu agama. Sedangkan Ubai bin Ka’ab dan Ibn Zaid pula berkata: Dikehendaki dengan manusia ialah segala anak Adam ketika Allah keluarkan mereka daripada Adam lantas mereka ikrar dengan wahdaniah-Nya.

Mujahid berkata: Manusia adalah Adam sahaja kerana dinamakan satu dengan lafaz jamak (ramai) kerana ia merupakan asal.

Ibn Abi Khaisamah berkata: Semenjak Allah menciptakan Adam hingga dibangkitkan Muhammad s.a.w selama 5,800 tahun. Walaupun begitu dikatakan lebih daripada itu dan dikatakan antara Nabi Adam dengan Nabi Nuh 1,200 tahun sedangkan Nabi Adam hidup hampir 960 tahun.

Sayid Qutub berkata: Kisahnya begini. Dahulu manusia merupakan satu umat sahaja. Mereka hidup di atas satu agama, satu kepercayaan dan kefahaman sahaja. Ini merupakan isyarat kepada sekumpulan umat manusia yang pertama dan kecil dari keluarga Adam dan Hawa dan anak-anak pinak keturunan mereka sebelum timbulnya kefahaman-kefahaman dan kepercayaan-kepercayaan.

Keturunan sahaja

Di sini al-Quran menjelaskan bahawa manusia itu adalah berasal dari keturunan sahaja, iaitu dari zuriat anak-anak keluarga pertama Adam dan Hawa. Dan telah menjadi kehendak masyi’ah Allah menciptakan seluruh umat manusia dari hasil zuriat keturunan satu keluarga yang kecil untuk menjelaskan dasar keluarga dalam kehidupan mereka, dan menjadikan keluarga sebagai asas pertama masyarakat.

Kemudian zaman semua manusia berada dalam satu tahap, satu aliran, satu kefahaman dalam lingkungan keluarga yang pertama itu telah berlalu dan kini bilangan mereka telah berkembang menjadi ramai dan berpecah di merata tempat.

Bentuk dan cara hidup mereka juga telah berubah, dan disini muncullah di kalangan mereka berbagai-bagai bakat kebolehan yang dijadikan Allah untuk mereka kerana sesuatu hikmat yang diketahui-Nya iaitu hikmat kebaikan kehidupan manusia yang terletak di sebalik kepelbagaian bakat-bakat kebolehan, kepelbagaian kekuatan dan tenaga dan kepelbagaian haluan dan tujuan.

Firman Allah: Dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan. Dikatakan jumlah nabi seramai 124,000 sedangkan rasul seramai 313. Ini dinukilkan daripada al-Qurtubi.

Al-Tabari berkata: Alif dan lam pada al-Kitab dengan maksud lil ‘ahdi iaitu dikehendaki dengan kitab Taurat. Sayid Qutub berkata: Di sini ketaralah hakikat agung itu, iaitu antara tabiat manusia ialah mereka berbeza pendapat, kerana perbezaan pendapat ini merupakan salah satu lunas dari lunas-lunas tabiat kejadian mereka.

Perbezaan ini dapat merealisasikan satu hikmat yang tinggi dari pelantikan manusia menjadi khalifah di muka bumi ini, kerana urusan pemerintahan memerlukan kepada berbagai-bagai fungsi dan berbagai-bagai bakat kebolehan dari bermacam-macam jenis. Ia supaya semuanya bersepadu dan selaras dan dapat menyempurnakan peranan agungnya menegakkan pemerintahan dan pembangunan di bumi mengikut perancangan induk yang telah ditentukan di dalam ilmu Allah.

Oleh itu wujudnya kepelbagaian bakat kebolehan merupakan sesuatu yang pasti untuk memenuhi kehendak-kehendak kepelbagaian fungsi. Perbezaan bakat-bakat kesediaan itu perlu untuk melayani berbagai-bagai keperluan.

Firman Allah: Dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, - mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri.

Ibn Kathir berkata: Sebenarnya mereka khilaf dalam banyak hal seperti dinukilkan daripada Zaid bin Aslam. Mereka khilaf berhubung dengan penentuan kelebihan hari jumaat begitu juga dengan kiblat di samping solat dan lain-lain.

Bertelingkah

Orang yang dahulunya telah bersatu dalam perkara yang hak dan benar kemudiannya bertelingkah. Tidak lain orang yang bertelingkah itu ialah orang-orang yang dikurniakan kitab Taurat dan Injil. Tetapi masing-masing memperselisihkan isi-isi kitab itu di dalam cara memahami dan memikirkannya – semata-mata didorong oleh rasa hasad dengki dan aniaya sesama mereka – atau kerana tamakkan harta dunia dan berebut hendak menjadi ketua.

Firman Allah: Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izin-Nya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturan-Nya).

Hidayat (petunjuk) dalam ayat ini – setengah ulama mentakwilkan – dengan memilihkan hari Jumaat sebagai hari kebesaran umat Islam bukannya hari Sabtu yang dibesarkan oleh kaum Yahudi ataupun hati Ahad yang dibesarkan oleh kaum Nasrani.

Juga ditakwilkan dengan berkiblat ke Mekah bukan ke Baitulmaqdis seperti orang Yahudi, ataupun berkiblat ke timur seperti orang Nasrani. Ataupun ditakwilkan bahawa Nabi Ibrahim bukanlah membawa syariat Yahudi atau Nasrani, tetapi yang dibawanya ialah syariat Islam yang suci dari menyekutukan Allah.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0620&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz4u9ogp3Ee
© Utusan Melayu (M) Bhd

Hasad dengki boleh membawa pembunuhan

ARKIB : 19/06/2007
LALU hatinya tergamak membunuh saudaranya, maka jadilah dia dari kalangan orang-orang yang rugi. (al-Maidah: 30) 
Huraian

Kisah ini adalah peristiwa pembunuhan Qabil terhadap Habil yang digambarkan oleh al-Quran, ayat sebelumnya mendedahkan kisah yang panjang tentang dua putera Adam (Qabil dan Habil), suatu kisah yang mendedahkan tabiat jenayah dan motif-motifnya di dalam jiwa manusia di samping mendedahkan kesan buruk daripada peristiwa pembunuhan tersebut.

Qabil diperingatkan berulang kali agar jangan membunuh Habil, namun Qabil terus jua membunuh saudaranya Habil tanpa mempedulikan nasihat dan peringatan yang diberikan. Syaitan dan nafsu serakah menguasainya lalu membunuh Habil tanpa belas kasihan.

Qabil merasa dirinya amat rugi dengan perbuatannya, dia terperangkap dalam dilema dan krisis jiwa yang amat dahsyat. Apakan tidak, saudaranya yang selama ini menjadi temannya, seorang penolong setianya, yang suatu masa dahulu sentiasa bersamanya di kala senang dan susah, kini sudah tiada lagi. Sebabnya, kerana perbuatannya yang durjana itu. Dia menyesal, merintih, merayu dan runsing di atas kejahatan yang dilakukan.

Inilah paparan kisah pengajaran yang perlu dijadikan iktibar, sikap yang jahat akan sememangnya meninggalkan kesan yang amat buruk.

Kerunsingan fikiran, keresahan jiwa dan pergolakan dalaman yang amat dahsyat seperti yang dirasai oleh Qabil dalam kes pembunuhan terhadap Habil.

Kesimpulan

Dewasa ini antara punca perbuatan bunuh yang dilaporkan akhbar adalah hasad dengki. Perbuatan bunuh adalah perbuatan yang kejam yang amat dilarang oleh Islam. Islam mengharamkan perbuatan tersebut kerana kesannya bukan sahaja dirasai kepada diri sendiri, tetapi terhadap orang lain, persekitarannya dan keluarganya.

Oleh yang demikian, berusahalah untuk cuba menyucikan diri dari perasaan hasad dengki yang timbul di dalam hati dengan memperbanyakkan zikir kepada Allah s.w.t. serta menerima takdir dari Allah s.w.t. seadanya.

- Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0619&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz4u9WpOvlB
© Utusan Melayu (M) Bhd

Perlu contohi Tun Razak



ARKIB : 16/06/2007

KUALA LUMPUR 15 Jun – Para pemimpin muda UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu menghayati dan mencontohi kehidupan, khidmat dan semangat juang Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dalam membela rakyat serta membangunkan negara.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Allahyarham memberikan sumbangan dan pengorbanan yang terlalu besar kepada negara daripada pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB), penubuhan Felda dan Felcra, pembangunan luar bandar dan pencetus Pernas, Petronas serta MAS.

‘‘Kisah kepimpinan beliau penuh dengan coretan suka dan duka yang menunjukkan bagaimana wawasan global dapat dicapai sambil membawa manfaat besar kepada negara.

‘‘Alangkah ruginya jika kita sebagai pewaris khazanah kepimpinan yang tidak terkira nilainya, tidak mengambil peluang untuk belajar daripadanya supaya kita boleh meneruskan perjuangan beliau yang masih belum selesai,’’ katanya pada majlis perasmian Seminar Legasi Tun Razak Kepada Pembangunan Negara di sini hari ini.

Hishammuddin berkata, DEB yang merupakan cetusan idea Bapa Pembangunan Negara itu membuktikan Allahyarham amat memahami latar belakang masyarakat majmuk negara dan prihatin kepada bangsa.

‘‘Allahyarham menginsafkan semua pihak bahawa orang Melayu terlalu jauh ketinggalan.

‘‘DEB bukan bertujuan merompak hak dan keistimewaan kaum lain tetapi sekadar memberi keadilan kepada bangsa Melayu.” katanya.

Sementara itu, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein akan terus menjadi model kepada pemimpin muda untuk berkhidmat kepada rakyat.

Katanya, ini kerana semangat dan keikhlasan beliau untuk membangunkan bangsa dan negara jelas terbukti menerusi dasar-dasar beliau yang menjadi asas perpaduan nasional sehingga hari ini.

Allahyarham katanya, sentiasa berusaha gigih memastikan pembangunan dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan dan ekonomi dilaksanakan secara adil di seluruh negara.

Justeru beliau kesal dengan usaha segelintir pihak yang cuba menolak Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan Allahyarham atas alasan menghalang pembangunan negara.

‘‘Golongan ini turut beranggapan konsep Barisan Nasional (BN) sebagai gabungan parti politik pelbagai kaum, tidak relevan, tambah beliau.

‘‘Maka adalah penting golongan muda pada hari ini terus mempertahankan asas-asas kekukuhan nasional yang membawa kepada kejayaan negara selama ini daripada ancaman anasir-anasir ini,” katanya pada majlis perasmian Seminar Legasi Tun Razak kepada Pembangunan Negara di sini hari ini.

Khairy yang juga Pengerusi Akademi Pemuda berkata, setiap Perdana Menteri yang memerintah negara ini mempunyai sumbangan masing-masing terhadap pembangunan negara.

Bagaimanapun beliau berkata, kepimpinan Allahyarham paling menyerlah kerana kejayaan membawa pembangunan selepas negara mengalami kerumitan termasuk peristiwa 13 Mei 1969.

‘‘Allahyarham sentiasa berpegang pada prinsip bahawa dalam apa juga keadaan yang dihadapi, kuasa sentiasa terletak di bahu rakyat dan prinsip itulah yang berjaya menyatupadukan semula rakyat selepas menghadapi peristiwa hitam itu,’’ katanya.

Sehubungan itu, beliau mengajak generasi muda untuk meneruskan perjuangan pemimpin terdahulu termasuk Allahyarham dengan mencontohi semangat dan keikhlasan beliau.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0616&pub=Utusan_Malaysia&sec=Persidangan&pg=pr_02.htm#ixzz4u9JuAbty
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tun Razak pemimpin penting



ARKIB : 16/06/2007

KUALA LUMPUR 15 Jun – Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein, bukan sahaja insan yang penting kepada anak sulungnya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tetapi juga kepada Perdana Menteri kini, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Menurut Najib, perkara ini yang tidak pernah diketahui oleh orang ramai, diberitahu sendiri oleh Abdullah kepadanya semasa mereka mengadakan pertemuan sejurus selepas beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

‘‘Beliau mengatakan bahawa saya merupakan anak kandungnya (Abdul Razak) tetapi beliau (Abdullah) merupakan anak politiknya.

‘‘Begitulah pentingnya beliau (Abdul Razak) kepada kami berdua yang sedang memikul amanah memimpin negara sekarang ini,’’ katanya semasa berucap merasmikan Seminar Legasi Tun Abdul Razak Kepada Pembangunan Negara, di sini hari ini.

Majlis perasmian seminar dua hari anjuran Akademi Pemuda dan Persatuan Alumni Yayasan Tun Razak itu turut dihadiri isteri Allahyarham yang juga ibu Najib, Tun Rahah Tan Sri Noah; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin.

Sebanyak lima sesi diadakan bagi membincangkan topik pelajaran, kejayaan dan masyarakat, ekonomi dan pembangunan, hubungan antarabangsa serta pembangunan negara di bawah kepimpinan Allahyarham.

Najib berkata, meskipun agak sukar untuk beliau meluahkan pengiktirafan yang terlalu tinggi kepada bapanya sendiri, namun hakikatnya Allahyarham merupakan sumber motivasi utamanya untuk bekerja keras demi kepentingan rakyat.

Sebagai seorang yang kuat bekerja, katanya, pada 1962, bapanya melakukan perjalanan sejauh 43,000 batu menerusi jalan raya, kapal terbang, helikopter dan bot untuk melawat 45 bilik gerakan negeri serta 118 bilik gerakan daerah di seluruh negara.

Najib juga menyifatkan bapanya sebagai seorang yang tidak gila kuasa, khususnya pada masa beliau menjadi Pengarah Majlis Gerakan Negara (Mageran) dan Majlis Operasi Nasional semasa negara mengalami darurat.

‘‘Seseorang pemimpin yang mempunyai kuasa penuh dan tidak boleh dipersoalkan sesiapa, dengan melihat banyak contoh negara di dunia, biasanya akan menggunakan nikmat kuasa untuk masa yang lama.

‘‘Namun, beliau menganggap kuasa penuh sebagai pengarah merupakan suatu bebanan amanah yang berat.

‘‘Oleh sebab beliau amat mempercayai kepada prinsip-prinsip demokrasi dan tidak mahu menjadi seorang diktator, maka sebab itulah beliau mengembalikan kuasa besar pemerintahan mutlak kepada rakyat dan demokrasi berparlimen,’’ ujarnya.

Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri itu bagi membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat selepas darurat, kata Najib, melambangkan wawasan bapanya yang mendahului zaman dalam membela bangsa dan membina negara.

Menurutnya, ketika berbuat demikian, bapanya sentiasa mengamalkan kehidupan sederhana, tanpa sebarang hobi yang mewah, kerana berasal dari kampung.

‘‘Sebagai contoh, usaha saya dan adik-adik untuk dibina sebuah kolam renang di Sri Taman (kediaman rasmi Abdul Razak dan keluarga) akhirnya tidak menjadi kerana ayah selalu menyebut, nanti apa orang kata,’’ ujarnya.

Tambah beliau, sebagai Perdana Menteri, bapanya turut melakar sejarah di arena antarabangsa antaranya membantu menamatkan konfrontasi dengan Indonesia dan menjalin hubungan diplomatik dengan China.

‘‘Dalam lawatan saya beberapa kali ke China, ramai pemimpin mereka memuji langkah bersejarah dan berjasa ayah saya itu pada 28 Mei 1974, pada waktu negara itu dilihat dengan penuh syak wasangka.

Seperkara lagi yang patut dijadikan teladan, bagi Najib ialah kesetiaan bapa pembangunan negara itu kepada Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan parti.

‘‘Walaupun dianggap boleh mengambil alih kepimpinan daripada Tunku Abdul Rahman lebih awal dari masanya atas desakan pelbagai pihak, namun beliau seorang yang setia.

‘‘Beliau menyebut, saya tidak akan membiarkan diri saya berbuat demikian. Ini bukanlah cara orang Melayu. Jika kita orang kedua, maka kita hendaklah memainkan peranan sebagai orang kedua,’’ katanya.

Semasa menjadi Presiden UMNO pula katanya, Allahyarham pernah berpesan agar parti sebagai warisan khazanah negara ditatang dan dipelihara dengan sempurna.

Ketika hampir menamatkan ucapan, Najib mula sebak dan tersekat kata-katanya apabila menyifatkan bapanya yang meninggal dunia pada 14 Januari 1976, pada usia 54 tahun, sebagai negarawan yang dekat di hatinya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0616&pub=Utusan_Malaysia&sec=Persidangan&pg=pr_01.htm#ixzz4u9HLtG8G
© Utusan Melayu (M) Bhd