Ad

Monday, 18 September 2017

'Saya bangga'

Sukhairi Thani dan Helmi Talkah
bhsukan@bh.com.my
 
Kuala Lumpur: Sesuatu yang membanggakan! Itu kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar selepas melihat beberapa pemain bola sepak kebangsaan yang kini berada dalam radar kelab di rantau Asia Tenggara.

Selepas menunjukkan prestasi cemerlang di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur, enam pemain skuad bawah 22 tahun (B-22) seperti Adam Nor Azlin, Adib Zainudin dan N Thanabalan dilaporkan kini diintai beberapa kelab utama Thailand.

“Saya bangga kerana ada pasukan daripada negara serantau yang menunjukkan minat terhadap pemain kita yang beraksi di Sukan SEA,” kata Khairy selepas melakukan lawatan di sekitar venue pertandingan Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur (Para KL2017), di Bukit Jalil, semalam.

“Ini satu petanda baik dan mungkin kita juga dapat melihat bagaimana kita boleh memberi pendedahan yang lebih baik lagi terutamanya kepada pemain pasukan yang di bawah kendalian Bojan Hodak (B-19) dan Lim Teong Kim (pengendali Program Pembangunan Bola Sepak Negara) selepas ini.

“Ini penting untuk mereka menceburi dan memajukan kerjaya bola sepak bukan saja di sini tetapi juga di luar negara termasuk di kelab besar di Asia Tenggara, di benua Asia dan kalau ada peluang di Eropah dan sebagainya.

“Kalau kita dapat gunakan kejayaan dikecapi ini dan tingkatkan lagi kemampuan pemain, saya rasa pasukan senior negara dalam tempoh lima tahun akan datang tentunya menjadi pasukan digeruni sekiranya diambilkira dengan kebolehan dan kemampuan pasukan muda yang kita ada ketika ini.”

Sementara itu, Khairy turut berpuashati dengan pretasi pasukan B-19 tahun kendalian Bojan yang melangkah mara ke pentas final Kejuaraan B-18 AFF 2017 bertemu Thailand esok selepas mencatat kemenangan 5-4 menerusi penentuan penalti ke atas tuan rumah Myanmar, kelmarin.

Bagi Khairy, ia bukti jelas kemampuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam membentuk generasi pasukan yang mampu menyerlah di masa depan.

“Saya nak ucap tahniah kepada B-19 yang layak ke final AFF B-18. Kalau kita tengok kejayaan pasukan kebangsaan muda terutamanya B-22 yang layak ke Piala AFC B-23... ini pasukan yang sama ke final Sukan SEA dan rangkul pingat perak manakala B-19 ke final AFF.

“Ini bukti perubahan yang di bawah kepimpinan FAM kini sudah mula membuahkan hasil. Ini perkembangan positif yang perlu diberi sokongan dan saya percaya FAM sekarang ini sudah melihat untuk lima hingga 10 tahun akan datang.

“Jadi kejayaan ini menunjukkan masa depan bola sepak semakin cerah. Cuma, perlu kekalkan momentum dan pastikan mereka ini akan dapat pengalaman di liga serantau dan antarabangsa,” katanya.

sumberArtikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2017 @ 2:51 AM

No comments:

Post a Comment