ARKIB : 04/01/2007
Murid kerdil mulakan
persekolahan penuh semangat
Oleh: AIZAWATI AHMAD
MUHD. Zull Hanif Abd. Halim
yang ketinggiannya hanya 72sm disediakan meja dan kerusi khas ketika memulakan
persekolahan di Sekolah Kebangsaan Sinar Mutiara, Sungai Miang, Pekan, Pahang,
semalam.
PEKAN 3 Jan. Bagi Muhd. Zull
Hanif Abd. Halim dunia ini semuanya besar. Dengan ketinggian hanya 72
sentimeter atau kira-kira 2 kaki 6 inci, dia memulakan alam persekolahan tahun
satu hari ini.
Walaupun bertubuh kecil,
semangatnya tidak kecil. Jiwanya besar. Dia amat berbangga dapat bersama
rakan-rakan normal lain memulakan alam persekolahan di Sekolah Kebangsaan Sinar
Mutiara di sini.
Dengan berat badan 7.5
kilogram, pihak sekolah yang prihatin sudah bersedia menerima kedatangan
kanak-kanak istimewa ini dengan pelbagai persiapan.
Guru Besar sekolah tersebut,
Ab. Razak Jaapar berkata, pihaknya akan memastikan Zull Hanif berasa selesa
sewaktu berada di sekolah.
Sebagai permulaan, pihak
sekolah akan menempatkan Zull Hanif di bilik makan prasekolah apabila tiba
waktu rehat dan dia juga akan menggunakan kemudahan tandas bersaiz kecil.
Kita berbuat demikian bagi
mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku ke atas dirinya,
katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Menurutnya lagi, bagi
memastikan Zull Hanif turut menggunakan meja dan kerusi seperti yang digunakan
oleh rakan-rakannya yang lain, pihak sekolah bercadang untuk memotong kaki meja
serta kerusi untuk disesuaikan dengan saiz tubuhnya.
Jelas Ab. Razak, beliau turut
memaklumkan kepada guru-guru di sekolah itu agar dapat memberikan perhatian
yang lebih kepada Zull Hanif bagi memastikan kanak-kanak kerdil itu dapat
memanfaatkan masanya di sekolah dengan sebaik mungkin.
Sementara itu, guru kelas
kanak-kanak tersebut, Norhanizah Abu Hanipah memberitahu, setakat ini, Zull
Hanif terpaksa menggunakan kerusi dan meja prasekolah dan dia ditempatkan di
bahagian hadapan kelas.
Pergaulannya bersama rakan
sekelas semuanya berjalan dengan baik dan saya akan memastikan dia tidak berasa
terasing sewaktu berada di dalam kelas, ujarnya.
Bapa Zull Hanif, Abd. Halim
Sulaiman, 30, ketika ditemui berkata, disebabkan saiz tubuh anaknya yang
terlalu kecil, dia terpaksa menempah baju sekolah dan membelikan kasut bayi
untuk kegunaan anaknya itu.
Selain itu, katanya, dia turut
berhadapan dengan masalah untuk menghantar anaknya itu berulang-alik dari rumah
ke sekolah.
Saya perlu bekerja dan saya
tidak punya masa yang cukup untuk menghantarnya ke sekolah pada setiap hari,
jelasnya.
Namun begitu, Abd. Halim
memberitahu, dia tidak mempunyai pilihan lain kerana anaknya itu amat
memerlukan perhatian terutamanya untuk menghantar dan mengambilnya dari
sekolah.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm#ixzz4sMaUuRag
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment