Ad

Saturday, 23 September 2017

NS Naza tewaskan kelab Hong Kong



 
RKIB : 25/04/2007
Pemain Negeri Sembilan, Mohamad Syamsol (kanan) diasak lawannya dari Sun Hei FC, Victor pada perlawanan Piala AFC di Stadium Paroi, Seremban, malam tadi. – GAMBAR MD.SHAHJEHAN MAAMIN.

SEREMBAN – Negeri Sembilan Naza memperoleh kemenangan sulung dalam kempen Kumpulan D Piala AFC selepas menewaskan kelab Hong Kong, Xiangzue Sun Hei 1-0 pada perlawanan di Stadium Tunku Abdul Rahman Paroi di sini, semalam.

Frederico Santos muncul wira skuad Rusa apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan itu pada minit ke-87.

Walaupun diselubungi kontroversi membabitkan jurulatih, Hatem Souissi yang menyerang penyokong sendiri baru-baru ini, ia langsung tidak menjejaskan semangat NS Naza untuk memungut tiga mata penuh.

Ini dibuktikan apabila pasukan tuan rumah memulakan aksi dengan melakukan asakan awal ke kubu lawan.

Begitu pun, kegarangan yang cuba dijelmakan skuad bimbingan Hatem pada babak pertama nyata tidak memberi apa-apa kesan kepada pasukan pelawat.

Sebaliknya, kubu NS Naza pula dikejutkan dengan asakan awal pendahulu Kumpulan D itu seawal minit ketiga.

Pemain import wakil Hong Kong itu, Victor Inegbenoise berjaya menyambut hantaran lintang rakan sepasukan, Chan Yiu Lun tetapi ia sekadar mencemaskan penjaga gol skuad rusa, Azizon Abd. Kadir di gawangnya.

Namun begitu, pada minit ketujuh, giliran Yiu Lun pula memperoleh peluang terbaik untuk menghasilkan gol apabila hanya berdepan satu lawan satu dengan Azizon.

Bagaimanapun, kegopohan menyempurnakan peluang keemasan itu menyaksikan bola sepakannya melambung tinggi di atas palang gol.

Pada minit ke-28, NS Naza melancarkan satu gerakan berbahaya ke kubu Xiangzue Sun Hei apabila Liew Kit Kong melakukan hantaran cantik kepada pemain tengah, Anuar Jusoh.

Malangnya, tandukan yang dilakukan Anuar terus ke dakapan penjaga gol lawan, Chan Ka Ki.

Sebaik aksi babak kedua bermula, NS Naza mula mempamerkan sengat apabila pemain import dari Angola, Santos dapat menampan bola hantaran Shahurain Abu Samah tetapi bola melambung tinggi pada minit ke-50.

Skuad Rusa yang sebelum ini tewas 0-2 kepada Xiangzue Sun Hei di Stadium Mongkok pada 10 April lalu memperoleh satu lagi peluang keemasan menerusi Shahurain tetapi gerakan solonya pada minit ke-64 berakhir dengan kehampaan.

Terdesak memburu jaringan, NS Naza semakin garang mengasak ke kubu lawan dan pada minit ke-77, Santos berjaya mengelirukan benteng pertahanan Xiangzue Sun Hei.

Bagaimanapun, bola umpanannya gagal disempurnakan Kit Kong apabila bola tersasar di sebelah kiri.

Ketika perlawanan seakan berkesudahan dengan keputusan seri, Santos menebus kesilapan awalnya dengan menghasilkan gol kemenangan tujuh minit kemudian.

Biar pun dikawal ketat, Santos bijak menyempurnakan hantaran lintang Shahurain untuk mengecewakan pasukan pelawat.

Kemenangan itu sekaligus menghidupkan peluang NZ Naza untuk terus mencabar dalam Kumpulan D dengan mengumpul lima mata setakat ini.

NS Naza akan bertemu kelab Vietnam, Hoa Pat Hanoi di Stadium Hangday Hanoi pada 8 Mei ini.

Sementara itu, dalam saingan Kumpulan F, satu lagi wakil negara, Pahang tewas buat kali keempat berturut-turut.

Pada perlawanan di Stadium Tampines Singapura, Pahang tumbang 0-2 kepada pendahulu kumpulan itu, Tampines Rovers.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0425&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4tY5EMCuN
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment