ARKIB : 02/01/2007
Oleh A. JAILANI ABDULLAH
KUALA LUMPUR Ketiadaan bekas
ketua pasukan Rosdi Talib daripada skuad kebangsaan telah menimbulkan persoalan
siapa yang memikul tugasan itu pada Kejohanan Bola Sepak ASEAN (Kejohanan AFF)
yang akan bermula pada pertengahan bulan ini.
Dengan beberapa pemain yang
berada dalam kem latihan ketika ini pernah memikul tanggungjawab selaku ketua
pasukan, jurulatih Norizan Bakar mempunyai satu lagi masalah iaitu memikirkan
siapa untuk dipilihnya bagi mengetuai pasukan di Bangkok apabila Malaysia
memulakan kempen dengan menentang Filipina dalam Kumpulan A.
Beberapa pemain yang ada ini
pernah menjadi ketua pasukan, jadi bukan mudah bagi saya untuk membuat pilihan
sekarang.
Saya percaya bahawa selain
keputusan saya sendiri, ketua pasukan itu nanti mestilah selesa dengan tugasnya
dan dia dihormati oleh pemain-pemain lain kalau tidak ia akan hanya berupa
satu jawatan sahaja, kata Norizan.
Bagi Kejohanan AFF yang akan
bermula pada 12 Januari, Malaysia diundi ke dalam Kumpulan A bersama-sama tuan
rumah Thailand, yang masih segar dengan kemenangan 3-1 ke atas Vietnam dalam
perlawanan akhir Piala Raja Thai kelmarin.
Pasukan lain dalam kumpulan itu
ialah Myanmar yang baru-baru ini menjulang Piala Cabaran Grand Royal 2006 di
Mandalay dan Filipina, yang muncul sebagai salah satu daripada dua pasukan yang
melepasi pusingan kelayakan.
Pada Sukan Asia di Doha, Qatar,
skuad negara diketuai oleh pemain pertahanan Norhafiz Zamani Misbah manakala
ketika melawat New Zealand pada awal tahun ini, tugasan itu diberikan kepada
pemain tengah Telekom, Mohd. Hardi Jaafar.
Mohd. Shukor Adan, Hairuddin
Omar dan Muhammad Khaironnisam Shahabuddin juga pernah menjadi ketua pasukan
apabila skuad negara dikendalikan oleh bekas jurulatih Bertalan Bicskei.
Senarai itu bertambah panjang
kerana ketua pasukan Bawah 23 di Sukan SEA tahun lepas, Mohd. Fadzli Saari
turut berada dalam kem latihan manakala Safiq Rahim adalah ketua pasukan Bawah
20 sebelum dia terpaksa berehat setelah menjalani pembedahan akibat kecederaan
ligamen lutut.
Walaupun hak membuat pilihan
adalah milik mutlak Norizan, tetapi skuad negara memerlukan ketua pasukan yang
bukan sahaja arahannya dihormati tetapi juga boleh mengatur dan mengubah rentak
permainan di atas padang.
Pada dasarnya, skuad negara
memerlukan seorang jeneral, bukan hanya seorang leftenan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4sMQqRC1m
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment