Ad

Monday, 11 September 2017

Kelahiran Nabi Yahya


ARKIB : 05/01/2007
Kisah Al-Quran - Siri 23
Kelahiran Nabi Yahya
HAI Zakaria, sesungguhnya Kami memberi khabar gembira kepadamu akan (beroleh) seorang anak yang namanya Yahya, yang sebelumnya Kami belum pernah menciptakan orang yang serupa dengan dia. (Maryam: 7).

NABI Yahya merupakan putera kepada Nabi Zakaria. Setelah berpuluh-puluh tahun mendirikan rumah tangga, namun Nabi Zakaria dan isterinya masih belum dikurniakan anak.

Sejak dahulu hinggalah usia baginda menjangkau lebih 90 tahun, keinginan untuk mendapatkan anak tidak pernah pudar di hati baginda dan isterinya. Walaupun begitu, baginda tetap bersabar dengan dugaan Allah s.w.t. kepada mereka.

Apa yang membimbangkan Nabi Zakaria ialah tidak ada waris yang akan menggantikannya untuk menyampaikan ajaran Allah s.w.t. apabila baginda wafat kelak.

Baginda juga bimbang tidak ada orang yang akan mewarisi ilmu-ilmunya dan khuatir jika umatnya nanti akan menjadi sesat. Sebab itulah Nabi Zakaria tidak putus-putus berdoa kepada Allah supaya mengurniakan zuriat (anak) kepadanya.

Doa Nabi Zakaria yang penuh keikhlasan itu dimakbulkan jua oleh Allah s.w.t. Allah telah mengutuskan malaikat untuk menyampaikan khabar gembira itu kepada baginda. Akhirnya isteri baginda didapati mengandung. Nabi Zakaria dan isterinya sangat gembira dengan kurniaan Allah itu.

Apabila tiba masanya, lahirlah anak tersebut dan namanya diberikan oleh Allah iaitu Yahya. Nama Yahya itu khusus untuk anak Nabi Zakaria sahaja dan tidak pernah lagi diberikan kepada orang lain sebelum itu. Anak yang dilahirkan itu bakal menjadi seorang pemimpin yang besar suatu masa kelak.

Kebimbangan Nabi Zakaria berakhir apabila Yahya dilahirkan. Sejak dari kecil, Nabi Yahya diberikan sepenuh perhatian dan kasih sayang oleh kedua-dua ibu bapanya. Nabi Zakaria sangat menyayangi Nabi Yahya kerana itulah satu-satunya anak yang baginda ada.

Nabi Yahya dididik dengan pendidikan agama yang sebaik-baiknya. Allah telah kurniakan kepada Nabi Yahya keistimewaan iaitu bijak dan cepat memahami sesuatu perkara, lemah-lembut, diberi keselamatan serta dihindarkan daripada bahaya dan sebarang penyakit.

Sebagaimana yang digambarkan oleh Allah, Nabi Yahya mempunyai keperibadian yang baik, bertakwa, bersih daripada kejahatan dan hidup dalam kesederhanaan. Allah juga telah menjauhkan Nabi Yahya daripada kemaksiatan. Allah memerintahkan baginda supaya membaca dan mempelajari kitab Taurat serta mengamalkan ajaran-Nya dengan bersungguh-sungguh.

Nabi Yahya dilantik menjadi nabi pada tahun 27 Masihi. Baginda membantu ayahnya berdakwah kepada Nabi Israel. Baginda sangat berani dalam menegakkan kebenaran dan menjalankan hukum agama dengan tegas. Nabi Yahya selalu menyeru kaumnya yang berdosa agar segera bertaubat. Taubat itu dilakukan di Sungai Jordan dengan cara memandikan atau dibaptis. Sehingga sekarang, upacara pembaptisan dilakukan oleh orang Kristian.

Nabi Yahya seorang yang kuat beribadat dan menghabiskan seluruh kehidupannya untuk beribadat pada jalan Allah. Akhirnya Allah mengutuskan Yahya sebagai nabi dan rasul selepas ayahnya, nabi Zakaria.

Mengikut apa yang diceritakan oleh Nabi Muhammad s.a.w.. Nabi Yahya diberi tugas untuk menyampaikan lima kalimah yang diperintahkan Allah, iaitu:

* Menyembah Allah s.w.t. dan dilarang

* menyekutu-Nya

* Mendirikan solat

* Berpuasa

* Bersedekah

* Berzikir mengingati Allah

*Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd.. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel: edusb@ streamyx.com.

PENGAJARAN

*Doa yang diminta dengan penuh keikhlasan dan bersungguh-sungguh, pastinya akan dimakbulkan oleh Allah.

* Orang yang beribadat dengan bersungguh-sungguh dan penuh ketakwaan kepada Allah s.w.t. akan mendapat ganjaran pahala yang cukup besar dan mendapat kedudukan yang mulia di akhirat kelak.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz4sMt3iqyU
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment