Ad

Friday, 15 September 2017

Beregu muda kita benam juara dunia



 
ARKIB : 19/01/2007
Oleh: NORZIE MOHD. KHASBI dan MOHD. TAHER KAMIL
 
PASANGAN beregu negara, Tan Bin Shen (depan) dan Ong Soon Hock bersorak gembira sebaik menewaskan juara dunia, Fu Haifeng-Cai Yun dari China di pusingan kedua Kejohanan Terbuka Malaysia di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras, semalam.

KUALA LUMPUR - Beregu muda negara, Tan Bin Shen-Ong Soon Hock menumbangkan juara dunia, Fu Haifeng-Cai Yun untuk melakar kejutan terbesar pada kejohanan badminton Terbuka Malaysia, hanya beberapa minit selepas pemain nombor satu dunia, Lin Dan tumpas kepada pemain Korea Selatan, Park Sung Hwan pada pusingan kedua di Stadium Badminton Kuala Lumpur (KLBA), Cheras, semalam.

Kuala Lumpur nampaknya bukan destinasi kegemaran jaguh-jaguh China selepas Bin Shen-Soon Hock, yang hanya memulakan kejohanan bernilai AS$200,000 (RM708,000) itu dari pusingan kelayakan menghukum beregu nombor satu dunia dan juara Seluruh England, Haifeng-Cai Yun 25-23, 21-17 untuk melangkah ke suku akhir.

Beberapa minit sebelum itu, atas gelanggang sama, juara perseorangan lelaki dunia dan naib juara tahun lalu, Lin Dan seperti hilang selera untuk meneruskan saingannya di Terbuka Malaysia selepas tewas mudah 14-21, 17-21 kepada Sung Hwan. Perlawanan pertamanya ketika mengalahkan seteru utama, Taufik Hidayat di saingan pembukaan kelmarin, jauh lebih menarik.

Bagi Bin Shen-Soon Hock, yang hanya menduduki ranking 32 dunia, kemenangan semalam adalah yang pertama berjaya dicatatkan ke atas beregu handalan China itu daripada empat pertemuan mereka.

Kemenangan ini juga bakal menemukan pasangan Malaysia itu dengan beregu Amerika Syarikat/Indonesia dan pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2000, Tony Gunawan-Candra Wijaya di suku akhir, hari ini.

“Ini adalah perlawanan terbaik kami selepas kemenangan ke atas pasangan Denmark Jens Eriksen-Martin Lundgaard Hansen pada 2005, kami berazam untuk memenangi perlawanan ini untuk membalas kepercayaan yang diberikan oleh jurulatih (Rexy Mainaky),” kata Soon Hock.

Sementara itu, pemain nombor satu negara, Lee Chong Wei berada dalam landasan terbaiknya untuk mempertahankan kejuaraan buat kali keempat berturut-turut selepas mencatat kemenangan 21-14, 21-17 ke atas pemain Poland, Wacha Przemyslaw.

Turut meneruskan kemaraan ke suku akhir adalah pemenang pingat emas Sukan Asia, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang menundukkan pasangan Denmark, Simon Mollyhus-Anders Kristiansen 21-18, 21-19, sekaligus menempah pertemuan dengan Shuichi-Sintaro.

Bagaimanapun, Chong Wei menjadi wakil tunggal Malaysia dalam saingan perseorangan lelaki selepas cabaran Wong Choong Hann dan Kuan Beng Hong berakhir di tangan dua pemain China, Chen Jin dan Bao Chunlai.

Choong Hann mengheret pemain nombor tiga dunia, Chen Jin beraksi dalam perlawanan satu jam 12 minit sebelum tunduk 21-15, 18-21, 20-22, manakala Chunlai bukan tandingan buat Beng Hong apabila mudah mengalahkan pemain nombor tiga negara itu 21-10, 21-13.

Chunlai akan menanti Chong Wei di suku akhir hari ini dan Chen Jin, yang menjadi sandaran terbaru China selepas kekalahan Lin Dan akan berdepan rakan senegara, Chen Hong, yang menamatkan saingan perseorangan Indonesia, Sony Dwi Kuncoro 21-14, 16-21, 21-13.

Wong Mew Choo pula menjadi pemain wanita tunggal negara beraksi hari ini apabila menumpaskan pemain India, Saina Nehwal 21-17, 21-12 untuk menentang pilihan ketiga dari China, Xu Huaiwen, manakala cabaran beregu wanita berakhir dengan kekalahan Lim Pek Siah-Joanne Quay kepada pasangan China, Jiang Yanmei-Lu Yujia 9-21, 19-21.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4skVRFNky
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment