Ad

Sunday, 10 September 2017

Dakwah Nabi Yunus kepada kaumnya



ARKIB : 22/12/2006
Kisah Al-Quran - Siri 21

Dakwah Nabi Yunus kepada kaumnya
Sesungguhnya Yunus benar-benar salah seorang rasul...(ash-Saaffat: 139)

NEGERI Ninawa adalah sebuah negeri yang didiami oleh rakyat yang menyembah berhala.

Mereka hidup di dalam kesesatan, kejahilan, kebodohan dan kekufuran.

Oleh sebab itulah, Allah s.w.t. mengutuskan Nabi Yunus membawa ajaran tauhid dan mengajak mereka menyembah Allah s.w.t.. Nabi Yunus hendaklah memberi petunjuk kepada mereka supaya meninggalkan penyembahan berhala yang tidak memberi sebarang manfaat kepada mereka. Dengan itu, Nabi Yunus pun menyeru penduduk Ninawa supaya menyembah Allah s.w.t. dan menerima ajarannya.

“Wahai penduduk Ninawa, hendaklah kamu menyembah Allah dan meninggalkan penyembahan berhala,” kata Nabi Yunus kepada mereka.

Lalu mereka menjawab: “Kami tidak akan meninggalkan kepercayaan yang telah menjadi adat kebiasaan turun temurun ini dan kami tetap akan menyembah berhala.”

Walaupun itu jawapan daripada mereka, Nabi Yunus tidak berputus asa dan terus berdakwah. Bertahun-tahun lamanya Nabi Yunus berdakwah kepada mereka. Namun mereka tetap tidak mahu menerima ajaran yang dibawa oleh Nabi Yunus.

Oleh sebab itulah, Nabi Yunus berdoa kepada Allah s.w.t. agar mereka menerima dakwah itu. Maka Allah s.w.t. telah mewahyukan agar Nabi Yunus terus berdakwah dalam tempoh 40 hari lagi.

Sekiranya dalam masa 40 hari pun mereka tetap tidak mahu menyembah Allah s.w.t., maka Allah s.w.t. akan menurunkan seksaan bagi mereka.

“Aku khuatir sekiranya Allah s.w.t. akan menurunkan seksaan atas kekufuran kamu semua yang berterusan. Tidak ada seorang pun yang boleh menyelamatkan diri daripada-Nya melainkan dia mahu beriman kepada Allah s.w.t.,” kata Nabi Yunus.

Mereka menjawab: “Kami tidak akan menerima ajaranmu dan kami tidak takut akan seksaan Tuhanmu itu. Datanglah seksaan itu sekiranya kamu daripada kalangan yang benar.”

Nabi Yunus sangat marah apabila mendengar kata-kata tersebut dan mengambil keputusan untuk meninggalkan mereka. Nabi Yunus berhijrah ke negeri lain dengan hati kesal.

Semasa ketiadaan Nabi Yunus itulah, Allah telah menurunkan seksaan bagi mereka. Pada awalnya tahap kepanasan meningkat tinggi sehingga menyebabkan kulit mereka berubah dan menjadi cacat.

Barulah mereka teringat akan seruan dan kata-kata Nabi Yunus. Walaupun begitu, tahap kepanasan terus meningkat. Mereka tidak tahan dengan kepanasan itu dan mula sedar.

Mereka bertaubat kepada Allah s.w.t. dengan bersungguh-sungguh dan seikhlas hati. Allah s.w.t. menerima taubat mereka dan menghentikan seksaan ke atas mereka.

- *Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd.. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel: edusb@ streamyx.com.

PENGAJARAN

*Sesungguhnya Allah s.w.t. akan menurunkan azab kepada sesiapa yang mengingkari perintah-Nya.

*Sesungguhnya hanya Allah sahaja yang menerima taubat hamba-hamba-Nya yang ikhlas.

PERBENDAHARAAN KATA

adat: peraturan yang sudah diamalkan turun temurun

seksaan: azab

berhijrah: berpindah

taubat: sesal akan dosa yang dilakukan

INFORMASI

Nabi Yunus dilantik menjadi rasul yang ke-21 ketika baginda berusia 30 tahun.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz4sG91r3hJ
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment