Ad

Saturday, 16 September 2017

Kisah Al-Quran - Siri 26

ARKIB : 26/01/2007
Keteguhan iman Saad bin Abi Waqqas
DAN jika kedua (ibu bapa) memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu tanpa pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu menurutinya dan gaulilah mereka dengan baik di dunia, ikutlah jalan orang yang kembali kepada-Ku, hanya pada Akulah tempat kembali, Maka Aku akan khabarkan kepada kamu apa yang telah kamu lakukan. (Luqman: 15)

SAAD bin Abi Waqqas adalah anak kepada Hamnah binti Abu Sufyan. Saad patuh dan taat kepada ibunya. Akan tetapi, Saad telah memeluk agama Islam sedangkan ibunya masih dalam kekafiran.

Setelah mengetahui Saad memeluk Islam, ibunya amat marah dan bersumpah tidak akan berbicara dengan Saad dan mahu menahan dirinya daripada makan dan minum.

“Wahai anakku, sekiranya kamu tidak meninggalkan agama baru yang kamu anuti itu, aku tidak akan makan dan minum sesuatupun sehingga aku mati. Jika aku mati kerana itu, penduduk Mekah akan mencela kamu sebagai pembunih ibunya sendiri,” kata ibunya.

“Aku tidak akan meninggalkan agamaku ini walau apa pun yang terjadi,” kata Saad kepada ibunya.

Maka ibunya terus menahan daripada makan dan minum. Dia menyangka dan mengharap dengan perbuatannya itu, Saad akan meninggalkan Islam. Akan tetapi Saad tetap berpegang teguh dengan ajaran Islam.

Oleh kerana menahan daripada makan dan minum, ibunya menjadi letih dan tidak berdaya. Kemudian Saad dirayu oleh keluarganya agar melawat ibunya. Mereka berharap apabila Saad melihat keadaan ibunya yang sedemikian, hati Saad akan menjadi lembut.

Maka Saad pun datanglah menemui ibunya. Kemudian Saad pun menghampiri ibunya lalu berkata:

“Wahai ibuku, sekiranya ibu mempunyai 100 nyawa dan nyawa-nyawa itu akan keluar satu demi satu dari dalam tubuh ibu, aku tetap tidak akan meninggalkan agamaku. Jika ibu berasa lapar, makanlah dan sekiranya tidak mahu makan, tak usahlah ibu makan,” kata Saad.

Dengan ketegasan hati Saad yang mempertahankan agamanya, ibunya mulai makan dan minum.

Kemudian turunlah wahyu menyokong pendirian Saad serta mengucapkan selamat kepadanya (surah Luqman ayat 15).

Saad terkenal sebagai orang yang paling mustajab doanya. Rasulullah s.a.w. pernah berdoa untuk Saad. Sabda Baginda: “Ya Allah, tetapkanlah bidikan panahnya (saad) dan kabulkanlah doanya.”

*Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel: edusb@streamyx. com.

PENGAJARAN

*Sesungguhnya kita hendaklah menghormati ibu bapa, akan tetapi sekiranya ibu bapa kita itu menyuruh membuat kemungkaran, maka kita boleh mengingkari perintahnya

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0126&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm#ixzz4spQwtfq4
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment