ARKIB : 16/03/2007
Kisah Al-Quran - Siri 31
Tercetusnya peristiwa Nakhla
MEREKA bertanya kepadamu
tentang berperang pada bulan haram. Katakanlah: Berperang pada bulan itu adalah
berdosa besar, tetapi menghalangi (manusia) dari jalan Allah, kafir kepada
Allah, (menghalangi masuk) ke Masjidil Haram dan mengusir penduduknya dari
sekitarnya, lebih besar (dosanya di sisi Allah). Dan berbuat fitnah lebih besar
dosanya daripada membunuh. (Al-Baqarah: 217)
Selepas 17 bulan berada di
Madinah, pada bulan Rejab bersamaan November 623 Masihi, Rasulullah telah
memerintahkan Abdullah bin Jahsy al-Asadi bersama 12 orang sahabat daripada
kaum Muhajirin pergi ke Nakhla iaitu sebuah tempat yang terletak di perbatasan
antara Thaif dan Mekah. Surat tertutup telah diberikan oleh Rasulullah s.a.w.
Isi kandungan surat itu
mengandungi perintah supaya Abdullah mengadakan pengintipan terhadap lalu
lintas kafilah orang-orang Quraisy yang datang dari Thaif dengan membawa muatan
barang-barang dagangan menuju ke Mekah.
Sejurus mereka tiba di Nakhla,
kelihatan kafilah-kafilah Quraisy dengan muatan barang-barang dagangan sedang
menuju ke Mekah. Terjadilah pertempuran yang disusuli serang menyerang antara
Abdullah dan kawan-kawannya terhadap orang-orang Quraisy lalu menawan Usman bin
Abdullah dan al-Hakam bin Kisas. Manakala barang-barang dagangan dan harta
benda dirampas oleh Abdullah.
Kembalilah Abdullah ke Madinah
dengan barang-barang rampasan dan dua orang tawanannya. Beliau mengadap
Rasulullah untuk menyampaikan laporan perjalanannya. Setelah mendengar cerita
Abdullah, Rasulullah mengatakan bahawa Baginda hanya memerintahkan mereka untuk
mengintip bukan berperang dalam bulan haram.
Baginda meninggalkan dua orang
tawanan dan barang rampasan begitu sahaja sehingga menantikan wahyu daripada
Allah yang akan menentukan segala-galanya.
Setelah menerima wahyu daripada
Allah, ternyata bahawa perbuatan Abdullah dan kawan-kawannya berperang
menegakkan jalan Allah itu tidak salah walaupun dalam bulan haram. Semua
barang-barang rampasan itu dibahagi-bahagikan oleh Baginda menurut syariat dan
ketentuan Islam. Kedua-dua tawanan itu dikembalikan ke Mekah.
- Petikan daripada buku Untaian
366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel:
edusb@streamyx. com.
PENGAJARAN
*Janganlah bertindak
terburu-buru kerana ia akan mengundang kemudaratan pada diri sendiri.
Sebaliknya, kita hendaklah bertindak mengikut akal fikiran kerana ia akan
membawa kebaikan.
*Sekiranya ada perkara yang
boleh membawa kebaikan maka tunaikan dengan segera
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0316&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm#ixzz4tPFycdmM
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment