Ad

Friday, 29 September 2017

Rasulullah hidup berdikari



ARKIB : 08/06/2007
Kisah Al-Quran (SIRI 44)
WAHAI orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan harta-harta di antara kamu dengan jalan yang salah (haram) kecuali dengan (jalan) urusniaga yang kamu reda sesama kamu.

Dan janganlah kamu berbunuhan, sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu. (al-Nisa’: 29)

RASULULLAH s.a.w. terkenal di kalangan kaum Quraisy sebagai seorang kanak-kanak yang berbudi pekerti mulia. Baginda tidak pernah bercakap bohong dan sangat menghormati orang tua. Baginda sentiasa bersikap ringan tulang dan tidak suka menyusahkan orang lain.

Rasulullah sedar Abu Talib iaitu bapa saudaranya bukan daripada kalangan orang kaya. Abu Talib hidup secara sederhana sahaja. Oleh sebab itu, Rasulullah sentiasa bekerja keras bagi meringankan beban pakciknya itu.

Setiap hari, Rasulullah akan menolong Abu Talib menggembala kambing-kambingnya. Baginda juga mengambil upah menggembala kambing-kambing milik beberapa penduduk Mekah. Rasulullah tidak pernah menyakiti binatang-binatang ternakannya. Baginda juga tidak pernah membiarkan kambing-kambingnya itu kelaparan.

Pemilik kambing-kambing yang dijaga oleh Rasulullah sangat berpuas hati dengan cara Rasulullah menggembala kambing mereka.

Mereka selalu memuji sifat amanah Rasulullah. Mereka memuji-muji Rasulullah di hadapan Abu Talib.

“Muhammad itu memang seorang budak yang bagus. Tepat sekali gelaran al-Amin yang kita berikan kepadanya. Dia menjaga kambing-kambing yang digembalanya dengan baik. Bagaikan kambing-kambing itu miliknya sendiri,” kata seorang lelaki Quraisy kepada Abu Talib.

“Betul tu! Bertuah sungguh saudara mempunyai anak saudara seperti itu,” sampuk seorang lelaki yang lain.

Abu Talib sangat gembira mendengar pujian itu. Beliau berbangga mempunyai anak saudara seperti Rasulullah. Rasulullah berkawan dengan semua orang, namun Baginda tidak pernah terikut-ikut dengan kelakuan mereka. Kebanyakan kanak-kanak Quraisy pada masa itu berkelakuan kasar dan nakal.

Pada suatu hari, Abu Talib bercadang akan pergi berniaga di Syam bersama-sama dengan kafilah Quraisy. Beliau bercadang membawa Rasulullah bersama dan memberitahu isterinya.

“Bagus cadangan kanda itu. Muhammad seorang budak yang amanah dan berbudi bahasa. Tentu ramai pelanggan akan tertarik dengan dagangan kita nanti,” kata isteri Abu Talib.

Abu Talib pun membawa Rasulullah bersama-samanya pergi berniaga di Syam. Jarak antara Syam dengan Mekah sangat jauh dan mengambil masa yang lama. Mereka pergi dengan menunggang unta. Kadang-kadang mereka terpaksa berjalan kaki untuk memberi peluang kepada unta masing-masing berehat. Apabila penat, mereka akan berhenti rehat. Pada waktu malam, mereka tidur di dalam khemah dan meneruskan perjalanan keesokkan harinya. Pagi-pagi lagi mereka sudah bertolak.

Perjalanan sukar yang ditempuhi menyebabkan ramai yang mengeluh kerana penat. Namun Rasulullah tidak pernah mengeluh. Baginda menempuh dugaan dengan penuh sabar dan tenang. Ahli rombongan yang lain berasa hairan dengan sikap Muhammad.

Baginda sentiasa menolong ahli rombongan yang lain apabila tidak berbuat apa-apa. Mereka memuji-muji Rasulullah di depan Abu Talib. Abu Talib semakin sayang kepada Rasulullah.

Akhirnya, mereka pun sampai di Syam. Mereka berhenti di kota Basrah. Kota itu sentiasa sibuk dengan kegiatan perdagangan. Abu Talib mengajar Rasulullah cara-cara untuk melayan pelanggan. Sebagai kanak-kanak yang pintar, Rasulullah cepat belajar daripada Abu Talib.

Rasulullah pun mula berniaga. Abu Talib melihat ketokohan ahli perniagaan di dalam diri Rasulullah. Baginda melayani pelanggan dengan baik dan lemah-lembut. Baginda sentiasa tersenyum dan sabar menghadapi pelanggan yang cerewet. Barang-barang yang dijual oleh Rasulullah sangat laris. Sekejap sahaja barang-barang itu habis dijual.

Abu Talib memuji-muji kebijaksanaan Rasulullah. Dia mendapat banyak keuntungan pada hari itu. Rasulullah sungguh pandai menyesuaikan diri walau dalam apa juga situasi sekalipun. Abu Talib makin sayang pada Baginda.

- Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel: edusb@streamyx. com.

PENGAJARAN

- Sikap tolong-menolong adalah suatu amalan yang mulia.

- Orang yang amanah, akan dipercayai dan disenangi orang ramai.

- Perniagaan yang jujur dan berperancangan amat digalakkan dalam Islam.

INFORMASI

Setelah kematian ayahandanya Abdullah dan bondanya Siti Aminah, Rasulullah dipelihara oleh datuknya, Abdul Mutalib. Abdul Mutalib amat menyayangi cucunya. Apabila Abdul Mutalib meninggal dunia, Rasulullah dipelihara pula oleh bapa saudaranya Abu Talib. Abu Talib ialah ayah kepada Saidina Ali.

PERBENDAHARAAN KATA

- ringan tulang: rajin membuat kerja dan suka menolong orang.

- kafilah: rombongan pedagang-pedagang Arab

- cerewet: banyak kerenah; banyak soal dan rungutan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0608&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_06.htm#ixzz4u8gLn8EZ
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment