ARKIB : 17/11/2006
ATLET-atlet Sukan Asia negara
melaungkan kata-kata keramat bersama Liow Tiong Lai (tengah) pada majlis jamuan
makan malam yang dianjurkan Astro di Seri Kembangan, Kuala Lumpur, semalam.
Gambar Amir Hafiz Abd Rahman.
KUALA LUMPUR Peluang dua
pemain bawah 20 tahun negara untuk beraksi pada Sukan Asia Doha tampak kabur
berikutan kelewatan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menghantar nama mereka
kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
Khyril Muhymeen Zambri dan
Mohd. Safiq Rahim kini hanya boleh berdoa nama mereka diterima Jawatankuasa
Penganjur Sukan Asia Doha (DAGOC) selepas disenaraikan di saat akhir oleh FAM.
Setiausaha Kehormat MOM, Datuk
Sieh Kok Chi mengesahkan timbul masalah menyenaraikan nama dua pemain tengah
itu dalam keadaan sekarang.
Kita tak tak tahu peluang dua
pemain itu sama ada dapat bermain atau pun tidak untuk skuad negara.
Ini kerana FAM lambat
menghantar nama mereka untuk pengesahan sedangkan pengumuman mengenainya sudah
dibuat awal.
Kini kita hanya boleh berharap
nama mereka diterima DAGOC menerusi bantuan wakil sektretariat Malaysia yang
telah berada di Doha ketika ini, ujar Kok Chi.
Beliau berkata demikian pada
majlis makan malam meraikan atlet negara oleh Astro yang dirasmikan Timbalan
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Liow Tiong Lai di sini, semalam.
Pada majlis sama yang dihadiri
80 atlet Sukan Asia itu, Astro turut mengumumkan akan menyiarkan secara
langsung temasya sukan itu bermula 25 November ini di saluran 83, 84, 85 dan
86.
Menurut Kok Chi, masalah remeh
seperti ini tidak sepatutnya timbul jika FAM menyenaraikan nama 30 pemain ke
Doha walaupun pemilihan mereka belum pasti.
Pada 7 November lalu,
Setiausaha Agung FAM, Datuk Dr. Ibrahim Saad telah mengumumkan nama Muhymeen
dan Safiq untuk disenaraikan.
Namun tindakan susulan yang
lembab menyebabkan berlaku kelewatan apabila FAM hanya mendaftar nama mereka
kepada MOM, kelmarin.
Kedua-dua pemain muda negara
itu disenaraikan untuk skuad Sukan Asia selepas kegagalan pasukan bawah 20
tahun negara pada Kejohanan Piala Remaja Asia di Bangalore, India awal bulan
ini.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4sEBHd1Fc
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment