Serbegeth Singh
Ada perkara menarik berlaku di
England apabila kelab Crystal Palace dari Liga Perdana Inggeris (EPL) memecat
jurulatih selepas hanya empat perlawanan.
Keputusan memecat Frank de Boer
menonjolkan beberapa soalan yang boleh dijadikan iktibar oleh bola sepak
Malaysia tidak kira kelab atau pasukan kebangsaan.
Crystal Palace boleh dianggap
sebagai kelab sederhana di EPL. Ia juga kelab yang sukar untuk menarik
kehadiran pemain berkaliber, tetapi mengamalkan corak permainan British tulen.
Mereka berjaya kekal di EPL
selama empat musim berturut-turut dengan memegang teguh kepada prinsip bola
sepak British yang mengamalkan corak hantaran jauh.
Pengerusi kelab, Steve Parish
ingin mengubah corak permainan supaya dapat bersaing di EPL dan lebih penting
lagi, ia mampu menjamin masa depan pasukan.
Beliau mempunyai cita-cita itu
kerana sedar saingan EPL makin berubah apatah lagi dengan jurulatih seperti Pep
Guardiola, Jurgen Klopp dan Mauricio Pochettino yang sudah membawa perubahan
supaya ia lebih seirama dengan bola sepak global.
Sekurang-kurangnya, Crystal
Palace berani mengorak langkah ke arah bola sepak moden dan ia satu perjalanan
yang memerlukan dua elemen penting.
Elemen pertama adalah untuk
mencari seorang jurulatih yang memahami konsep permainan moden dan yang kedua,
pemain juga perlu mampu memainkan corak yang dirancang.
Justeru, Crystal Palace melamar
De Boer - seorang bekas pemain yang berasal dari Akademi Ajax yang terkenal
antara pusat latihan terkemuka dalam arena bola sepak dunia. Beliau pernah
bergelar antara pemain pertahanan terbaik dunia dengan gabungan skil, teknik
serta minda yang tajam.
Beliau juga tonggak pertahanan
dan sering menjadi penggerak utama yang menyusun serangan pasukan.
Di situlah bermulanya misi
untuk membawa Crystal Palace ke tahap yang seterusnya menjadi cita-cita
pengerusi kelab.
Akan tetapi, elemen kedua pula,
pemain yang ada di kelab itu sekadar sederhana, tetapi lasak. Bagaimanakah cara
untuk menerapkan falsafah permainan teknikal sedangkan mereka mempunyai pemain
yang lebih selesa beraksi secara lasak?
Seterusnya, selepas tewas dalam
empat perlawanan pertama EPL maka Parish sudah boleh dianggap berputih mata.
Sebagai pengerusi, maka evolusi
yang menjadi impian terus gagal kerana tidak mempunyai pemain yang boleh
membawa corak permainan yang di inginkan.
Dan di sinilah timbulnya
persoalan bagi bola sepak kita, apakah hala tuju pasukan Liga-M kita? Apakah
hala tuju bola sepak kebangsaan kita?
Perkara yang berlaku di Crystal
Palace menunjukkan bahawa bola sepak Inggeris memerlukan satu falsafah
permainan seperti di Jerman, Itali dan Sepanyol.
Kita pula tidak mempunyai
falsafah permainan yang standard dan jelas kemasukan jurulatih dari luar tidak
membawa faedah untuk jangkamasa panjang.
Apabila tidak mempunyai corak
permainan yang ‘standard’ maka setiap jurulatih yang datang, baik kelab atau
pasukan kebangsaan akan meninggalkan kelab atau pasukan mereka dalam keadaan
lebih buruk.
Kolum ini sudah berulang kali
menyebut contoh pasukan Kelantan serta Pahang di mana seorang pemain saja yang
mampu membawa falsafah permainan. Penyerang, Dickson Nwakaeme sebagai contoh
terbaik. Lambung saja bola kepadanya dan dengan pantas kita akan dapat lihat
hasilnya.
Apa pula langkah seterusnya
apabila pemain itu meninggalkan pasukan?
Kedua-dua pasukan membelanjakan
jutaan ringgit untuk memperbaiki kemusnahan yang berlaku selepas Nwakaeme
meninggalkan mereka, manakala jurulatih yang berjaya mencapai kejayaan bersama
pemain itu kekal menjadi jurulatih, tetapi dengan nasib yang berbeza.
Kini kita lihat bagaimana
pasukan kebangsaan kita beraksi dengan hantaran jauh di bawah bimbingan Nelo
Vingada.
Kita juga dapat lihat bagaimana
pasukan B-19 beraksi dengan corak serupa di Kejohanan AFF Bawah 19 di Myanmar.
Pasukan Bawah 23 pula kekal
dengan tradisi bola sepak tulen British, tetapi sekurang kurangnya, Datuk Ong
Kim Swee sudah mengorak langkah mengubah formasi permainan. Beliau harus dipuji
kerana banyak membawa perubahan selepas kegagalan di Piala AFF Suzuki.
Realitinya pula, pasukan Bawah
23 bakal dibarisi pemain dari Bawah 19 yang gemarkan corak hantaran jauh dan
sistem empat pemain pertahanan. Kim Swee akan gagal kerana terpaksa mengubah
corak permainan serta mentaliti pemain yang bakal dibimbingnya.
Pemain yang melangkah ke skuad
senior akan ‘digagalkan’ oleh Nelo Vingada kerana bukan mudah membimbing pemain
yang sudah biasa dengan corak permainan yang beliau terapkan.
Apakah ertinya kesinambungan?
No comments:
Post a Comment