Ad

Wednesday, 13 September 2017

Pahang tumpu mantap pertahanan


 Asrol Awang
sukan@hmetro.com.my
 
SKUAD Pahang yang akan melayan kunjungan Perak pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, Sabtu ini perlu memberi tumpuan kepada bahagian pertahanan bagi mengelak daripada sebarang keputusan negatif.

Kesilapan yang dipersembahkan ketika pertemuan dengan T-Team pada aksi terakhir peringkat Kumpulan A membuktikan betapa semua pemain perlu memberikan komitmen tinggi jika mahu mencabar Perak yang dilihat lebih bertenaga.

Dua gol mudah yang dilepaskan selain hampir membenarkan pelawat menjaringkan gol pada lewat permainan perlu segera diatasi.

Penolong jurulatih, Ahmad Shahruddin Rosdi mengaku faktor berkenaan boleh mengakibatkan pasukan berputih mata dan menyeru semua pemain supaya tidak lagi melakukan kesilapan serupa pada perlawanan akan datang.

Katanya, kekurangan yang dipersembahkan skuad itu diharap tidak diulangi apabila bertemu Perak yang sudah pasti mahu mencatat keputusan positif pada perlawanan itu nanti.

“Namun, saya percaya dengan kemenangan 3-2 ke atas T-Team akan membangkitkan semangat buat semua pemain untuk beraksi dengan lebih baik dalam mencapai misi ke pentas final.

“Saya harap kelebihan beraksi di laman sendiri dimanfaatkan sebaik mungkin iaitu mencatat kemenangan selesa sebagai bekalan pada suku akhir kedua nanti,” katanya.

Katanya, kelebihan yang ada seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pemain untuk saling bekerjasama dan membentuk persefahaman mantap dalam usaha memberi tekanan kepada lawan.

“Sokongan padu peminat juga diharap membantu moral pemain untuk beraksi lebih baik dan mencatat kemenangan,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2017 @ 9:38 PM

No comments:

Post a Comment