Ad

Saturday, 9 September 2017

Kerajaan Nabi Sulaiman



ARKIB : 24/11/2006
Kisah Al-Quran - Siri 7
Kerajaan Nabi Sulaiman
DAN Kami kuatkan kerajaannya dan Kami berikan kepadanya hikmah dan kebijaksanaan dalam menyelesaikan perselisihan. (Shaad: 20)

SELEPAS kewafatan nabi Daud, Nabi Sulaiman menjadi raja. Baginda sangat meminati kuda. Pada suatu hari, Nabi Sulaiman pergi ke satu pameran kuda. Di sana baginda melihat sekawan kuda sedang berlari pantas. Kemudian baginda mendapatkan kuda tersebut dengan memilih-milih dengan menggosok-gosok kaki dan lehernya. Baginda begitu asyik sekali, sambil membilang kuda-kuda itu. Apabila sampai ke bilangan sembilan ratus, barulah Nabi Sulaiman menyedari bahawa matahari sudah terbenam. Itu menandakan waktu Asar telah habis. Baginda sangat menyesal lalu berkata:

“Sesungguhnya aku sangat tertarik melihat barang yang baik lebih daripada mengingati Tuhanku.”

Baginda mengulangi kata-kata itu beberapa kali kerana terlalu menyesal.

Sebenarnya kelalaiannya itu bukan disebabkan baginda mementingkan diri sendiri, tetapi baginda tertarik dan leka memilih kuda yang baik untuk digunakan ketika berperang di jalan Allah.

Pada masa yang lain pula, Nabi Sulaiman telah berdoa kepada Allah:

“Wahai Tuhan, ampunilah aku dan anugerahkanlah kepadaku kerajaan yang tidak dimiliki oleh sesiapapun selepasku. Sesungguhnya Engkau Maha Pemberi.”

Allah memakbulkan doa baginda. Allah menghembuskan angin yang akan mengikut ke mana sahaja yang diarahkan oleh Nabi Sulaiman. Baginda juga dikurniakan sebuah kerajaan dengan penduduknya terdiri daripada manusia, jin dan haiwan-haiwan. Baginda berkuasa mengarahkan jin melakukan apa sahaja yang dimintanya.

Contohnya, jika ada peperangan, Nabi Sulaiman mengarahkan jin menjadi bala tenteranya. Pada waktu lain pula, jin-jin akan disuruh melakukan kerja-kerja seperti membina istana. Mereka tidak pernah membantah arahan Nabi Sulaiman.

Begitu juga dengan haiwan-haiwan. Mereka sangat taat kepada Nabi Sulaiman. Apa yang mengagumkan ialah Nabi Sulaiman boleh bertutur dan memahami bahasa haiwan. Semasa peperangan, Nabi Sulaiman dan haiwan-haiwannya akan bergerak ke medan dengan tiupan angin.

Begitulah hebatnya kerajaan Nabi Sulaiman. Tiada sesiapapun yang dapat menandingi kerajaannya itu. Namun begitu, baginda tidak pernah angkuh dan sombong. Malah, baginda menggunakan keajaiban kerajaannya itu untuk berdakwah kepada manusia di seluruh dunia.

*Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd.. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel: edusb@streamyx.com.

PENGAJARAN

*Doa yang dipohon dengan ikhlas pasti akan dimakbulkan oleh Allah s.w.t.

*Kita janganlah terlalu leka dengan sesuatu perkara sehingga sanggup melupakan kewajipan kita terhadap Allah s.w.t.

INFORMASI

Nabi Sulaiman merupakan anak kepada Nabi Daud. Pada waktu itu, Nabi Daud menjadi raja bagi kaum Bani Israel. Nabi Sulaiman diberi keistimewaan oleh Allah s.w.t. berbanding manusia yang lain iaitu kebolehan memahami bahasa haiwan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz4sEQarSrv
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment