27 September 2017 3:00 AM
KUALA LUMPUR 26 Sept. – Harimau
Malaya menerima tamparan hebat ketika mereka berusaha melepasi pusingan
kelayakan Piala Asia 2019 apabila pemain pertahanannya Mohamad Aidil Zafuan
Abd. Radzak digantung empat perlawanan dan didenda selepas didapati bersalah
melakukan kekasaran terhadap pengadil ketika menentang Hong Kong pada 5
September lalu.
Aidil, 30, diarahkan keluar
padang oleh pengadil perlawanan Christopher Beath pada minit ke-92 perlawanan
di Stadium Hang Jebat itu, tetapi pemain berusia 30 tahun itu didakwa enggan
meninggalkan padang selama kira-kira dua minit, 30 saat dan menggunakan bahasa
kasar terhadap Beath.
Selepas perlawanan Aidil
didapati mendekati barisan pengadil dan didakwa sekali lagi menggunakan bahasa
kasar terhadap mereka.
Akibat perbuatan itu, Aidil
diputuskan bersalah kerana melanggar Artikel 50.1, Kod Etika dan Disiplin
Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), menurut keputusan mesyuarat Jawatankuasa
Disiplin dan Etika AFC yang dikeluarkan semalam.
Ekoran daripada tindakan pemain
itu Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC telah menggantung Aidil untuk empat
perlawanan bermula dengan pertemuan menentang Hong Kong pada 10 Oktober,
diikuti bertemu Korea Utara (14 November) dan Lebanon (27 Mac 2018) - kesemuanya
dalam kempen kelayakan Piala Asia 2019.
Baki satu lagi perlawanan akan
dibawa ke hadapan mengikut Kod Artikel 38.2.1.
Selain itu, Aidil dikehendaki
membayar denda USD$5,000 (RM21,000) kerana melanggar Artikel 50.1. Denda
tersebut perlu dibayar dalam tempoh 30 hari daripada hukuman dikeluarkan
mengikut Kod Artikel 11.3.
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/afc-gantung-aidil-zafuan-empat-perlawanan-1.531255#ixzz4trGsJhDm
SUMBER© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment