Ad

Friday, 22 September 2017

Misbun tahu siapa saya – Chong Wei



ARKIB : 01/04/2007

MUKADIMAH
SUATU ketika dulu, Lee Chong Wei pernah menjadi permata dan harapan rakyat Malaysia untuk menghadiahkan gelaran dunia dan Olimpik pertama selepas mempamerkan aksi mantap hingga membolehkannya merampas takhta nombor satu dunia.

Bagaimanapun, sejak kegagalannya pada Kejohanan Dunia di Madrid, September lalu prestasi Chong Wei mula merosot. Dia hilang takhta nombor satu dunia, selain melepaskan kejuaraan Terbuka Malaysia.

Pemergian jurulatih, Li Mao menambah kesukaran pemain nombor satu negara itu yang ibarat kehilangan arah.

Namun begitu, kelmarin, Chong Wei membuat tindakan yang dianggap perlu dalam usahanya “menyelamatkan” karier, kembali ke pangkuan jurulatih lama, Misbun Sidek. Mingguan Malaysia cuba untuk menyelami hati pemain nombor empat dunia ini. Wartawan Norzie Mohd. Kasbi mengupas persoalan ini.

Mingguan Malaysia (MM): Di mana anda meletakkan kedudukan anda ketika ini berbanding pemain-pemain terbaik seperti Lin Dan, Chen Jin atau Peter Gade

Lee Chong Wei (LCW ): Pada saya, Lin Dan berada satu tahap di atas pemain terbaik dunia yang lain, tetapi jurang tidak terlalu jauh dan boleh dikejar. Bagaimanapun untuk pemain China yang lain seperti Chen Jin atau Chen Yu, standard kami tidak berbeza, begitu juga Peter Gade.

MM: Suatu ketika dulu anda pernah berada di puncak nombor satu dunia, pernah menewaskan Lin Dan. Apakah punca utama prestasi itu tidak dapat bertahan, adakah kerana permainan anda merosot atau pemain lain seperti Lin Dan yang meningkat?

LCW : Saya pernah menghadapi masalah prestasi, itu perkara normal buat semua pemain berdepan dengan turun naik prestasi. Tetapi, apa yang menyukarkan adalah apabila jatuh dan anda sukar bangkit. Sekarang saya jatuh, tetapi Lin Dan dan pemain-pemain lain masih di posisi asal.

MM: Mengapa secara tiba-tiba anda memilih untuk beralih kepada Misbun Sidek. Adakah Wong Tat Meng tidak cukup meyakinkan?

LCW: Ia bukan soal tidak yakin, tetapi untuk kembali kepada prestasi terbaik dan saya perlu melakukan perubahan. Orang yang sesuai untuk saya sudah tentu orang yang kenal saya dan tahu apa yang saya perlukan, Misbun adalah jurulatih yang bertanggungjawab menggilap bakat saya, dia tahu siapa saya.

MM : Ketika Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meminta pandangan pemain mengenai calon pengganti terbaik untuk Li Mao, ramai yang mencadangkan Wong Tat Meng. Anda juga salah seorang daripadanya, mengapa sekarang mahu bertukar arah?

LCW : Kalau boleh kami tidak mahu pemergian Li Mao meninggalkan impak besar kepada persiapan ke Kejohanan Dunia kerana ia sudah hampir, bermakna sebarang pembaharuan drastik cuba dielakkan. Tetapi, apabila program yang ada tidak begitu sesuai, anda perlu berubah. Itu yang saya lakukan sekarang, mencari perubahan.

MM : Apakah perubahan terbesar yang anda harapkan dengan pertukaran jurulatih?

LCW : Kami akan bekerja keras untuk menajamkan serangan saya dan memperbaiki kelemahan di depan jaring. Dua perkara itu paling lemah dalam permainan saya sejak akhir-akhir ini

MM : Bagaimanakah anda melihat prospek anda untuk menjadi pemain Malaysia pertama merangkul kejuaraan dunia di Kuala Lumpur, Ogos ini?

LCW : Saingan amat sukar dengan kehadiran pemain-pemain terbaik dunia, terutama dari China, tetapi jika saya dapat mengembalikan prestasi terbaik dalam tempoh empat bulan terakhir ini saya mampu menjadi antara pencabar utama kejuaraan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0401&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz4tTfRAVRT
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment