Ad

Saturday, 16 September 2017

Umar al-Khattab memeluk Islam



ARKIB : 09/02/2007
THAAHAA. Bukanlah Kami turunkan Quran kepada engkau, supaya engkau menjadi susah, melainkan jadi peringatan bagi orang yang takut, diturunkan dari yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi. (Dia) Maha Pengasih, berkuasa di atas Arasy. (Thaahaa: 1-5)

UMAR al-Khattab merupakan seorang lelaki yang sangat berani, panas baran dan bengis. Sebelum memeluk agama Islam, beliau adalah seorang yang sangat memusuhi Islam. Beliau sering melakukan penindasan kepada umat Islam di kota Mekah.

Apabila ramai orang Islam berhijrah ke Madinah, Umar berasa gelisah. Orang Islam meninggalkan kampung halaman mereka kerana mempertahankan agama baru yang dibawa oleh Rasulullah. Umar berasa amat marah kepada Rasulullah. Beliau berazam membunuh Rasulullah.

“Kalau Muhammad sudah tiada, pasti orang Islam akan pulang ke Mekah dan kembali menyembah berhala,” detik hati Umar.

Tanpa berlengah lagi, Umar mencapai pedangnya dan bergegas mencari Rasulullah. Dalam perjalanan ke tempat Rasulullah, Umar bertemu dengan Nuaim bin Abdullah.

“Wahai Umar, tergesa-gesa ni hendak ke mana?” soal Nuaim.

“Aku hendak mencari Muhammad. Dia akan ku bunuh dengan pedangku ini,” kata Umar dengan bengis.

“Aku rasa, sebelum kau bunuh Muhammad, lebih baik kau selesaikan masalah keluargamu dahulu,” kata Nuaim.

Umar kehairanan. Dia segera bertanya: “Apa maksudmu?”

“Adikmu, Fatimah dan suaminya, Said bin Zaid telah masuk Islam,” kata Nuaim.

Umar segera menuju ke rumah adiknya itu. Setibanya di sana, beliau terdengar Fatimah dan suaminya sedang membaca al-Quran sambil disemak oleh Khabab bin Arats. Fatimah menyedari ada orang di luar rumahnya. Dia segera menghentikan pembacaannya dan menyembunyikan kitab suci itu. Khabab pula disembunyikan di suatu sudut.

Umar mendesak Fatimah menyerahkan kitab yang dibacanya tadi. Fatimah enggan. Tanpa rasa simpati, Umar memukul Fatimah sehingga luka dan berdarah. Said juga tidak terlepas daripada pukulan Umar. Apabila melihat tangisan dan titisan darah Fatimah, Umar seakan tersedar. Hatinya tersentuh dengan ketabahan adiknya itu.

Umar meminta Fatimah membacakan al-Quran itu sekali lagi. Beliau terpesona dengan ayat-ayat suci al-Quran yang dialunkan oleh Fatimah. Hati Umar yang keras tiba-tiba berubah sayu. Api kemarahannya tiba-tiba lenyap.

Lantas Umar meneruskan niatnya untuk menemui Rasulullah. Beliau hendak memeluk Islam.

Mendengar niat suci Umar, Khabab pun keluar dari tempat persembunyian lalu berkata:

“Wahai Umar, aku mendengar Rasulullah bersabda, Ya Allah, kuatkanlah Islam dengan salah seorang lelaki yang Engkau kasihi, Abdul Hakam bin Hisyam atau Umar bin al-Khattab.”

Mendengar kata Khabab itu, Umar semakin bersemangat. Beliau meneruskan langkah ke rumah al-Arqam bin al-Arqam di Bukit Safa.

Sampai di sana, para sahabat menjadi gempar dengan kehadiran Umar. Setelah Umar masuk berjumpa dengan Rasulullah, beliau pun menyatakan keislamannya. Maka bergemalah laungan takbir di rumah al-Arqam ketika itu.

Setelah bersalaman, Umar menuju ke arah kaum Quraisy lalu berkata: “Wahai kaum Quraisy, aku ingin menyatakan bahawa aku telah memeluk Islam. Siapa di antara kamu yang ingin menghalang?”

Kaum Quraisy tidak berani menghalang. “Teruskanlah wahai Umar, kami tidak akan membangkang.” Begitulah kisah keberanian Umar yang membawa perubahan besar dalam perkembangan Islam.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm#ixzz4sqmls700
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment