Ardyhansah Amat
ardyhansah@hmetro.com.my
Papar: Kerajaan memperuntukkan
RM12.8 bilion bagi pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Fasa Pertama membabitkan
laluan empat lorong dua hala sejauh 706 kilometer (km) di negeri ini.
Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Razak berkata, projek mega itu adalah paling besar kepada negeri ini
sejak menyertai penubuhan Malaysia pada 1963 dan beliau yakin ia akan memberi
kesan positif terhadap penduduk setempat serta Sabah.
“Sebenarnya, sejak 53 tahun
lalu, banyak projek pembangunan dilakukan di negeri ini termasuk industri
minyak dan gas, pembinaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan sebagainya.
“Namun, jika dinilai, Pan
Borneo adalah projek paling besar yang mendatangkan kesan kepada rakyat secara
keseluruhannya,” katanya pada Majlis Pelancaran Projek Lebuh Raya Pan Borneo di
Kampung Andus di sini, semalam.
Hadir sama isteri beliau, Datin
Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman; Timbalan Ketua
Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri
Fadillah Yusof.
Najib berkata, manifesto
Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum yang lalu menjanjikan pembinaan
lebuh raya itu dari Semantan, Sarawak sehingga ke Serudung, Sabah dalam tempoh
lima tahun.
“Justeru, hari ini (semalam),
BN datang mengotakan janji sebelum ini dalam usaha mengubah sosioekonomi rakyat
tempatan. Pan Borneo (lebuh raya) mampu mengubah keseluruhan imej negeri ini,
sekali gus meningkatkan taraf ekonomi penduduk,” katanya.
Menurut Najib, pembinaan lebuh
raya fasa pertama itu dijangka siap sepenuhnya pada 31 Disember 2021.
“Ada tiga pakej terawal
membabitkan Jalan Donggongon-Papar sejauh 11.4km, Jalan Tawau-Semporna
sepanjang lima km dan Lahad Datu Bypass sejauh tujuh km yang akan diberikan
kepada kontraktor pada masa terdekat.
“Keseluruhannya, pembinaan Pan
Borneo ini merangkumi beberapa fasa antaranya dari Sindumin-Tuaran, Ranau-Lahad
Datu-Tawau, Tawau-Kimanis-Kota Kinabalu dan Tamparuli-Ranau membabitkan kerja
menaik taraf kepada empat lorong dua hala,” katanya.
Najib berkata, sebagai
tambahan, Kerajaan Pusat turut bersetuju membina jalan pesisir pantai bermula
dari Tuaran sehingga ke Kudat.
Pada masa sama, Najib berkata,
pembahagian projek bukan saja membabitkan kontraktor Kelas A tetapi diagihkan
secara sama rata kepada kontraktor Kelas F yang terdiri daripada rakyat
tempatan.
“Saya berharap kontraktor
terpilih dapat melaksanakan kerja sebaik mungkin dan tidak menjualkannya kepada
pihak ketiga. Jika ada, kontraktor ini akan disenarai hitamkan dan digantikan
serta-merta,” katanya.
SUMBERArtikel ini disiarkan
pada : Isnin, 25 April 2016 @ 5:07 AM
No comments:
Post a Comment