Ad

Saturday, 30 September 2017

Tun Razak pemimpin penting



ARKIB : 16/06/2007

KUALA LUMPUR 15 Jun – Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein, bukan sahaja insan yang penting kepada anak sulungnya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tetapi juga kepada Perdana Menteri kini, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Menurut Najib, perkara ini yang tidak pernah diketahui oleh orang ramai, diberitahu sendiri oleh Abdullah kepadanya semasa mereka mengadakan pertemuan sejurus selepas beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

‘‘Beliau mengatakan bahawa saya merupakan anak kandungnya (Abdul Razak) tetapi beliau (Abdullah) merupakan anak politiknya.

‘‘Begitulah pentingnya beliau (Abdul Razak) kepada kami berdua yang sedang memikul amanah memimpin negara sekarang ini,’’ katanya semasa berucap merasmikan Seminar Legasi Tun Abdul Razak Kepada Pembangunan Negara, di sini hari ini.

Majlis perasmian seminar dua hari anjuran Akademi Pemuda dan Persatuan Alumni Yayasan Tun Razak itu turut dihadiri isteri Allahyarham yang juga ibu Najib, Tun Rahah Tan Sri Noah; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin.

Sebanyak lima sesi diadakan bagi membincangkan topik pelajaran, kejayaan dan masyarakat, ekonomi dan pembangunan, hubungan antarabangsa serta pembangunan negara di bawah kepimpinan Allahyarham.

Najib berkata, meskipun agak sukar untuk beliau meluahkan pengiktirafan yang terlalu tinggi kepada bapanya sendiri, namun hakikatnya Allahyarham merupakan sumber motivasi utamanya untuk bekerja keras demi kepentingan rakyat.

Sebagai seorang yang kuat bekerja, katanya, pada 1962, bapanya melakukan perjalanan sejauh 43,000 batu menerusi jalan raya, kapal terbang, helikopter dan bot untuk melawat 45 bilik gerakan negeri serta 118 bilik gerakan daerah di seluruh negara.

Najib juga menyifatkan bapanya sebagai seorang yang tidak gila kuasa, khususnya pada masa beliau menjadi Pengarah Majlis Gerakan Negara (Mageran) dan Majlis Operasi Nasional semasa negara mengalami darurat.

‘‘Seseorang pemimpin yang mempunyai kuasa penuh dan tidak boleh dipersoalkan sesiapa, dengan melihat banyak contoh negara di dunia, biasanya akan menggunakan nikmat kuasa untuk masa yang lama.

‘‘Namun, beliau menganggap kuasa penuh sebagai pengarah merupakan suatu bebanan amanah yang berat.

‘‘Oleh sebab beliau amat mempercayai kepada prinsip-prinsip demokrasi dan tidak mahu menjadi seorang diktator, maka sebab itulah beliau mengembalikan kuasa besar pemerintahan mutlak kepada rakyat dan demokrasi berparlimen,’’ ujarnya.

Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri itu bagi membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat selepas darurat, kata Najib, melambangkan wawasan bapanya yang mendahului zaman dalam membela bangsa dan membina negara.

Menurutnya, ketika berbuat demikian, bapanya sentiasa mengamalkan kehidupan sederhana, tanpa sebarang hobi yang mewah, kerana berasal dari kampung.

‘‘Sebagai contoh, usaha saya dan adik-adik untuk dibina sebuah kolam renang di Sri Taman (kediaman rasmi Abdul Razak dan keluarga) akhirnya tidak menjadi kerana ayah selalu menyebut, nanti apa orang kata,’’ ujarnya.

Tambah beliau, sebagai Perdana Menteri, bapanya turut melakar sejarah di arena antarabangsa antaranya membantu menamatkan konfrontasi dengan Indonesia dan menjalin hubungan diplomatik dengan China.

‘‘Dalam lawatan saya beberapa kali ke China, ramai pemimpin mereka memuji langkah bersejarah dan berjasa ayah saya itu pada 28 Mei 1974, pada waktu negara itu dilihat dengan penuh syak wasangka.

Seperkara lagi yang patut dijadikan teladan, bagi Najib ialah kesetiaan bapa pembangunan negara itu kepada Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan parti.

‘‘Walaupun dianggap boleh mengambil alih kepimpinan daripada Tunku Abdul Rahman lebih awal dari masanya atas desakan pelbagai pihak, namun beliau seorang yang setia.

‘‘Beliau menyebut, saya tidak akan membiarkan diri saya berbuat demikian. Ini bukanlah cara orang Melayu. Jika kita orang kedua, maka kita hendaklah memainkan peranan sebagai orang kedua,’’ katanya.

Semasa menjadi Presiden UMNO pula katanya, Allahyarham pernah berpesan agar parti sebagai warisan khazanah negara ditatang dan dipelihara dengan sempurna.

Ketika hampir menamatkan ucapan, Najib mula sebak dan tersekat kata-katanya apabila menyifatkan bapanya yang meninggal dunia pada 14 Januari 1976, pada usia 54 tahun, sebagai negarawan yang dekat di hatinya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0616&pub=Utusan_Malaysia&sec=Persidangan&pg=pr_01.htm#ixzz4u9HLtG8G
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment