ARKIB : 12/01/2007
APAKAH kamu tidak memperhatikan
bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap tentera bergajah? Bukankah Dia
menjadikan tipu daya mereka (untuk menghancurkan kaabah) itu sia-sia?.
Dan Dia mengirimkan kepada
mereka burung-burung yang berbondong-bondong, yang melempari mereka dengan batu
(berasal) daripada tanah yang terbakar, lalu Dia menjadikan mereka seperti
daun-daun yang dimakan ulat). (al-Fiil: 1-5)
DI sebuah negeri yang dipanggil
Yaman, tinggal seorang gabenor bernama Abrahah. Abrahah adalah seorang yang
sangat gagah dan berani.
Tidak jauh dari Yaman terdapat
sebuah kota tua yang bersejarah, iaitu Mekah dan ada sebuah rumah Allah iaitu
kaabah. Kaabah ini dibina oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail
bertahun-tahun dahulu.
Setiap tahun ramai pedagang
datang ke Mekah untuk menyembah tuhan-tuhan yang diletakkan di sekitar Kaabah.
Tuhan-tuhan mereka itu terdiri daripada patung-patung batu yang dibuat oleh
mereka sendiri. Pedagang-pedagang dan penduduk di Tanah Arab juga datang ke
Mekah untuk melawat Kaabah. Pada masa itu, masyarakat di Mekah hidup dalam
keadaan aman dan makmur.
Abrahah berasa iri hati dengan
kemakmuran di Mekah. Dia mahu semua masyarakat Arab datang ke Yaman. Abrahah
mahu mereka datang berdagang dan menyembah Tuhan mereka di Yaman.
Abrahah lalu membina sebuah
gereja yang besar dan indah. Gereja itu dipenuhi dengan perhiasan yang
cantik-cantik belaka. Tetapi, tidak seorang pun yang datang melawat gereja itu.
Mereka masih tertarik untuk pergi ke Mekah dan melawat Kaabah.
Abrahah berasa amat marah.
Usahanya untuk menarik masyarakat Arab supaya datang ke Yaman tidak berhasil.
Lalu dia mengumpulkan bala tenteranya. Abrahah mahu menghancurkan Kaabah. Pada
fikirannya, jika Kaabah itu sudah diruntuhkan, pasti masyarakat Arab akan
datang ke Yaman.
Abrahah pun membawa bala
tenteranya menuju ke Mekah. Mereka pergi ke Mekah dengan menaiki gajah. Oleh
kerana ramainya tentera bergajah Abrahah, kaum Quraisy yang tinggal di Mekah
tidak mampu menghalang kemaraan tentera itu. Kaum Quraisy tidak mempunyai
kelengkapan untuk memerangi tentera bergajah Abrahah.
Sepanjang perjalanan Abrahah
menuju ke Kota Mekah, tentera Abrahah telah merampas ternakan-ternakan orang
Arab ketika itu. Antara ternakan yang dirampas adalah milik Abdul Muttalib.
Berjumpa
Sebelum masuk ke Mekah, Abrahah
menjemput Abdul Muttalib yang merupakan penjaga Kaabah supaya berjumpa
dengannya di luar Mekah. Abrahah pun berkata kepada Abdul Muttalib: Aku mahu
menghancurkan kaabah.
Abdul Muttalib menghadap
Abrahah menuntut supaya ternakannya dipulangkan. Abrahah bertanya: Kenapa kamu
risaukan ternakanmu berbanding Kaabah? Dia pun berkata, Aku tidak akan
menghalangmu kerana kami tidak mampu melawan. Tapi, aku ingatkan kepadamu, Kaabah
itu ada penjaganya.
Abrahah tidak mengendahkan
kata-kata Abdul Muttalib itu. Sebaliknya, dia tetap mahu meruntuhkan Kaabah.
Setelah siap semuanya,
berangkatlah bala tentera ke kota Mekah. Abrahah begitu yakin akan dapat
memusnahkan Kaabah. Dengan penuh sombong, Abrahah dan tenteranya pun masuk ke
dalam Mekah.
Suasana sepi kerana semua
penduduk telah keluar dari Mekah. Mereka takut Abrahah dan tenteranya akan
mencederakan dan membunuh mereka.
Ketika Abrahah dan tentera
bergajah masuk dan mahu memusnahkan Kaabah, maka datanglah beribu-ribu ekor
burung. Burung-burung itu ialah burung Ababil.
Burung-burung Ababil ini
membawa batu-batu kecil di paruh masing-masing. Batu-batu beracun itu
dilemparkan ke arah tentera Abrahah.
Kejadian luar biasa itu menimbulkan
ketakutan dalam hati Abrahah. Abrahah terus balik ke Yaman. Tidak lama
kemudian, dia meninggal dunia kerana luka yang dideritainya dalam perang yang
luar biasa itu.
Maka selamatlah Kaabah daripada
tentera bergajah Abrahah. Pada tahun itu juga, lahirlah manusia agung iaitu
Nabi Muhammad s.a.w.
* Petikan daripada buku Untaian
366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd.. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel:
edusb@streamyx. com.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_06.htm#ixzz4sZWfiOfw
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment