Ad

Friday, 8 September 2017

Thanabalan, lima pemain B-22 jadi buruan kelab Thailand

Jumaat, 8 September 2017 | 5:11pm
 
ANTARA Pemain Malaysia yang menjadi buruan beberapa kelab liga utama Thailand, (dari kiri) Jafri Firdaus Chew, N.Thanabalan, Syamer Kutty Abba dan kapten pasukan, Muhammad Adib Zainudin selepas mempamerkan aksi cemerlang pada temasya Sukan SEA KL2017 bulan lalu. - Foto Luqman Hakim Zubir
Thanabalan, lima pemain B-22 jadi buruan kelab Thailand
Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my       

KUALA LUMPUR: Enam pemain muda negara kini menjadi buruan beberapa kelab liga utama Thailand selepas mempamerkan aksi cemerlang pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) bulan lalu.

Pemain berkenaan adalah pemain pertahanan Adam Nor Azlin (Selangor) dan Muhammad Adib Zainudin (FELCRA FC); pemain tengah, Syamer Kutty Abba (Pulau Pinang), Nor Azam Azih (Pahang) dan penyerang, Jafri Firdaus Chew (Pulau Pinang) dan N Thanabalan (FELCRA FC).

Perkara ini dimaklumkan oleh Pengarah Bakat Sukan MVP Sports Agency, Hafizan Halim selepas beliau dihubungi oleh pencari bakat beberapa kelab Liga 1 Thailand selepas final bola sepak KL2017 di Stadium Shah Alam yang menyaksikan skuad bawah 22 tahun (B-22) negara tewas 0-1 kepada juara bertahan Thailand.

"Memang ada beberapa kelab yang bertanyakan mengenai pemain muda kita yang beraksi pada KL2017 tempoh hari. Mereka tertarik dengan kemampuan pemain kita dan berminat untuk mengadakan perbincangan dengan pemain berkenaan selepas ini.

"Sebelum ini, pencari bakat kelab-kelab di Thailand ini ada menyaksikan pemain kita bermain pada pusingan kelayakan kejohanan AFC B-23 di Bangkok Julai lalu, namun ketika itu pemain kita gagal memberikan aksi baik ketika tewas kepada Thailand (0-3).

"Tapi kali ini pencari bakat ini mula yakin dengan kebolehan pemain tempatan selepas melihat permainan mereka di KL2017. Tapi ini masih awal, terpulang kepada mereka untuk mengadakan rundingan dengan pemain serta kelab masing-masing bagi musim depan," katanya kepada Arena Metro hari ini.

Hafizan yang enggan mendedahkan nama kelab terbabit, berkata kelab itu daripada liga utama di Thailand dan berpangkalan di Bangkok dan Chonburi.

Kelab Liga 1 Thailand kini sedang mencari seorang pemain import ASEAN bagi musim 2018 selepas peraturan baru ditetapkan oleh badan penyelia liga itu Premier League Thailand (PLT) sebelum ini.

Peraturan baru itu menyaksikan perubahan dari segi kuota pemain import iaitu 3+1 (negara ahli AFC) +1 (ASEAN).

"Ini perkembangan baik kepada pemain tempatan jika dapat bermain di Thailand kerana kita akui liga di negara itu terbaik di rantau ini," kata Hafizan.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Jumaat, 8 September 2017 | 5:11pm

No comments:

Post a Comment