Mohd Amin Jalil
sukan@hmetro.com.my
“SAYA tiada halangan untuk
kembali bersama Negeri Sembilan musim depan kerana saya pun masih mempunyai
kontrak dengan PBNS,” kata penyerang muda sensasi skuad bawah 22 tahun (B-22),
N Thanabalan.
Pemain berusia 22 tahun
kelahiran Rantau itu dipinjamkan Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS)
selama semusim kepada FELCRA FC yang bersaing dalam Liga FAM 2017.
Menurutnya, minatnya untuk
menabur bakti kepada pasukan negeri kelahirannya itu tetap menebal kerana PBNS
banyak membantu dan memainkan peranan penting dalam mengasah bakatnya.
“Secara peribadi, saya tiada
halangan untuk kembali bersama Negeri Sembilan. Mana-mana pemain pun pastinya
mempunyai minat yang lebih mendalam untuk mewakili pasukan negeri kelahiran.
“Tetapi kita tak boleh nak
cakap kerana dalam era bola sepak profesional ketika ini, kita tidak dapat
jangka kerana apa-apa perubahan boleh berlaku dan banyak faktor yang akan
mempengaruhi seseorang pemain,” katanya.
Thanabalan mencuri tumpuan
apabila kelincahannya membantu skuad B-22 negara mara ke pentas final temasya
Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), bulan lalu.
Thanabalan menjaringkan gol
tunggal ketika Malaysia membenam Indonesia pada peringkat separuh akhir namun
dia gagal membantu pasukan negara meraih pingat emas, selepas skuad B-22 tewas
kepada Thailand, 0-1, di pentas final.
Baru-baru ini, Menteri Besar
yang juga Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan bahawa pemain
muda sensasi itu akan kembali bersama skuad Hoben Jang Hoben bagi menghadapi
saingan Liga Malaysia (Liga-M), musim depan.
Mohamad juga berkata, PBNS
sentiasa memantau perkembangan pemain berkenaan kerana dia adalah antara
permata bola sepak yang berjaya dilahirkan persatuan menerusi program
pembangunan bermula dengan Piala Belia.
“Dia seorang pemain muda yang
berbakat dan penyerang berkualiti. Kita (PBNS) sendiri tidak mahu kehilangan
pemain sepertinya,” kata Mohamad.
Thanabalan berkata, setakat ini
belum ada lagi apa-apa perbincangan tentang persiapan musim depan.
Menurutnya, fokusnya ketika ini
adalah untuk membantu skuad yang diwakilinya (FELCRA FC) meraih kejayaan sekali
gus muncul juara Piala FAM.
“Saya berharap dapat membantu
FELCRA FC menjulang kejuaraan Liga FAM tahun ini dan seterusnya layak beraksi
dalam saingan Liga Perdana musim 2018,” katanya.
SUMBERArtikel ini disiarkan
pada : Selasa, 12 September 2017 @ 10:07 PM
No comments:
Post a Comment