Ad

Friday, 15 September 2017

Anak kambing tanpa tali pusat



Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my
 
Johor Bahru: Seorang peneroka Felda Sungai Mas Kota Tinggi, dekat sini, terkejut apabila kambing betina peliharaannya melahirkan seekor anak berwajah pelik dengan keadaan fizikalnya seakan-akan manusia.

Ibrahim Basir, 63, berkata, penemuan itu disedari rakan kongsinya yang dikenali sebagai Jamaludin, 50, ketika memantau kandang haiwan berkenaan di Kampung Baru Sungai Mas, pada jam 11 pagi kelmarin.

“Selepas dimaklumkan mengenai ‘benda ganjil’ itu, saya segera memeriksa dan mendapati keadaan fizikalnya tidak seperti kambing lain termasuk berhidung pesek, bermulut lintang dan empat kakinya juga pendek berbanding kambing lain,” katanya dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, dilihat dari segi kelahiran anak kambing itu, ia berbeza kerana tidak mempunyai tali pusat.

“Itu membezakan anak kambing ini dengan yang lain. Ini kerana selalunya setiap anak kambing dilahirkan mempunyai tali pusat,” katanya yang memaklumkan ia kejadian pertama sejak mengusahakan ternakan itu pada 2007.

Katanya, anak kambing itu mati dan dia akan merujuk kepada Pejabat Veterinar Daerah Kota Tinggi.

“Buat masa ini saya menyimpan anak kambing di dalam kotak polisterin bersama ketulan ais,” katanya.

Sementara itu, gambar penemuan haiwan pelik itu dikongsikan menerusi Facebook (FB) Demi Rakyat Johor memaparkan beberapa keping gambar anak kambing dalam pelbagai posisi.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2016 @ 8:33 AM

No comments:

Post a Comment