ARKIB : 06/11/2006
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah
TUAN TABAL dan dua orang anak
beliau telah diperkenalkan sebelum ini. Artikel ini pula akan memperkenalkan
mengenai anak beliau yang bernama Haji Wan Musa bin Tuan Tabal, iaitu salah
seorang Mufti Kelantan yang pernah mengundang perdebatan khilafiyah antara
beliau dengan beberapa orang ulama para sahabat yang seperguruannya dan
ulama-ulama lainnya.
Riwayat Mufti Haji Wan Musa
pernah ditulis oleh Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Hasan dalam buku Sejarah
Perkembangan Ulama Kelantan (cetakan pertama, Pustaka Aman Press, Kota Bharu,
Kelantan, 1977), juga oleh Ismail Awang yang dimuat dalam majalah Pengasuh dan
kemudian dimuat dalam buku, Tokoh-Tokoh Ulama Semenanjung Melayu (1). Juga
ditulis oleh beberapa orang lainnya.
Oleh sebab riwayat Mufti Haji
Wan Musa sudah agak banyak ditulis sebelum ini, maka dalam artikel ini saya
utamakan membahas sepucuk surat yang dikirim oleh Haji Wan Musa dari Kota
Bharu, Kelantan kepada gurunya Syeikh Ahmad al-Fathani di Mekah. Surat
bertarikh 16 Rejab 1322H/25 September 1904M. Oleh yang demikian, banyak perkara
yang tidak dibicarakan dalam tulisan-tulisan yang terdahulu terdapat dalam
artikel ini.
Berdasarkan tahun kelahiran
Haji Wan Musa 1291H/1874M, dapatlah dipastikan bahawa beliau adalah abang pada
Haji Wan Abdullah yang lahir 1293H/1877M (riwayatnya dimuat dalam Bahagian
Agama, Utusan Malaysia, 30 Oktober 2006). Haji Wan Musa pula adalah adik pada
Mufti Haji Muhammad yang lahir 5 Rejab 1287H/1 Oktober 1870M. Haji Wan Musa
meninggal dunia pada hari Sabtu, 24 Zulkaedah 1357H/14 Januari 1939M. Para guru
ketiga-tiga putera Tuan Tabal yang tersebut adalah sama, iaitu dimulai dari
pendidikan asas oleh Tuan Tabal sendiri, kemudian mereka melanjutkan pelajaran
di Mekah. Guru mereka ketika di Mekah yang paling berkesan ialah Syeikh Wan
Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani yang masih ada hubungan kekeluargaan dengan
mereka.
BAHASAN SURAT
Surat Haji Wan Musa tarikh 16
Rejab 1322H/25 September 1904M, beliau menggunakan hampir semua gelaran
kebesaran Syeikh Ahmad al-Fathani yang pernah diberikan oleh para ulama
lainnya. Haji Wan Musa menulis: Alhamdulillah wahdah, bahawa ditaslimkan ke
bawah Hadhrat Sa'adah wa Qudwah al-Ulama' al-'Amilin wa 'Umdah al-Atqiya'
al-Kamilin Fakhr al-A'yan wa Bahjah az-Zaman wa Qurrah 'Ain al-Ikhwan al-Ghani
bi Kamalih 'an al-Ishtinab lima hawah min 'Ulwu al-Janab Uztazuna al-'Allamah
wa Mulazuna al-Fahamah, kakanda Wan Ahmad bin al-Mukarram al-Haji Wan Muhammad
Zain al-Fathani yang di Mekah al-Musyarrafah pada Syu'ib 'Ali ... Semua
gelaran yang ditulis dalam bahasa Arab tidak saya terjemah, kerana telah saya
kupas dalam buku judul Syeikh Ahmad Al-Fathani Pemikir Agung Melayu dan Islam,
jilid 1.
Haji Wan Musa menggunakan
perkataan kakanda untuk ganti nama Syeikh Ahmad al-Fathani, lazimnya
panggilan daripada seorang murid kepada guru ialah perkataan ayahanda.
Panggilan kakanda yang digunakan tidak salah kerana masih ada hubungan
kekeluargaan antara Haji Wan Musa dengan Syeikh Ahmad al-Fathani yang status
persaudaraan boleh dipanggil `berpupu-puan. Dalam kekeluargaan, Tuan Tabal
adalah pangkat ayah saudara Syeikh Ahmad al-Fathani antara dua atau tiga pupu.
Lebih dekat lagi kerana Hajah Wan Kaltsum, ibu Haji Wan Musa, adalah kakak
Syeikh Wan Ali Kutan. Isteri Syeikh Wan Ali Kutan bernama Hajah Wan Aisyah.
Beliau adalah adik beradik
dengan Hajah Wan Cik ibu Syeikh Ahmad al-Fathani. Di antara anak Syeikh Wan Ali
Kutan dan Hajah Wan Aisyah, ialah Haji Wan Abdur Rahman, Hajah Wan Fatimah, dan
lain-lain bererti saudara sepupu Haji Wan Musa dari pihak ibu Haji Wan Musa
kakak Syeikh Wan Ali Kutan. Haji Wan Abdur Rahman dan Hajah Wan Fatimah juga
saudara sepupu Syeikh Ahmad al-Fathani dari pihak ibu sama ibu adik-beradik.
Sekiranya tidak melalui jalan perkahwinan atau jalan yang disebutkan ini,
Syeikh Wan Ali Kutan dan kakaknya Wan Kaltsum adalah pangkat ayah dan ibu
saudara Syeikh Ahmad al-Fathani.
Oleh sebab itulah maka dalam
surat Haji Wan Musa menggunakan perkataan kakanda untuk diri Syeikh Ahmad
al-Fathani, tidak menggunakan perkataan ayahanda, walau pun beliau seorang
murid. Dan beliau menyebut dirinya adinda, tidak perkataan anakanda.
Setelah kalimat dalam bahasa
Arab, Haji Wan Musa mengharapkan doa Syeikh Ahmad al-Fathani untuk keluarga,
terutama diri dan anak-anak beliau termasuk dalam perhimpunan ulama, Haji Wan
Musa menulis, ... serta adalah upah umrah tiga rial bagi Mek Cik binti Abdus
Shamad boleh kakanda tolong menghasil akan dia. Dan ada pun tiga rial, adinda
minta kakanda tolong beli kitab al-Fawaid al-Madaniyah atau al-Makkiyah dan
adinda taraddud (maksudnya: ragu-ragu, pen) sedikit antara dua nama itu, yang
ada menyebutkan Ishthilah at-Tuhfah, dan lainnya. Dan minta kekanda tolong beli
kitab Mushthalah al-Hadits satu, dan Ushul Fiqh satu yang kecil-kecil,
mana-mana yang elok pada hadrat kekanda. Dan kitab Nashaih ad-Diniyah satu.
Maka jika tidak cukup rial
itu, maka kekanda suruh Ahmad anak Haji Muhammad Manan beri dahulu. Kemudian
boleh adinda bayar kepadanya di Jawi. Maka boleh kekanda terima ambil rial yang
tersebut itu bersama-sama dengan surat ini di dalam bungkus rial yang adinda
kirim kepada Ahmad ibnu Haji Muhammad Manan.
Dalam petikan di atas dapat
diketahui ada adik beradik Haji Wan Musa yang perempuan, ialah Mek Cik binti
Abdus Shamad. Belum begitu pasti apakah Mek Cik binti Abdus Shamad itu sama ada
kakak ataupun adik Haji Wan Musa, dalam dugaan saya kemungkinan adalah kakak.
Dalam kalimat-kalimat di atas
dapat dibuktikan bahawa Haji Wan Musa seorang yang sangat gemar kepada pelbagai
jenis kitab ilmu pengetahuan. Ada orang meriwayatkan bahawa Haji Wan Musa
selalu menyisihkan wangnya untuk menambah jumlah kitab yang dimilikinya. Setiap
kitab yang dibeli pasti dibaca, bukan hanya disimpan atau dijadikan perhiasan
saja.
Pada konteks di atas dipastikan
bahawa Ahmad ibnu Haji Muhammad Manan adalah sebagai utusan Haji Wan Musa
kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Haji Ahmad bin Haji Muhammad Manan (lahir
1301H/1884M, wafat 1357H /1938M) termasuk murid Syeikh Ahmad al-Fathani dan
selanjutnya juga menjadi murid Haji Wan Musa. Haji Ahmad bin Haji Muhammad
Manan termasuk dalam golongan ulama besar yang terkenal di Kelantan.
Perkembangan khilafiyah di
Kelantan selalu dilibatkan orang kepada Mufti Haji Wan Musa. Barangkali polemik
Haji Wan Musa yang paling awal ialah antara beliau dengan Imam Haji Wan Daud.
Transliterasi surat tentang itu selengkapnya sebagai berikut: "Dan lagi
adinda maklum kepada hadrat kakanda, adalah adinda berkhilaf sedikit dengan
Imam Haji Wan Daud pada bicara suatu masalah. Maka jadi munazharahlah adinda
dengan dia, pada malam Selasa 10 Rabiulawal. Maka tiadalah adinda boleh ketahui
siapa yang benarnya, kerana tiada hakim yang boleh memutuskan perbalahan itu.
Maka adinda harap hadrat kakanda tolong menyatakan kepada adinda, adakah betul
faham adinda itu atau ia yang betul?
Supaya adinda pakai kemudian
hari pula. Maka masalah yang jadi perbalahan itu, dan kaifiat balahannya adinda
surat pada satu kertas, adinda bubuh bersama-sama dengan surat ini supaya boleh
kakanda ketahui daripada awal hingga akhirnya. Tetapi ibaratnya
sehabis-habislah tiada eloknya, harapkan kekanda maaf banyak-banyak. Dan jika
ada salah adinda pada tempat mana-mananya di dalam surat itu, maka minta
kekanda nyata kepada adinda pada tahun hadapan ini supaya boleh adinda ketahui,
...Yang dimaksudkan pada kalimat... pada malam Selasa, 10 Rabiulawal ... itu
ialah pada tahun 1322 H. Tarikh 10 Rabiulawal 1322H jika dijadikan tahun Masihi
ialah 24 Mei 1904M.
Semua buku yang membicarakan
tentang polemik Haji Wan Musa tidak pernah menyebut peristiwa antara beliau
dengan Imam Haji Wan Daud. Demikian juga tentang tarikh dan tahun kejadian, 10
Rabiulawal 1322H/24 Mei 1904M tidak pernah disebut. Semua polemik Mufti Haji
Wan Musa dengan beberapa orang ulama hanya disebut mulai berlaku tahun 1916 M
(lihat Sejarah Perkembangan Ulama Kelantan, hlm. 120).
Imam Haji Wan Daud yang
tersebut juga salah seorang murid Syeikh Ahmad al-Fathani, menurut riwayat
selain pernah menjadi Imam Masjid Muhammadi, beliau juga pernah menjadi Mufti
Kelantan. Imam Haji Wan Daud meninggal dunia tahun 1326 H/1908 M, lebih kurang
empat tahun setelah perselisihan pendapat dengan Haji Wan Musa. Haji Wan Musa
dilantik menjadi Mufti Kelantan menggantikan Imam Haji Wan Daud yang tersebut
itu.
Sehingga artikel ini saya
tulis, saya belum dapat menjejaki masalah-masalah yang menjadi pertikaian
pendapat antara Haji Wan Musa dengan Imam Haji Wan Daud yang tersebut dalam
surat di atas kerana dalam surat hanya menyebut: Maka masalah yang jadi
perbalahan itu, dan kaifiat balahannya adinda surat pada satu kertas, adinda
bubuh bersama-sama dengan surat ini supaya boleh kakanda ketahui daripada awal
hingga akhirnya.
Permasalahan yang dinyatakan adinda
surat pada satu kertas ... yang maksudnya dilampirkan bersama surat tarikh 16
Rejab 1322H/25 September 1904M hingga kini belum dijumpai. Jawapan Syeikh Ahmad
al-Fathani mengenai yang tersebut juga belum dijumpai.
KAUM TUA - KAUM MUDA
Pada zaman yang sama dengan
Haji Wan Musa di Minangkabau muncul istilah Kaum Tua dan Kaum Muda. Pada
pandangan saya, Haji Wan Musa, sukar untuk dituduh sebagai Kaum Muda, kerana
banyak perbezaan dengan pemikiran yang dinamakan Kaum Muda di Minangkabau, Jawa
dan tempat-tempat lainnya di Indonesia. Sebagai contoh Kaum Muda di Indonesia
menolak amalan dalam sesuatu tarekat sedangkan Haji Wan Musa adalah seorang
yang sangat berpegang teguh dan beramal dengan Tarekat Ahmadiyah.
Beberapa pegangan hukum fiqh
dalam Mazhab Syafie ada yang dipertahankan oleh Haji Wan Musa. Sebaliknya
sesetengah peribadi pengikut Kaum Tua hanyalah berpegang dengan longgar dan
rapuh. Sebagai contoh tentang hukum zakat fitrah dan wakaf. Haji Wan Musa
secara konsekwen tetap berpegang seperti ulama-ulama Syafieyah lainnya, zakat
fitrah mestilah segera dibagikan kepada yang berhak menerimanya, tidak boleh
digunakan untuk pembangunan walau untuk membina masjid sekali pun. Sesuatu yang
dinamakan wakaf tidak boleh diperjual belikan walau dengan alasan apa pun
juga.
Bagaimanapun saya tidak
menafikan bahawa ada beberapa perkara yang lain, nampaknya ada persamaan antara
Haji Wan Musa dengan Kaum Muda di Indonesia.
Sebagai contoh tentang
melafazkan Ushalli, masalah jilatan anjing, talqin, dan lain-lain. Khusus
mengenai yang tersebut ini Haji Wan Musa ditentang oleh hampir keseluruhan
ulama Kelantan termasuk Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abdur Rahman al-Fathani
yang ketika itu sebagai Syeikh al-Islam Selangor. Sanggahan Tengku Mahmud Zuhdi
al-Fathani terhadap Haji Wan Musa ditulis dalam kitab Tazkiyatul Anzhar wa
Tashfiyatul Afkar (selesai ditulis pada 17 Muharam 1339H/30 September 1920M).
Untuk maklumat lanjut mengenai
Ulama Nusantara, sila e-mel pertanyaan ke alamat: pengkaji_khazanah@yahoo. .com
atau hubungi talian 03-6189 7231.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz4sBEHy5vm
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment