Ad

Friday 22 September 2017

Dua abad bersejarah



ARKIB : 24/03/2007
 
PERJANJIAN antara PKM dan Kerajaan Malaysia pada 2 Disember 1989 ini membawa peletakan senjata komunis di Malaysia.

POLIS Diraja Malaysia (PDRM), sebuah organisasi penguatkuasaan undang- undang tertua di negara ini menyambut ulang tahun penubuhan pasukan polis ke-200 esok.

Pasukan polis negara ditubuhkan selepas Piagam Keadilan diperkenalkan King George III pada 25 Mac 1807 di Fort Corwallis, Pulau Pinang.

Pada 11 Ogos 1786, Francis Light mendarat di Pulau Pinang dan tiga tahun selepas kedatangannya penduduk pulau itu meningkat kepada 10,000 termasuk pendatang asing.

Light berpendapat satu badan polis perlu untuk menjaga keselamatan penduduk Pulau Pinang, lalu mengemukakan cadangan itu kepada Syarikat Hindia Timur (EIC) di India tetapi tidak dilayan.

Beliau kemudian diberi pangkat Supritendan dan diarah menjalankan tugas itu sendirian. Beliau terpaksa menggunakan Sepoi (panggilan asal bagi anggota polis) dari India, namun Light bermasalah kerana mereka tidak berdisiplin.

Pada tahun 1787, rusuhan telah berlaku di Pulau Pinang dan beberapa kelasi Eropah terlibat manakala dua orang Siam terbunuh. Sekali lagi Light menulis surat kepada Jeneral Gabenor EIC, Lord Corwallis untuk mengadakan undang-undang serta menubuhkan pasukan polis tetapi sekali lagi ditolak.

Light melantik ketua kaum dinamakan Kapitan (Captain) bagi tiap- tiap kaum Melayu, Cina dan Chulia (India) pada 1792 yang bertindak sebagai majistret kes-kes kecil.

Sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 21 Oktober 1794, Light berterusan menghantar permohonan kepada Lembaga Pengarah EIC untuk menubuhkan pasukan polis yang rasmi tetapi gagal.

Beberapa tahun kemudian, Kolonel Arthur Wellesley singgah di Pulau Pinang dalam perjalanan ke Manila membuat catatan mengenai soal keselamatan dan menggesa EIC supaya melantik seorang majistret berbangsa Eropah.

Pada 19 April 1800, Sir George Leith tiba di Pulau Pinang untuk memegang jawatan leftenan jeneral dan empat bulan kemudian John Dicken sebagai hakim dan majistret pertama di Pulau Pinang.

Pada awal 1804, R. T. Farquhar tiba di pulau itu menggantikan Sir George Leith dan polis ketika itu masih lemah dan pelbagai kesalahan dilakukan tanpa diambil tindakan dan dihukum.

Seluruh pentadbiran kemudiannya dirombak dan taraf pulau dipertingkatkan. Seorang gabenor dilantik serta dewan majlis yang bertanggungjawab kepada kerajaan India ditubuhkan sekitar 1805 dan pada 25 Mac 1807, pasukan polis ditubuhkan dengan rasminya selepas Piagam Keadilan diterima.

James Carnegy merupakan sheriff pertama Pulau Pinang.

Sebahagian catatan dan kronologi penting dalam sejarah kepolisan di negara ini selepas ditubuhkan secara rasmi pada 25 Mac 1807:

* Tahun 1825 - Sistem 'Burgher Guard' diperkenalkan untuk memenuhi tugas polis di Melaka dan W.T Lewis dilantik sebagai Ketua Polis negeri itu yang pertama.

* Tahun 1871 - Polis Pulau Pinang, Melaka dan Singapura dikenali Pasukan Polis Negeri-negeri Selat.

* 1 Julai 1896 - Polis Negeri-negeri Melayu Bersekutu terdiri daripada Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang ditubuhkan. Di Johor, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu pula dikenali sebagai Pasukan Polis Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu.

* 1 April 1946 - Polis Negeri-negeri Selat, Polis Negeri Melayu Bersekutu dan Polis Negeri Melayu tidak Bersekutu disatukan dan dikenali sebagai Polis Malayan Union.

* 1 September 1947 - Penubuhan Pasukan Polis Marin.

* 1 Februari 1948 - Polis Persekutuan Tanah Melayu (PPTM) ditubuhkan berpusat di Kuala Lumpur.

* 16 Jun 1948 - Kerajaan mengisytiharkan darurat ekoran Parti Komunis Malaya (PKM) melancarkan pemberontakan bersenjata.

* 15 Disember 1952 - Pesuruhjaya Polis Malaya, Kolonel Arthur E. Young memperkenal konsep Bersedia Berkhidmat dan lencana tangan bersalaman.

* Ogos 1953 - 'Jungle Company' dirombak dan dikenali sebagai Pasukan Polis Hutan (PPH).

* Ogos 1955 - Pasukan Polis Wanita ditubuhkan.

* 28 hingga 29 November 1955 - Rundingan Baling antara kerajaan Malaysia dan PKM- gagal.

* 5 Disember 1955 - Penubuhan Pasukan Simpanan Persekutuan.

* Mei 1956 - Pasukan Polis Orang Asli atau dikenali sebagai Polis Senoi Praaq ditubuhkan.

* 24 Julai 1958 - Yang di-Pertuan Agong menganugerahkan gelaran 'Diraja'.

* 31 Julai 1960 - Darurat diisytiharkan tamat. Sepanjang 12 tahun menentang komunis, 1,246 pegawai dan anggota terkorban.Seramai 6,711 pengganas terbunuh dan 1,289 orang telah ditawan.

* 11 November 1961 - Yang di-Pertuan Agong menganugerahkan Panji-panji Diraja.

* 16 September 1963 - PPTM, Polis Sabah dan Sarawak disatukan sebagai PDRM.

* Tahun 1968 - PKM melancarkan semula pemberontakan dan membunuh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim; Ketua Polis Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong dan ramai pegawai dan anggota polis Cawangan Khas dan PPH.

* 25 Oktober 1969 - Kebangkitan semula PKM ditentang hebat PDRM sehingga membawa kepada penubuhan sebuah pasukan elit polis hutan dikenali sebagai Komando 69.

* 24 Julai 1971 - Yang di-Pertuan Agong mengurniakan panji-panji kepada PPH, Pasukan Simpanan Persekutuan dan Polis Marin.

* 25 Mac 1975 - Buat pertama kali sambutan Hari Polis diadakan dengan slogan 'Bersatu Bertanggungjawab' dan Bluff Road Hill digantikan dengan Bukit Aman.

* 19 Disember 1979 - Penubuhan Unit Udara PDRM.

* 2 Disember 1989 - PKM mengadakan perjanjian damai dengan kerajaan Malaysia dan Thailand di Hatyai, Thailand - PKM telah meletakkan senjata.

* 17 Oktober 1990 - Perjanjian damai Kerajaan Malaysia dengan Biro Ke-2 Parti Komunis Kalimantan Utara di Kuching, Sarawak bagi menamatkan semua kegiatan bersenjata parti komunis di negeri itu.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0324&pub=Utusan_Malaysia&sec=Polis_%26_Tentera&pg=te_01.htm#ixzz4tPvFAAgP
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment