Ad

Saturday, 30 September 2017

Hasad dengki boleh membawa pembunuhan

ARKIB : 19/06/2007
LALU hatinya tergamak membunuh saudaranya, maka jadilah dia dari kalangan orang-orang yang rugi. (al-Maidah: 30) 
Huraian

Kisah ini adalah peristiwa pembunuhan Qabil terhadap Habil yang digambarkan oleh al-Quran, ayat sebelumnya mendedahkan kisah yang panjang tentang dua putera Adam (Qabil dan Habil), suatu kisah yang mendedahkan tabiat jenayah dan motif-motifnya di dalam jiwa manusia di samping mendedahkan kesan buruk daripada peristiwa pembunuhan tersebut.

Qabil diperingatkan berulang kali agar jangan membunuh Habil, namun Qabil terus jua membunuh saudaranya Habil tanpa mempedulikan nasihat dan peringatan yang diberikan. Syaitan dan nafsu serakah menguasainya lalu membunuh Habil tanpa belas kasihan.

Qabil merasa dirinya amat rugi dengan perbuatannya, dia terperangkap dalam dilema dan krisis jiwa yang amat dahsyat. Apakan tidak, saudaranya yang selama ini menjadi temannya, seorang penolong setianya, yang suatu masa dahulu sentiasa bersamanya di kala senang dan susah, kini sudah tiada lagi. Sebabnya, kerana perbuatannya yang durjana itu. Dia menyesal, merintih, merayu dan runsing di atas kejahatan yang dilakukan.

Inilah paparan kisah pengajaran yang perlu dijadikan iktibar, sikap yang jahat akan sememangnya meninggalkan kesan yang amat buruk.

Kerunsingan fikiran, keresahan jiwa dan pergolakan dalaman yang amat dahsyat seperti yang dirasai oleh Qabil dalam kes pembunuhan terhadap Habil.

Kesimpulan

Dewasa ini antara punca perbuatan bunuh yang dilaporkan akhbar adalah hasad dengki. Perbuatan bunuh adalah perbuatan yang kejam yang amat dilarang oleh Islam. Islam mengharamkan perbuatan tersebut kerana kesannya bukan sahaja dirasai kepada diri sendiri, tetapi terhadap orang lain, persekitarannya dan keluarganya.

Oleh yang demikian, berusahalah untuk cuba menyucikan diri dari perasaan hasad dengki yang timbul di dalam hati dengan memperbanyakkan zikir kepada Allah s.w.t. serta menerima takdir dari Allah s.w.t. seadanya.

- Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0619&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz4u9WpOvlB
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment