Ad

Saturday 16 September 2017

6. NILAIKAN SUMBANGAN PRESIDEN MACAPAGAL KEPADA PEMBENTUKAN NEGARA BANGSA FILIPINA ANTARA TAHUN 1961 HINGGA 1965.

.A. Pengenalan

-          Presiden Diosdado Macapagal Pangan merupakan Presiden Filipina yang ke-9 (1961-1965). Beliau dilahirkan pada 28 September 1910 di Lubao, Pampanga dan meninggal dunia pada 21 April 1997 akibat kegagalan jantung, paru-paru, dan komplikasi buah pinggang di Makati Medical Center. Beliau merupakan anak kedua daripada empat orang adik-beradik. Bapa beliau bernama Urbano Macapagal dan ibunya Romana Pangan. Beliau dikenali sebagai ‘budak miskin’ dari Lubao, Pampanga dan menggunakan nama samaran ‘Tidak Rasuah’.

-          Macapagal mendapat pendidikan awal di Elementary School Lubao dan memperoleh kelulusan valedictorian pada tahun 1925 serta lulus dengan kelas kedua tinggi di Sekolah Tinggi Pampanga pada tahun 1929. Beliau telah melanjutkan pelajaran ke University of Santo Tohias dalam jurusan undang­-undang dan menamatkan pengajiannya pada tahun 1936. Setelah itu, beliau mengajar dan memperoleh Ijazah Sarjana Doktor Undang-undang Sivil dan Ph.D. Ekonomi di universiti yang sama. Setelah tamat pengajian, Macapagal menjadi peguam, menjadi ahli Kongres, menjadi ahli Dewan Rakyat pada tahun 1948, beliau berkhidmat sebagai setiausaha kedua di Kedutaan Filipina di Washington, D.C. Beliau juga merupakan wakil Filipina ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebanyak tiga kali.

B. Isi-isi.

Sumbangan Macapagal.

1. Aspek Politik
-          Presiden Macapagal telah memainkan peranannya dalam pembentukan MAPHILINDO. Melalui MAPHILINDO, Filipina telah menjalin hubungan yang lebih rapat dengan negara jiran seperti Malaysia dan Indonesia. MAPH1LINDO ialah pergabungan bukan politik yang dicadangkan dan ia merupakan pencapaian yang penting sebagai pembuka jalan untuk mewujudkan Persatuàn Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN). MAPHILINDO telah digambarkan sebagai persatuan serantau yang akan mendekati isu-isu kepentingan bersama dalam semangat persaudaraan.
-          Presiden Macapagal telah memfailkan tuntutan Filipina ke atas Sabah (Borneo Utara) sebagai sebahagian dari wilayah Filipina kerana ia telah diberikan sebagai hadiah kepada Sultan Sulu oleh Sultan Brunei. Tuntutan ini telah dikemukakan oleh Macapagal pada 22 Jun 1962. Presiden Macapagal juga telah memujuk Kongres agar rnenghantar tentera ke Vietnam Selatan pada akhir tahun 1965. Walau bagaimanapun, cadangan ini telah disekat oleh pembangkang yang dipimpin oleh Presiden Senat, iaitu Ferdinand Marcos.

2. Aspek Ekonomi
-          Macapagal telah memperkenalkan pembaharuan dalam undang-undang tanah negara, menghapuskan kawalan pertukaran mata wang asing, mengawal keuntungan yang keluar, dan memperkenalkan kawalan harga serta mengurangkan pengangguran. Tujuannya ialah untuk menyekat rasuah, meningkatkan pengeluaran makanan, dan melaksanakan sosioekonomi yang berani. Namun, tujuan beliau banyak dihalang oleh Kongras Filipina yang dikuasai oleh parti saingan beliau, iaitu Parti Nasional.
-          Beliau juga telah memperkenalkan Kanun Tanah Pertanian Pembaharuan 1963. Melalui kanun ini, beliau telah melakukan pemansuhan penyewaan dan program reformasi tanah sebagai usaha untuk memerangi kemiskinan secara besar-­besaran. Beliau menandatangani pemansuhan tersebut pada 8 Ogos 1963, bertujuan untuk menghapuskan perhambaan terhadap penyewa tanah kepada kebebasan dan keselamatan petani di tanah milik mereka. Walau bagaimanapun, beliau gagal dalam melaksanakan reformasi tanah.
-          Beliau juga telah menghapuskan kawalan pertukaran mata wang dan membenarkan peso Filipina diapungkan di pasaran pertukaran mata wang percuma. Pada 21 Januari 1962, selepas bekerja selama 20 jam berturut­-turut akhirnya Presiden Macapagal berjaya menandatangani dekri Bank Negara yang memansuhkan kawalan pertukaran dan mengembalikan negara kepada perusahaan bebas.
-          Presiden Macapagal juga mewujudkan Pentadbiran Pekerjaan Asas (EEA) sebagai usaha untuk menyelesaikan masalah pengangguran yang juga merupakan salah satu masalah utama semasa pentadbirannya. Kerajaan telah memberi bantuan dengan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan untuk penduduk Filipina bagi membolehkan mereka mengatasi masalah kemiskinan dan meningkatkan ekonomi negara.
-          Presiden Macapagal juga memperkenalkan program sosioekonomi yang berlandaskan ‘kembali kepada perusahaan bebas dan swasta’ akan meletakkan pembangunan ekonomi Filipina di tangan usahawan swasta dengan campur tangan kerajaan yang minimum. Oleh itu, Undang-undang Perdagangan Runcit Kebangsaan telah diwujudkan untuk memecahkan monopoli oleh perniagaan asing yang menguasai perdagangan runcit Filipina.
-          Presiden Macapagal turut memperkenalkan program Pembangunan Bersepadu Lima Tahun yang bertujuan untuk pemulihan segera kestabilan ekonomi; membela nasib golongan rakyat biasa; dan mewujudkan asas yang kukuh untuk pertumbuhan masa depan. Dengan itu, beliau telah berjaya mencatat kemajuan ekonomi yang stabil dan pertumbuhan KDNK tahunan purata pada 5.15% bagi tahun 1962-1965.

3. Aspek Sosial
-          Presiden Macapagal juga telah menukar tarikh kemerdekaan Filipina dari 4 Julai kepada 12 Jun. Ini kerana 4 Julai ialah tarikh Amerika Syarikat memberikan kemerdekaan kepada rakyat Filipina sedangkan 12 Jun ialah tarikh Filipina mengisytiharkan kemerdekaan mereka sendiri daripada penjajah Sepanyol pada tahun 1898. Pada 12 Mei 1962, Presiden Macapagal telah menandatangani proklamasi yang mengisytiharkan 12 Jun setiap tahun sebagai cuti umum khas untuk memperingati pengisytiharan kemerdekaan daripada Sepanyol, iaitu pada 12 Jun 1898. Walaupun pada 12 Jun 1898, Filipina belum lagi bebas sepenuhnya kerana kemudian dijajah pula oleh Amerika Syarikat yang ketika itu berjaya mengalahkan Sepanyol, tetapi bagi rakyat Filipina mereka sudah mendapat kemerdekaan.
-          Presiden Macapagal juga telah memulakan penggunaan bahasa Filipina dalam semua urusan rasmi kerajaan, kelayakan diplomatik, diploma, sijil dan dokumen lain yang masih diteruskan sehingga kini. Beliau juga menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan mereka sebagai bahasa rasmi yang digunakan dalam semua acara cara komunikasi dan untuk semua dokumen.

C. Kesimpulan.
Kesimpulannya, Presiden Macapagal telah melaksanakan pelbagai langkah untuk membentuk Negara bangsa Filipina sepanjang pemerintahannya menerusi dasar pembangunan ekonomi, sosial dan politik. Sumbangannya yang besar telah berjaya membentuk jati diri rakyat Filipina melalui penggunaan bahasa Filipina sebagai bahasa rasmi dan menukar tarikh tarikh kemerdekaan Filipina. 
SUMBER-
JPN PAHANG SKEMA PERCUBAAN STPM P3 940/3

No comments:

Post a Comment