Ad

Saturday, 23 September 2017

Nabi Yusuf dianiaya saudaranya sendiri



ARKIB : 13/04/2007
Kisah Al-Quran (Siri 36)
MEREKA berkata: Wahai ayah kami, sesungguhnya kami pergi berlumba-lumba dan kami tinggalkan Yusuf dekat barang-barang kami, lalu dia dimakan serigala dan kamu sekali-kali tidak akan percaya kepada kami, sekalipun kami adalah orang-orang yang benar. (Yusuf: 17)

NABI Yusuf mempunyai kelebihan yang tersendiri berbanding saudara-saudaranya yang lain. Bapa Nabi Yusuf ialah Nabi Yaakub. Nabi Yusuf pernah bermimpi melihat 11 biji bintang, matahari dan bulan. Kesemuanya tunduk kepada Nabi Yusuf. Lalu baginda menceritakan hal ini kepada bapanya. Nabi Yaakub sahaja yang mengetahui tafsiran mimpi anaknya itu.

Walau bagaimanapun, saudara-saudaranya yang lain tidak senang hati melihat kelebihan yang ada pada Nabi Yusuf. Mereka cemburu melihat Nabi Yusuf lebih kacak dan elok wajahnya. Nabi Yusuf juga mempunyai akhlak yang baik dan daya pemikirannya amat tinggi. Mereka berasa cemburu. Apatah lagi apabila bapa mereka lebih menyayangi Nabi Yusuf.

Ini menyebabkan saudara mereka mahu menghapuskan sahaja Nabi Yusuf. Mereka merancang untuk membunuh Nabi Yusuf. Namun, rancangan rancangan ini dihalang oleh Yahuza. Yahuza memberi cadangan agar mereka meninggalkan sahaja Nabi Yusuf di telaga Jub yang letaknya jauh dari rumah mereka. Cadangan Yahuza diterima.

Pada hari yang ditetapkan, mereka meminta izin daripada Nabi Yaakub untuk membawa Nabi Yusuf pergi bersama mereka menggembala kambing.

Sebenarnya Nabi Yaakub berat hati hendak membenarkan mereka membawa Nabi Yusuf. Setelah dipujuk oleh anak-anak itu, akhirnya Nabi Yaakub membenarkan mereka membawa Nabi Yusuf.

Mereka pun pergilah menggembala kambing dengan membawa Nabi Yusuf. Apabila tiba di telaga Jub, mereka membuka pakaian Nabi Yusuf dan menolaknya ke dalam telaga.

“Apakah salahku sehingga kamu semua sanggup menganiaya aku seperti ini?” tanya Nabi Yusuf sayu.

Mereka agak berasa berat hati untuk meninggalkan Nabi Yusuf. Bagaimanapun perasaan cemburu dan tidak senang hati terhadap Nabi Yusuf menyebabkan mereka tidak mempedulikan rayuannya. Nabi Yusuf ditinggalkan keseorangan di situ.

“Aku bimbang ayah akan tahu perbuatan kita ini,” kata salah seorang daripada mereka.

“Itu perkara mudah. Kita beritahu ayah bahawa ketika Yusuf bermain sendirian, tiba-tiba seekor serigala menerkam ke arahnya. Kita cuba menyelamatkannya tetapi tidak berjaya,” kata yang lain pula.

Masing-masing bersetuju dengan cadangan itu. Lalu mereka pun berjalan untuk memburu seekor serigala sebagai bukti. Mereka mahu menjadikan seekor kambing sebagai umpan. Apabila ternampak seekor serigala, mereka bersembunyi dan membiarkan kambing tersebut dimakan oleh serigala itu.

Ketika serigala sedang makan kambing tersebut dengan lahapnya, maka mereka menangkap dan membunuhnya. Kemudian mereka mengambil baju Nabi Yusuf dan melumur baju itu dengan darah kambing yang telah dimakan serigala itu.

Selepas itu, mereka pulang dengan membawa baju Yusuf yang berlumuran darah itu. Apabila tiba di rumah, mereka berpura-pura sedih.

“Wahai ayahku, ketika kami menggembala, Yusuf bermain jauh daripada kami. Tanpa kami sedari, seekor serigala menerkam ke arahnya. Kami tidak berjaya untuk membantunya. Baju ini adalah buktinya,” kata saudaranya yang paling tua.

“Aku tahu, ini adalah disebabkan rasa tidak puas hati kamu semua terhadap dia. Aku hanya mampu berdoa dan bersabar,” kata Nabi Yaakub dengan perasaan sedih.

Mereka terdiam. Hanya penyesalan menyelubungi diri mereka apabila melihat kesedihan bapa mereka. Mereka berdoa agar Nabi Yusuf diambil oleh sesiapa yang melalui kawasan itu.

*INFORMASI

Ketika Nabi Yusuf dibuang ke dalam perigi, baginda dijumpai oleh beberapa orang pedagang Madyan lalu dijual kepada seorang pembesar Mesir.

- Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd.

Tel: 03-6137 9220 atau

e-mel: edusb@streamyx. com.

PERBENDAHARAAN KATA

*tafsiran: keterangan dan penjelasan

*menganiaya: perbuatan yang menyakiti atau menyeksa menzalimi

*menyelubungi: menutupi atau membaluti, timbul pada

Pengajaran

*Sesungguhnya sifat hasad dengki perlu dijauhi oleh kita.

*Seseorang itu tidak boleh menganiaya orang lain.

*Sesiapa yang berada di pihak yang benar, pasti Allah akan menolongnya

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0413&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm#ixzz4tWMvHPWb
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment