Ad

Tuesday, 19 September 2017

Zaaba pencetus kebangkitan Melayu



Ahad, 14 Mei 2017 | 7:42am
Oleh Datuk Wan Mohd Mahyiddin
 
ZAABA atau nama asalnya Zainal Abidin Ahmad, seorang tokoh ilmuwan yang sangat dikenali rakyat dan mendapat sanjungan sebagai seorang pendeta.

Usahanya yang gigih meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa terulung di negara kita tatkala penjajahan British cuba menghalang pelaksanaannya. Beliau menulis buku karang-mengarang Melayu untuk diketengahkan kepada masyarakat dan menjadi rujukan pelajar dan pendidik.

Beliau bukan sahaja tokoh sarjana tetapi seorang penganalisis mengenai peradaban orang Melayu dalam semua aspek iaitu perkembangan agama, kemiskinan ekonomi, ancaman politik dan unsur yang menyebabkan kemunduran. Beliau adalah penterjemah buku bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu di samping menulis rencana dalam akhbar.

Dalam keadaan negara berada di bawah penjajahan, beliau seorang nasionalis yang mendedahkan tindakan penjajah yang bakal melemahkan orang Melayu. Beliau seorang tokoh bangsa Melayu yang berusaha menjadi bangsanya lebih baik. Zaaba adalah keturunan Bugis-Minangkabau yang lahir pada 1895 di Batu Kikir, berhampiran Jempol, Negeri Sembilan.

Selain Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang dipimpin oleh Ibrahim Yaakob dan Ishak Haji Muhammad yang bercorak nasional, persatuan Melayu yang lain adalah bersifat negeri. Zaaba menyertai Pergerakan Melayu Selangor pada 1935 dan memegang jawatan Yang Dipertua selepas Tengku Ismail Tengku Muhammad Yassin meninggal.

Buka fikiran Melayu

Zaaba didapati amat radikal dengan kefahaman kebangsaan dan fahaman agama seperti tersiar dalam Hadiah Kebangsaan yang diterbitkan oleh Syed Sheikh Al-Hadi. Ia memperkenalkan kemiskinan dalam masyarakat Melayu disebabkan adat lama seperti fahaman tahyul yang mereka warisi. Beliau mahu membuka fikiran orang Melayu untuk mencari kemajuan, yakni mengubah nilai budaya ke arah lebih baik.

Tujuan Zaaba adalah untuk memperbaiki keadaan orang Melayu selepas mendedahkan kekurangan mereka. Beliau sendiri tidak menyenangi tulisan Abdullah Munshi, yang terlalu mengagungkan orang Inggeris seolah-olah tiada cacat-cela mereka itu. Beliau adalah pelopor dalam bahasa dan persuratan Melayu, teori karang mengarang, tata bahasa serta kae-dah ejaan Jawi dan Rumi. Sekiranya tiada Zaaba, kita tidak akan bersua dengan ejaan moden dalam tulisan Jawi dan Rumi.

Selepas tamat Perang Jepun, Harold MacMichael datang untuk mengambil tandatangan Raja-Raja Melayu bagi menyerahkan negeri mereka di bawah rancangan Malayan Union. Orang bukan Melayu akan diberi kerakyatan melalui dasar yang liberal. Kepada orang Melayu, ini adalah 'pukulan maut' yang dibawa British. Malah ada bekas pentadbir British di Tanah Melayu yang bangun menentang rancangan ini. Ini adalah satu volte-face (keterbalikkan sepenuhnya) yang akan menguburkan orang Melayu sebagai satu bangsa.

Daripada sifat kenegerian masing-masing, orang Melayu mula bersatu. Zaaba menghubungi Yang Dipertua Pergerakan Melayu Semenanjung, Datuk Onn Jaafar dan Yang Dipertua Ikatan Melayu, Perak, Datuk Panglima Bukit Gantang, bagi memulakan penentangan terhadap Malayan Union. Tetapi usaha beliau tidak mendapat sambutan, kata Tan Sri Abdul Samad Idris, dalam bukunya 25 Tahun Merdeka.

Zaaba melalui pergerakannya menghantar telegram kepada Setiausaha Tanah Jajahan British menyatakan bantahan terhadap Malayan Union. Zaaba berjaya mendapatkan kedua-dua tokoh berkenaan untuk bangun menentang gagasan ini. Dalam jiwa raganya Zaaba sudah berfikir akan membuat sesuatu bagi menggagalkan Malayan Union. Pergerakan dan kesatuan orang Melayu berhimpun di Kongres di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, pada 1 hingga 4 Mac 1946. Di hadapan wakil, Datuk Onn dipilih sebagai pengerusi, manakala Zaaba menjadi setiausahanya tetapi tiada nama Zaaba tercatat walaupun beliau mewakili Pergerakan Melayu Selangor.

Penubuhan UMNO

Di hadapan wakil, Datuk Onn mencadangkan penubuhan United Malay Organization (UMO) tetapi Zaaba membuat pindaan dengan menambah perkataan 'kebangsaan' untuk menjadi pertubuhan ini 'United Malays National Organisation' (UMNO) atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu untuk menunjukkan ia bersifat nasional (bukan negeri). Dalam kongres ini, ia mengambil ketetapan untuk memulaukan istiadat melantik Gabenor Malayan Union dan memohon Raja-Raja Melayu supaya tidak menghadirinya.

Dengan pelaksanaan Malayan Union, hak Raja-Raja Melayu akan hilang dan taraf bangsa Melayu dikurangkan. Sebagai anak watan, Zaaba dalam ucapannya meminta kuasa lebih diberikan kepada orang Melayu. Jika perundingan gagal, kata Zaaba alamat berperanglah. Ini satu bayangan ancaman akan berlaku di antara kedua-dua pihak.

Kongres mengambil ketetapan satu badan menggubal undang-undang tubuh UMNO terdiri daripada Datuk Onn, Datuk Panglima Bukit Gantang dan Datuk Nik Ahmed Kamil. Bagi meneruskan perjuangan, satu mesyuarat diadakan di Johor Bahru pada 11 dan 12 Mei 1946 dan UMNO tertubuh dengan rasminya dengan mesyuarat menerima piagam atau undang-undang tubuh UMNO.

Datuk Onn dipilih sebagai Yang Dipertua dan Datuk Panglima Bukit Gantang sebagai setiausaha agung yang pertama dalam parti ini. Berikutnya satu jawatankuasa terdiri daripada pemimpin UMNO, wakil Raja Melayu dan British berbincang bagi menukarkan Malayan Union dengan Persekutuan Tanah Melayu. Raja-Raja Melayu akan kembali ke kedudukan asal mereka dan hak istimewa orang Melayu dikekalkan.

Tanah Melayu tidak menjadi koloni British dan digantikan dengan nama 'Persekutuan'. Sebuah jawatankuasa mengenai kerakyatan untuk penduduk Tanah Melayu, ditubuhkan. Sebagai pejuang nasionalisme, tugas Zaaba menentang Malayan Union selesai dan tidak perlu lagi berada di hadapan. Sebenarnya Zaaba lebih minat menulis mengenai pelbagai aspek kehidupan dan peradaban orang Melayu. Ia lebih sebagai penulis daripada seorang pemimpin. Mungkin tidak ada karya besar jika beliau menumpukan masa sebagai pemimpin.

Lagipun Zaaba bukan seorang pemidato, beliau akui dan kesihatannya tidak berapa baik. Pada 1947 beliau dihantar ke London sebagai pensyarah bahasa Melayu di Pusat Pengajian Bahasa Timur dan Afrika. Zaaba selaku orang yang gigih mencari ilmu ketika di London, belajar dan mendalami bahasa Arab, Belanda dan Sejarah. Beliau mengambil peperiksaan akhir dalam ilmu ini selepas kembali ke tanah air pada 1950.

Zaaba dilantik menjadi pensyarah kanan di Jabatan Universiti Malaya di Singapura pada November 1952 (sebelum mendapat Ijazah dari Universiti London). Atas usahanya dalam bahasa dan persuratan, Zaaba digelar Raja Bahasa Melayu Moden. Dalam Kongres Bahasa Persuratan Melayu Ketiga pada 1956 di Johor Bahru, beliau diberi gelaran 'Pendeta' dan kemudiannya Doktor Kehormat dianugerahkan oleh Universiti Malaya.

Zaaba sangat merendah diri dan tidak mahu gelaran seperti ini tetapi masyarakat Melayu mengiktiraf seorang sarjana yang wujud dalam kalangan mereka.

Profil: Zainal Abidin Ahmad

Lahir pada 16 September 1895

Anugerah diterima

- 1956: Gelaran Pendeta Bahasa Melayu pada Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga

- 1959: Doktor Persuratan dari Universiti Malaya

-1962: Panglima Mangku Negara membawa gelaran Tan Sri

-1973: Ijazah Doktor Kehormat Persuratan dari Universiti

Kebangsaan Malaysia

*Penulis adalah Bekas Ketua Pegawai Penyelidik UMNO
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Ahad, 14 Mei 2017 | 7:42am

No comments:

Post a Comment