ARKIB : 06/06/2007
Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD
ALBAKRI
SAYID Qutub berkata: Rujukan
kepada Bani Israel di sini merupakan satu rujukan yang tabie kerana ia
mengingatkan sikap Bani Israel yang teragak-agak menyambut dakwah.
Sikap mereka yang menolak dan
enggan memasuki ke dalam kedamaian dengan keseluruhan jiwa mereka. Mereka juga
degil dan menuntut mukjizat-mukjizat, kemudian sikap mereka yang terus keras
kepala dan kufur. Sikap-sikap inilah yang menjadi penggelincir-penggelincir
jalan yang diperingatkan Allah kepada kaum Muslimin supaya mereka
menghindarinya agar mereka terselamat dari akibat kecelakaan yang telah menimpa
Bani Israel.
Firman Allah, Bertanyalah
kepada Bani Israel, berapa banyak keterangan-keterangan yang telah Kami berikan
kepada mereka (sedang mereka masih ingkar)? Dan sesiapa menukar nikmat
keterangan Allah (dengan mengambil kekufuran sebagai gantinya) sesudah nikmat
itu sampai kepada-Nya, maka (hendaklah ia mengetahui) sesungguhnya Allah amat
berat azab seksa-Nya. (al-Baqarah: 211)
Firman Allah s.w.t: Bertanyalah
kepada Bani Israel, berapa banyak keterangan-keterangan yang telah Kami berikan
kepada mereka (sedang mereka masih ingkar)? Ibn Kathir menyebut: Allah
berfirman menceritakan kisah Bani Israel berapa banyak yang telah mereka
saksikan bersama Nabi Musa, hujah dan bukti yang benar yang telah dibawa kepada
mereka seperti tangannya yang boleh mengeluarkan cahaya. Tongkatnya yang boleh
bertukar menjadi ular, dapat membelah lautan dan boleh memukul batu sehingga
keluarnya air.
Begitu juga dengan awan
melindungi mereka dari panahan terik matahari dan diturunkan kepada mereka
rezeki daripada al-Man dan al-Salwa. Begitu juga dengan perkara yang
mencarikkan adat berlaku kepada Nabi Musa. Namun malangnya Bani Israel banyak
berpaling dan ingkar di samping menukar nikmat Allah dengan kekufuran. Mereka
menjual keimanan dengan kufur dan berpaling daripada-Nya.
Syeikh Syarawi membahaskan
dengan panjang lebar berkenaan persoalan yang diajukan kepada Bani Israel ini.
Al-Mawardi berkata: Ulama berselisih pendapat berkenaan dengan persoalan
terhadap Bani Israel:
* Nabi mereka.
* Ulama mereka.
* Kesemuanya.
Pertanyaan ini tidak terhenti
setakat hakikatnya (yang lahir sahaja). Malah pertanyaan ini merupakan salah
satu cara penerangan untuk menjelaskan betapa banyaknya bukti-bukti kebenaran
yang telah ditunjukkan Allah kepada Bani Israel. Dan betapa banyaknya mukjizat
yang diperlihatkan kepada mereka sama ada atas permintaan mereka atau kerana
kedegilan mereka atau diperlihatkan terus secara langsung kepada mereka kerana
sesuatu hikmat yang tertentu.
Walaupun sebanyak mana mukjizat
yang telah diperlihatkan kepada mereka, namun mereka masih bersikap ragu-ragu,
teragak-agak, degil dan menjauhkan diri dari kedamaian yang memayungi dengan
naungan keimanan.
Nikmat
Firman Allah s.w.t: Dan sesiapa
menukar nikmat keterangan Allah (dengan mengambil kekufuran sebagai gantinya)
sesudah nikmat itu sampai kepada-Nya, maka (hendaklah ia mengetahui)
sesungguhnya Allah amat berat azab seksa-Nya.
Nikmat Allah yang disebutkan di
sini ialah nikmat kedamaian atau nikmat keimanan, kedua-duanya seerti sahaja.
Amaran dari perbuatan menukarkan nikmat itu adalah tepat dengan sikap Bani
Israel dan keadaan mereka yang dinafikan dari nikmat kedamaian, ketenteraman dan
kemantapan sejak mereka menukarkan nikmat Allah dan mereka enggan mematuhi
perintah Allah dengan menyerah kepada arahan-Nya.
Mereka selama-lamanya bersikap
ragu-ragu, teragak-agak dan meminta-minta bukti mukjizat pada setiap langkah
dan harakat. Kemudian mereka tidak juga percaya kepada mukjizat dan yakin
kepada nur Allah dan hidayat-Nya.
Ancaman dengan keseksaan Allah
yang amat berat itu memang sesuai dengan sikap Bani Israel, juga sesuai
orang-orang yang menukarkan nikmat Allah dan berlagak angkuh terhadapnya di
setiap zaman.
Al-Sonhadji berkata: Allah
menyuruh Nabi s.a.w bertanya kepada kaum Yahudi di Madinah bukan bertanya
untuk mengetahui, kerana Nabi s.a.w sudah diberitahu oleh Allah. Pertanyaan itu
sekadar untuk mengeji tentang keengganan mereka untuk mengakui nikmat-nikmat
Allah yang telah mereka terima, supaya mereka ingat kembali kepada Allah dan
bersyukur kepada-Nya atau istifhamun taqriri.
Pertanyaan yang tidak berhajat
kepada jawapan, berapa banyak Allah telah anugerahkan kepada mereka seperti
kebangkitan Nabi Musa a.s, mukjizat tongkatnya, tangannya bercahaya putih,
terbelahnya Laut Merah, tenggelamnya Firaun di hadapan mata mereka, mereka
dilindungi awan, dikurniakan manisan yang bernama Manna dan burung Salwa.
Perjanjian
Semuanya itu adalah ayat
(keterangan-keterangan) Allah yang nyata, tetapi mereka salahi dengan membunuh
para Nabi dan utusan Allah, mereka juga telah mengubah perjanjian dan wasiat
Allah. Allah menyatakan; barang siapa menukar nikmat Allah (agama Islam) setelah
datang kepadanya, iaitu mengubah peraturan agama Islam, tidak mahu beramal
dengannya ataupun mengingkarinya, Allah akan menyediakan baginya seksa yang
amat pedih.
Kesimpulan dari ayat 208 hingga
211 ditakwilkan seperti berikut: Hai orang-orang yang beriman dengan Taurat!
Percayalah kamu kepada Taurat dan masuklah kesemuanya ke dalam agama Islam.
Tinggalkanlah pekerti kufur dan segala seruan syaitan yang membawa kesesatan.
Kamu telah pun didatangkan keterangan-keterangan yang nyata daripada-Ku (Allah)
dan Muhammad yang telah menunjukkan kepada kamu beberapa bukti maka janganlah
kamu ubah perjanjian-Ku kepada kamu dan segala apa yang dibawanya daripada-Ku
yang tersebut di dalam kitab Taurat kamu bahawa dialah (Muhammad) Nabi dan
utusan-Ku. Maka barang siapa mengubah atau menukarkannya nescaya Ku sediakan
seksa yang amat sangat pedihnya
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0606&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz4u8S14QDl
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment