Ad

Friday 22 September 2017

Beregu emas bakal terima habuan



ARKIB : 13/03/2007
KUALA LUMPUR – Juara baru Seluruh England, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong bakal menikmati imbuhan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas menamatkan kemarau 25 tahun negara, kelmarin.

Kien Keat-Boon Heong, yang menumpaskan beregu nombor satu dunia dan juara dunia, Cai Yun-Fu Haifeng dari China 21-15, 21-18 pada saingan akhir akan meraih imbuhan RM10,000 setiap seorang.

Menurut Pengurus Besar BAM, Kenny Goh, pemberian insentif itu adalah bagi menghargai kejayaan serta kerja keras kedua-dua pemain dalam meniti kejayaan.

“Menurut skim ganjaran BAM, kami menghadiahkan 25 peratus daripada jumlah hadiah kemenangan yang diraih pemain pada sesuatu kejohanan sebagai galakan kepada mereka.

“Kien Keat-Boon Heong meraih AS$14,400 (RM50,425) selaku juara Seluruh England, dan 25 peratus daripada jumlah berkenaan adalah RM10,000.

“Kami harap pemberian insentif ini dapat menggalakkan mereka untuk lebih berjaya dan bekerja keras. BAM amat berbangga dengan kejayaan yang diraih mereka.

Faktor

“Kien Keat dan Boong Heong tidak berada di kalangan ranking terbaik dunia dalam beberapa kejohanan, tetapi mereka telah mengetepikan faktor itu untuk bergelar juara,’’ kata Kenny.

Kejohanan Seluruh England bagaimanapun tidak berada dalam senarai skim ganjaran Majlis Sukan Negara (MSN) kerana setakat ini hanya Kejohanan Dunia, Sukan Olimpik, Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan SEA berada dalam skim insentif badan sukan negara itu.

Timbalan Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong bagaimanapun menganggap juara baru beregu Seluruh England, Kien Keat-Boon Heong layak mendapat ganjaran tertentu sekalipun kejohanan badminton tertua dunia itu tidak tersenarai dalam Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam).

Beliau berkata, ganjaran berkenaan tetap wajar diberikan kepada mereka memandangkan inilah kejayaan yang mengakhiri penantian negara selama 25 tahun sejak Razif dan Jalani Sidek melakukannya pada 1982.

“Saya rasa Menteri Belia dan Sukan (Datuk Azalina Othman Said) mempunyai kata putus mengenai ganjaran untuk mereka sekalipun Seluruh England tidak seperti Kejohanan Dunia, Sukan SEA, Komanwel, Asia dan Olimpik yang disenaraikan di bawah Shakam,” katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0313&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4tOHAxfMn
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment