Ad

Thursday, 21 September 2017

Kandungan Maryam


ARKIB : 02/03/2007
Kisah Al-Quran - Siri 30
Kandungan Maryam
MARYAM berkata: “Bagaimana akan ada bagiku seorang anak laki-laki, sedang tidak pernah seorang manusia pun menyentuhku dan aku bukan (pula) seorang penzina? Jibril berkata: Demikian Tuhanmu berfirman “Hal itu adalah mudah bagi-Ku; dan agar dapat Kami menjadikannya suatu tanda bagi manusia dan sebagai rahmat bagi Kami; dan hal itu adalah suatu perkara yang sudah diputuskan. (Maryam: 20-21)

MARYAM merupakan ibu kepada Nabi Isa. Semasa kecil, Maryam dihantar ke sebuah tempat ibadah oleh bapa saudaranya, Nabi Zakaria.

Pada suatu hari, ketika Maryam sedang beribadat kepada Allah, datanglah Malaikat Jibril dalam bentuk pemuda yang tampan agar Maryam tidak ketakutan.

“Aku datang sebagai utusan Allah. Dia akan memberimu seorang anak lelaki yang suci dan kudus,” kata Malaikat Jibril.

Maryam terkejut mendengar kata-kata itu. “Bagaimana aku boleh memperoleh anak lelaki sedangkan aku masih belum berkahwin? Aku masih belum pernah disentuh oleh mana-mana lelaki,” balas Maryam.

“Apabila Allah s.w.t. menghendaki sesuatu perkara itu terjadi, maka akan jadilah ia. Dia Maha Berkuasa di atas segala-galanya,” jawab Malaikat Jibril.

Malaikat Jibril pun terus berlalu meninggalkan Maryam kebingungan. Masyarakat pasti akan menghina dan mencercanya. Beliau masih belum berkahwin. Sekiranya mengandung, pasti orang akan menuduhnya melakukan zina.

Oleh sebab itu, Maryam terpaksa melarikan diri dari Baitulmaqdis. Beliau pulang ke kampung halamannya di Annashirah. Di kampung, Maryam memencilkan diri daripada orang kampung. Beliau enggan menemui sesiapa pun termasuklah keluarganya sendiri. Beliau berpura-pura tidak sihat.

Sepanjang masa Maryam mengabdikan dirinya dan beribadat kepada Allah. Beliau bermohon agar dikuatkan semangatnya untuk menghadapi cemuhan daripada masyarakat kelak. Maryam memperoleh ketenangan yang didambakan dengan keizinan Allah.

Allah memperkenankan doa hamba-Nya yang soleh. Maryam melalui hari-harinya dengan ketabahan sehinggalah beliau selamat melahirkan bayi yang dikandungkannya itu. Beliau memberi nama anaknya Isa yang bakal menjadi nabi bagi kaum Bani Israel serta membawa kitab Injil.

PENGAJARAN

*Tidak ada perkara yang mustahil untuk berlaku. Jika Allah berkehendakkan perkara itu terjadi, maka dengan sekelip mata ia akan terjadi, kerana Allah itu Maha Berkuasa di atas segala-galanya.

- Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel: edusb@streamyx. com.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0302&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz4tKvt8rs9
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment