Ad

Thursday, 21 September 2017

Adib lega Kim Swee kekal

Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
 
KAPTEN skuad bawah 22 tahun (B-22) negara Adib Zainudin menganggap keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melanjutkan kontrak jurulatih Datuk Ong Kim Swee cukup penting dalam misi mereka mengharungi pusingan akhir Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di China Januari tahun depan.

Pemain pertahanan tengah itu berkata, kehadiran Kim Swee untuk terus bersama pasukan memberi sedikit kelebihan dalam melakukan persiapan rapi selepas ini.

“Pada saya keputusan itu tepat apabila jurulatih Datuk Ong Kim Swee terus kekal melatih pasukan ini. Beliau sudah buktikan dengan dua kejutan mara ke Kejohanan AFC dan final Sukan SEA Kuala Lumpur.

“Beliau sudah mengenali pemain dan pemain pula sudah serasi dengan corak latihan, taktikal yang diterapkan. Ini memberi sedikit kelebihan kerana Kejohanan AFC itu sudah semakin hampir,” katanya kepada Arena Metro.

Kim Swee, 46, secara dasarnya sudah bersetuju untuk menandatangani kontrak lanjutan selepas kontrak dua tahunnya bersama FAM bakal berakhir Disember ini.

Pengakuan itu dibuat sehari selepas Presiden FAM Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyatakan badan induk itu berminat untuk terus menggunakan khidmat Kim Swee.

Kejayaan melepasi halangan kelayakan Kejohanan AFC B-23 di Bangkok Julai lalu dan mara ke final Sukan SEA sebelum tewas 0-1 kepada Thailand menjadi faktor utama keputusan FAM mengekalkan Kim Swee yang dikatakan turut mendapat tawaran kelab Indonesia.

Adib, 22, bagaimanapun menegaskan semua pemain tidak boleh berasa selesa dengan Kim Swee.

“Mungkin ada orang cakap, jurulatih sama, pemain tetap sama. Peluang pemain lain tak ada. Pada saya tidak. Saya percaya Datuk Ong hanya akan memilih pemain berdasarkan prestasi. Beliau pandai mengesan bakat baru, tidak mustahil akan ada pemain lain dibawa masuk. Jadi, pemain lama perlu berusaha keras untuk kekal bersama pasukan,” kata pemain kelab FELCRA FC itu.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 9:38 PM

No comments:

Post a Comment