ARKIB : 03/04/2007
Prof. Madya Dr. Ahmad Zaki Berahim
@ Ibrahim.
Ketokohan Nabi Muhammad s.a.w.
sebagai pesuruh Allah bukan sahaja diiktiraf dan diakui oleh umat Islam. Dalam
sebuah buku In The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History,
Michael Hart menyenaraikan baginda di kedudukan pertama senarai tersebut.
Katanya, Nabi Muhammad adalah
satu-satunya manusia yang amat berjaya dalam kehidupan dunia dan akhirat.
Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN
dan jurufoto, MOHD. SHARIFUL HAFIZAL menemu bual Ketua Jabatan Sejarah dan
Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Ahmad
Zaki Berahim @ Ibrahim bagi membicarakan sirah Rasulullah ini.
MEGA: Setiap tahun kita
menyambut Maulidur Rasul pada 12 Rabiulawal. Apakah cara terbaik menyambut
majlis ini?
DR. AHMAD ZAKI: Tarikh 12
Rabiulawal hampir disepakati oleh ilmuwan dan sejarawan Islam sebagai tarikh
kelahiran Rasulullah s.a.w.
Perayaan pertama dalam Islam
ialah Aidilfitri dan Aidiladha di mana kita disunatkan memperbanyakkan takbir
dan tahmid kepada Allah.
Perayaan kedua ialah yang
dibentuk dan lahir kemudian di kalangan pemimpin masyarakat. Ia mengambil
sempena peristiwa penting dalam sejarah kehidupan Rasulullah. Tergolong dalam
kelompok ini diwakili oleh perayaan seperti hijratur rasul dan Maulidur Rasul.
Cara terbaik menyambut Maulidur
Rasul ialah menjadikan kisah sejarah baginda sebagai iktibar dan diaplikasi
dalam kehidupan seharian. Dengan kata lain, menjadikan Rasulullah sebagai idola
yang diteladani oleh setiap umatnya.
Dalam masa yang sama, kita
perlu mempamerkan keindahan dan kebaikan Islam melalui aktiviti kemasyarakatan
seharian dengan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.
Bagaimanakah bentuk kecintaan
terhadap Rasulullah yang perlu dipupuk dalam setiap kali kita menyambut
Maulidur Rasul?
DR. AHMAD ZAKI: Kecintaan
kepada Allah dan Rasulullah adalah asas dan bukti sahnya iman seseorang dalam
menegakkan Islam. Ia perlu diletakkan mengatasi cinta kepada perkara lain sama
ada ibu bapa, isteri, suami mahu pun anak-anak.
Allah berfirman: Katakanlah
jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri kaum keluargamu,
harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya
dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai lebih kamu cintai daripada Allah
dan rasul-Nya dan (dari) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga
Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya) kerana Allah tidak memberi
petunjuk kepada orang-orang fasik. (At-Taubah: 24)
Pernyataan ini menjelaskan
hakikat kecintaan kepada Allah dan rasul sehingga Allah membariskan hampir
semua aktiviti kita sama ada sosial dan ekonomi terikat dengan pernyataan Allah
dan rasul utusan-Nya.
Cinta kepada Rasulullah
mengikat keperluan menyertakan tindakan seseorang dengan kehendak Allah dan
rasul. Selain itu, ia menuntut kita berjihad atau berusaha menegakkan peraturan
dan hidayah Allah di alam ini.
Zaman Rasulullah terbukti zaman
gemilang umat Islam. Justeru, apakah peranan umat Islam dalam mengembalikan
kegemilangan tamadun Islam masa kini?
DR. AHMAD ZAKI: Adalah menjadi
tanggungjawab semua orang Islam menggembleng tenaga menanam nilai tinggi dan
faktor material lain untuk mengembalikan semula kegemilangan tamadun Islam
seperti yang terserlah pada zaman lampau.
Kegemilangan tamadun Islam pada
zaman baginda bukan sekadar penguasaan faktor fizikal seperti ekonomi dan
ketenteraan tetapi lebih daripada itu. Ia merangkumi sistem, nilai dan metod
gantian kepada sistem yang sedang berjalan dan menguasai manusia ketika itu.
Oleh itu, kita perlu melakukan
perubahan ke arah penguasaan faktor fizikal seperti ekonomi serta perubahan
keperibadian dan minda. Selain itu, meyakini kebaikan sistem Islam dan
menghayatinya dalam seluruh kehidupan.
Harus disedari dari perspektif
al-Quran yang dianalisa dengan baik oleh Ibn Khaldun bahawa persoalan
kebangkitan dan keruntuhan sesuatu tamadun terikat kepada hukum kitaran antara
pelbagai komuniti masyarakat.
Ia bergantung kepada perubahan
nilai dan faktor ketinggian bagi masyarakat yang ingin bangkit dengan
tamadunnya ketika wujudnya faktor rendah pada masyarakat yang mengakhiri zaman
kegemilangannya.
Baginda ada bersabda: Aku
tinggalkan kamu dua perkara, selagi mana kalau berpegang kepadanya nescaya kamu
tidak akan sesat, iaitu al-Quran dan sunahku. Namun dalam banyak hal, umat
Islam tidak merujuk kepada kedua-dua sumber ini apabila berhadapan masalah.
Bagaimana membetulkan keadaan ini?
DR. AHMAD ZAKI: Ini berkait
dengan kelemahan iman dan kurang kesedaran tentang kewajipan menjadikan
kedua-dua sumber rujukan itu sebagai panduan hidup.
Bagi mengatasinya, usaha
mempertingkatkan kualiti iman masyarakat melalui pendidikan akidah yang mantap
perlu dilakukan. Ia perlu disusuli dengan meningkatkan kesedaran keperluan
terikat dan beriltizam dengan kedua-dua sumber tersebut serta memperluaskan
kefahaman tentang al-Quran dan hadis.
Bagi maksud ini, kita perlu
mendisiplinkan diri mewujudkan jadual khas untuk bersama al-Quran. Bukan
setakat membacanya tetapi juga berusaha memahami kalam Allah itu. Bagi
mempraktikkannya, kita boleh memasukkan aktiviti ini dalam diari harian
sebagaimana kita menjadualkan aktiviti berjoging atau membaca akhbar.
Ini juga bertepatan dengan
firman Allah: Maka, bacalah apa yang mudah (bagimu) dari al-Quran dan dirikanlah
solat...(Al-Muzammil: 20)
Dalam konteks mereka yang
mengingkari sunah, Imam Syafie menegaskan bahawa mengingkari sunah bermakna
mengingkari al-Quran. Dalam negara Islam, langkah tegas perlu diambil bagi
membanteras perkara ini. Sebabnya, teras negara Islam sebagai mana disebutkan
oleh Ibn Khaldun ialah menjaga agama dan mengurus pemerintahan berasaskan
agama.
Ramai yang memberi alasan sukar
mengikut sunah Nabi kerana kita adalah manusia biasa dan tidak maksum sebagai
mana Rasulullah. Benarkah dakwaan ini?
DR. AHMAD ZAKI: Menjadikan
alasan sebagai manusia biasa yang tidak maksum sebagaimana Rasulullah bagi
mewajarkan tidak mengikut sunah adalah jahat. Ia juga adalah penghinaan kepada
Rasulullah bahkan boleh menjadikan iman seseorang itu tercemar dan terbatal.
Sebenarnya, kesukaran mengikut
sunah nabi tidak harus timbul. Ini kerana pengajaran Rasul bermaksud petunjuk
kepada manusia. Bahkan perlakuan baginda adalah dalam ruang kemampuan manusia
melakukannya.
Contohnya di dalam kesulitan
seperti bermusafir terdapat kelonggaran atau rukhsah berasaskan kemudahan solat
jamak dan qasar.
Konsep maksum Rasulullah bukan
bermakna ajaran dan agama khusus kepada kategori manusia tertentu sahaja.
Sebaliknya, maksum para rasul bermaksud pemeliharaan Allah terhadap
perlakuannya agar tidak terkeluar dari landasan Allah bagi mewajarkan baginda
dijadikan contoh ikutan.
Ada juga yang berpendapat
mengadakan sambutan Maulidur Rasul ini bidaah. Jadi, adakah kita boleh
menyambutnya atau tidak?
DR. AHMAD ZAKI: Adalah kurang
tepat mengkategorikan sambutan Maulidur Rasul sebagai bidaah yang tidak boleh
diteruskan. Kecualilah jika sambutannya diwarnai dengan amalan yang terlarang
dalam agama.
Ibnu Taimiyah sendiri ketika
melihat dan mengkategorikan bentuk penyelewengan dalam masyarakat zaman
hidupnya kepada dua iaitu penyelewengan bidaah dan penyelewengan maksiat.
Penyelewengan bidaah ialah tasawur atau tanggapan salah mengenai sesuatu
perkara berkaitan Islam.
Penyelewengan maksiat pula
adalah perlanggaran seseorang kepada tuntutan dan kewajipan syariah dalam
keadaan tasawur dan tanggapan mindanya mengenai perkara itu dalam Islam masih
betul. Contoh, meninggalkan solat dengan tanggapan dalam mindanya sembahyang
itu adalah wajib.
Dalam sudut lain, pembudayaan
ibadat qiamullail yang dilakukan oleh pemimpin umat dan pergerakan Islam semasa
secara berjemaah mungkin juga termasuk dalam bidaah. Sebabnya, konsep ibadat
malam mengikut sunah baginda adalah dilakukan secara bersendirian ketika orang
lain nyenyak diulit mimpi.
Bahkan dalam satu pernyataan,
Rasulullah menuntut ibadat itu sebagai amalan hidup keluarga mengungkapkan
mendapat rahmat lelaki yang bangun malam kemudian berwuduk dan solat. Akhirnya
mengejutkan isterinya, jika tidak bangun maka percikkan air ke mukanya
(isteri).
Pada waktu ini, pergerakan
Islam merencanakan ibadat ini secara berjemaah dengan maksud mengembalikan
amalan ini dalam kehidupan masyarakat.
Dengan maksud sebeginilah
perencanaan Maulidur Rasul dilakukan supaya menghidupkan kesedaran umat serta
menghayati kecintaan kepada Rasulullah. Oleh itu, adalah sedikit keterlaluan
meletakkannya sebagai bidaah.
Bukan semua amalan yang tidak
terdapat pada zaman nabi adalah bidaah terlarang. Orang yang menganjurkan
sesuatu program yang baik itu akan mendapat pahala berasas kuantiti pihak yang
memperoleh manfaat daripadanya. Begitulah sebaliknya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0403&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz4tVSqe16Q
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment