Ad

Wednesday 31 May 2017

Negeri Sembilan ke Liga Super



ARKIB : 04/07/2005

KUALA LUMPUR - Negeri Sembilan menjadi pasukan pertama daripada Liga Perdana berjaya melayakkan diri ke saingan Liga Super musim depan selepas mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Polis di padang UiTM Shah Alam, semalam.

Dibantu oleh kegagalan PKNS untuk menewaskan Terengganu apabila sekar mencatat keputusan seri 1-1 membolehkan Negeri Sembilan dinobatkan selaku juara Liga Perdana Kumpulan A.

K. Rajan meletakkan Negeri Sembilan di depan pada minit ke-45 sebelum Latif Seriki menambah gol kedua pada minit ke-83 manakala gol ketiga menyusul menerusi Christian Bekamenga pada minit ke-88.

Bagaimanapun, saingan dalam Kumpulan A masih terbuka walaupun Selangor berjaya menewaskan Kedah 1-0 di Stadium Darul Aman.

Kini Selangor berdepan dengan satu lagi ujian apabila MK Land kini menjadi penghalang terbaru yang boleh meleburkan impian Merah Kuning untuk mengikut jejak langkah Negeri Sembilan dengan baki dua perlawanan yang tinggal.

Gol kemenangan Selangor dijaringkan oleh Muhammad Khalid Jamlus pada minit ke-37 apabila merembat kencang di penjuru kiri gol tuan rumah.

Kekecewaan 35,000 penyokong tuan rumah apabila Kedah gagal mengambil peluang dengan Selangor yang bermain dengan sembilan pemain apabila Khalid dan Amri Yahyah di buang padang pada minit ke-42 dan ke-57.

Di Stadium Selayang, penyerang import baru Mario Mijatobic dari Croatia meledakkan jaringan hatrik bagi membantu MK Land mencapai kemenangan besar menewaskan TNB 4-1.

Kemenangan itu cukup menggembirakan buat MK Land untuk menduduki tangga kedua liga memintas Kedah yang tewas 0-1 kepada Selangor.

Kini MK Land berpeluang cerah untuk menyekat hajat Merah Kuning daripada layak ke Liga Super musim depan.

Di Stadium Hang Tuah, Melaka mengutip tiga mata berharga apabila mencapai kemenangan tipis 1-0 ke atas NTFA.

Gol kemenangan Melaka dijaringkan oleh Farderin Kader menerusi tandukan kencangnya pada minit ke-11.

Di Stadium Negara Hasanal Bolkiah, Kuala Lumpur mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Brunei.

Di Stadium Petaling Jaya, PKNS gagal mencuri peluang dengan kelebihan bermain di gelanggang sendiri apabila sekadar mencatat keputusan seri 1-1 bertemu Terengganu.

Keputusan itu meleburkan impian PKNS untuk mencabar Negeri Sembilan menjulang Liga Perdana.

Di Stadium Jcorp Pasir Gudang, Johor FC memahatkan kemenangan selesa apabila menewaskan Johor 1-0.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0704&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4ihql94N2
© Utusan Melayu (M) Bhd

Perlis juara Liga Super


 

ARKIB : 03/07/2005
Perlis juara Liga Super
Pemain Perlis termasuk jurulatih Abdul Rahman Ibrahim (tiga dari kanan) bergembira meraikan kejayaan skuad Singa Utara apabila dinobatkan selaku juara Liga Super musim 2005 selepas menewaskan Pulau Pinang 1-0 di Stadium Utama, Kangar, semalam.

PERLIS 1 P. PINANG 0
MPPJ 1 PERAK 5
SABAH 4 TELEKOM 1
PAHANG 0 PUBLIC BANK 0

KUALA LUMPUR - Perlis mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai juara bola sepak Liga Super selepas menewaskan Pulau Pinang 1-0 di Stadium Utama di Kangar, semalam.

Kemenangan tersebut sekali gus meletakkan penyandang juara Piala Malaysia itu sebagai pasukan kedua menjuarai liga itu selepas Pahang pada musim lalu.

Gol kemenangan skuad Singa Utara dijaringkan oleh Manzoor Azwira Abdul Wahid pada minit ke-40.

Kemenangan manis itu turut disaksikan oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Syed Sirajuddin Jamalullail dan Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA).

Sejurus pengadil perlawanan meniup wisel penamat, stadium Utama gamat dengan pekik sorak di kalangan 20,000 penyokong yang hadir selain kesebelasan utama Perlis berpelukan sesama sendiri meraikan kejayaan manis menjulang Piala Liga Super.

Perlis yang kini memungut 41 mata dan kedudukan itu tidak mampu dicabar oleh pasukan lain walaupun skuad Singa Utara masih mempunyai baki dua perlawanan perlu diharungi.

Mereka akan bertemu Public Bank dan Telekom Melaka.

Piala Liga Super hanya akan diserahkan kepada Perlis selepas perlawanan terakhir dengan Telekom Melaka di Stadium Utama pada 9 Julai ini.

Di Stadium Darul Makmur, Pahang gagal menggunakan peluang bermain di gelanggang sendiri apabila sekadar seri 0-0 bertemu Public Bank.

Kehadiran pemain import baru Pahang dari Mesir, Khaled Ragab Abdelgany di bahagian tengah juga gagal membantu untuk mengutip kemenangan.

Lebih menghampakan persembahan kedua-dua pasukan jelas hambar selain tidak ada gerakan menarik dipamerkan.

Di Stadium Likas, jaringan hatrik pemain import, Julio Cesar membantu Sabah bertindak garang apabila membelasah Telekom 4-1.

Cesar membuka tirai jaringan pertama pada minit ke-25 sebelum menambah gol kedua menerusi sepakan penalti pada minit ke-45 dan gol ketiga menyusul pada minit ke-51.

Gol keempat tuan rumah dijaringkan oleh Joey Ryan Gundok pada minit ke-75 manakala gol tunggal Telekom pula menerusi Mohd. Hardi Jaafar pada minit ke-48 menerusi sepakan penalti.

Di Stadium Petaling Jaya, Perak meneruskan aksi cemerlang untuk terus kekal berada di tangga ketiga selepas membelasah MPPJ 5-1.

Penyerang import dari Liberia, Fran Seator sekali lagi beraksi cemerlang apabila mencipta jaringan hatrik pada minit ke-56, ke-64 dan ke-72.

Manakala dua gol lagi menerusi Syamsol Saad (m-20) dan Ahmad Shahrul (m-54).

Gol tunggal MPPJ dijaringkan oleh Ben Katanha pada minit ke-43.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0703&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4ihlowPym
© Utusan Melayu (M) Bhd

JDT gagal ke final Zon ASEAN Piala AFC



 GABRIEL GUERRA (kanan) menjaringkan gol tunggal JDT dalam perlawanan
GABRIEL GUERRA (kanan) menjaringkan gol tunggal JDT dalam perlawanan Piala AFC menentang Ceres Negros di Stadium Panaad, Bolocod City, sebentar tadi.

Nor Azan Fitri Ahmad Hidzir

31 Mei 2017 9:32 PM

KUALA LUMPUR 31 Mei - Harapan juara 2015, Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk melangkah ke aski final peringkat Zon ASEAN Piala AFC tidak kesampaian selepas tewas 1-2 kepada Ceres Negros menerusi jaringan penalti masa kecederaan dalam aksi timbal balas yang berlangsung di Stadium Panaad, Bolocod City, sebentar tadi.

Meskipun agregat jaringan terikat 4-4, namun kelebihan dua jaringan Ceres Negros ketika aksi pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin yang menyaksikan mereka tewas 2-3 kepada Harimau Selatan sudah memadai untuk mereka menempah aksi final menentang Home United dari Singapura di pentas akhir.

Dalam perlawanan tersebut, JDT juga terpaksa menamatkan saingan dengan 10 pemain selepas penjaga gol mereka, Mohd. Farizal Marlias dilayangkan kad merah pada waktu kecederaan kerana bertindak menolak pengadil.

Ketika pasukan Benjamin Mora sedang bersemangat memburu kemenangan di bumi Filipina, mereka dikejutkan dengan jaringan awal Kota Kawase pada minit ke-26 sekali gus meletakkan skuad Harimau Selatan dalam keadaan bahaya.

Seandainya jaringan itu kekal sehingga tamat permainan, Ceres Negros akan mara menerusi kelebihan jaringan di tempat lawan.

Bagaimanapun, sejurus babak kedua bermula, JDT menampilkan aksi bertenaga menerusi gerakan-gerakan menarik bagi mencari gol penting dalam perlawanan itu.

Hasil kerja keras mereka akhirnya membuahkan hasil apabila Gabriel Guerra meledak jaringan penyamaan buat pasukan pelawat pada minit ke-66.

Ketika perlawanan hampir pasti berkesudahan seri 1-1, pasukan tuan rumah diberikan sepakan penalti selepas Aidil Zafuan Abd. Radzak mengasari pemain tuan rumah ketika mereka sedang mengambil sepakan penjuru.

Kesempatan yang diberikan itu tidak dipersia-siakan tuan rumah apabila penyerang mereka, Fernando Rodriguez mudah mengelirukan Farizal untuk meraih gol kemenangan Ceres Negros.

Seolah-olah tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil, Farizal kemudian bertindak menolak pengadil perlawanan menyebabkan dia dibuang padang pada waktu kecederaan yang sekali gus memaksa JDT beraksi dengan hanya 10 pemain. - UTUSAN ONLINE

SUMBERArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/jdt-gagal-ke-final-zon-asean-piala-afc-1.488067#ixzz4ig2coC8Y
© Utusan Melayu (M) Bhd

PKM letak senjata pengalaman tidak dapat dilupakan



ARKIB : 30/06/2005

Oleh: YUSRI SAHAT

``SAYA dilahirkan sebagai seorang pejuang,'' demikian kata-kata Ketua Polis Perlis, Datuk Ali Hanafiah yang menceritakan pengalamannya sepanjang 36 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Meskipun pada dasarnya peranan utama anggota polis ialah membanteras jenayah namun ia sedikit berbeza dengan tanggungjawab dimainkan oleh anak kelahiran Alor Star, Kedah ini.

Sepanjang penglibatan, tugasannya lebih menjuruskan kepada keselamatan negara walaupun tanggungjawab membanteras jenayah tidak pernah diketepikan.

Pelbagai peristiwa yang menjadi sejarah hitam negara termasuk di peringkat antarabangsa menyaksikan Ali sebagai antara `pelakonnya'.

Dengan semangat juang tinggi yang ada padanya, kudrat beliau sentiasa diperlukan bagi menghapuskan sebarang bentuk gerakan mengancam keselamatan negara.

Dari segi penampilan, lagak Ali lebih terserlah sebagai seorang anggota tentera walaupun berada dalam pasukan polis.

Menceritakan sedikit sebanyak pengalamannya, Ali yang berpangkat Senior Asisten Komisioner I (SAC I) dilahirkan di Simpang Empat, Alor Star pada 2 Julai 1949.

Berbekalkan kelulusan Senior Cambridge, beliau menyertai perkhidmatan PDRM pada 16 Jun 1969 dan terus diberi tanggungjawab komander platun Pasukan Polis Hutan (PPH) di Pengkalan Chepa, Kelantan dan Sungai Petani, Kedah.

Dalam usia muda, beliau memimpin 42 anggota menggempur kegiatan Parti Komunis Malaya (PKM) di perbatasan Malaysia-Thailand.

Sebagai ketua pasukan gempur, tugas tersebut memerlukan semangat juang amat tinggi terutama pada saat-saat kritikal yang memerlukan satu keputusan pantas.

Antara gerakan itu termasuk Gerakan Hentam, Gerakan Sedar, Gerakan Chaiyo, Gerakan Kota Echo dan Gerakan Setia.

Beliau kemudian diserapkan dalam pelbagai cawangan seperti Pegawai Risik PPH, Kompeni Komander PPH, Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah, Pegawai Pendakwa, Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Perak dan Timbalan Komander Briged Utara PPH Perak dan Komander Briged Pasukan Gerakan Am Sabah.

Beliau juga pernah menjadi pensyarah undang-undang Pusat Latihan Polis (Pulapol) beberapa tahun lalu.

Menurut Ali, antara pengalaman tidak dapat dilupakan ialah peristiwa peletakan senjata PKM di Hatyai, Thailand pada 2 Disember 1989.

Dalam peristiwa tersebut, beliau yang ketika itu memegang jawatan Komander PPH di Perak antara pihak terlibat sebagai orang tengah dalam proses meletakkan senjata itu.

``Saya antara pihak yang memudahkan cara serta menguruskan proses peletakan senjata PKM,'' katanya ketika ditemui di Padang Besar baru-baru ini.

Dalam pada itu, katanya, beliau turut bertindak sebagai pengajar kepada bakal pegawai pemerintah Batalion PPH ketika menjadi Komandan Sekolah Latihan Asas Pasukan Polis Hutan (SLPPH) di Keroh, Perak.

Kejayaannya menjalankan tanggungjawab sebagai tenaga pengajar sekali lagi diperlukan untuk melatih para pegawai PDRM untuk misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Kemboja, Afrika Selatan, Timor Leste dan Bosnia Herzegovina.

Difahamkan bahawa kurikulum dan bentuk latihan untuk misi pengaman PBB yang diamalkan sekarang merupakan hasil idea Ali sendiri.

Pada 1997-1998, beliau sendiri dipilih sebagai Komander Kontinjen PDRM untuk misi pengaman di Bosnia Herzegovina.

Ketika itu, beliau dipertanggungjawabkan merangka latihan peralihan untuk pasukan polis tempatan daripada menggunakan dasar-dasar sosialis kepada polisi demokratik yang diguna pakai oleh negara-negara Komanwel.

Beliau seterusnya dilantik Komander Kawasan Banja Luka dan mengetuai pasukan pengaman sehingga tertangkapnya Perdana Menteri Serbia, Slobadan Milosevic dan Presidennya, Beljana Karasvic.

Di atas sumbangan besarnya di negara bergolak itu, beliau dianugerahi Pingat PBB oleh Setiausaha Agung pertubuhan itu, Kofi Annan.

Sekembali dari Bosnia Herzegovina pada tahun 1999, Ali dilantik Ketua Polis Daerah Cheras, Kuala Lumpur.

Beliau dilantik Ketua Polis Perlis pada September 2004.

Sepanjang sembilan bulan berkhidmat, namanya terus harum apabila Perlis diisytiharkan negeri paling rendah kadar jenayah dengan catatan satu atau dua kes sehari.

Namun, persaraannya bermula 2 Julai ini akan menyebabkan PDRM kehilangan seorang anggota berjiwa pejuang.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0630&pub=Utusan_Malaysia&sec=Polis_%26_Tentera&pg=te_02.htm#ixzz4ig0LQzON
© Utusan Melayu (M) Bhd

Peluru sejengkal dari kepala



ARKIB : 30/06/2005

Oleh: AMIR SARIFUDIN

``Pergi ke sekolah tanpa duit saku mahupun membawa bekalan bagi mengalas perut, ia sesuatu yang kerap dan sudah menjadi rutin kehidupan saya.

``Semua ini kerana kemiskinan keluarga. Namun, saya tidak pernah merungut atau meminta dari keluarga mahupun rakan-rakan sekolah.

``Saya dapat melupakan kelaparan yang ditanggung sepanjang berada di sekolah. Untuk itu saya akan bermain bersama rakan-rakan bagi melupakan kemiskinan hidup,'' kata Ketua Balai Polis Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, Sarjan Mejar Noordin Othman, 48, ketika memulakan perbualan.

Dilahirkan di Kampung Simpol Besar, Tikam Batu, Kedah, beliau merupakan anak ketiga daripada lima beradik.

``Saya kemudian memohon jawatan konstabel walaupun masih belajar di tingkatan lima. Ketika itu saya hendak ambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kali kedua.

``Walaupun saya melalui temuduga tetapi semua itu saya rahsiakan daripada keluarga.

``Apabila tiba masa hendak menjalani latihan konstabel, barulah saya maklumkan,'' katanya.

Ibu dan bapa Noordin terpaksa akur dengan kehendak anak mereka mahu memilih kerjaya polis.

Beliau mula menyertai pasukan polis pada Jun 1977 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.

Noordin kemudian diserapkan dalam Pasukan Polis Hutan (PPH).

Ketika dalam PPH, beliau pernah kehilangan rakan setugas yang terbunuh setelah terpijak jerangkap samar.

``Ketika itu rakan saya, Tan, hendak memasang jerangkap samar. Tanpa disedari kawasan itu juga ada jerangkap samar pengganas komunis.

``Rakan saya itu mati setelah terkena jerangkap samar,'' katanya.

Satu lagi pengalaman menarik berlaku ketika Noordin menyertai operasi dalam hutan belantara bersempadankan Perak-Thailand.

Ketika itu beliau bersama rakannya ditugaskan menjejaki kesan pengganas komunis.

``Ketika sedang menjejaki itu, tiba-tiba saya terdengar bunyi dua das tembakan.

``Saya berada di sebelah pokok ketika itu. Dua tembakan itu hanya sejengkal dari kepala saya dan tersasar pada pokok berkenaan.

``Saya bernasib baik tetapi terkejut,'' katanya menceritakan pengalaman berkenaan.

Kegagalan komunis menembak anggota polis itu menyebabkan pengganas berkenaan melarikan diri.

``Memang nyawa saya masih panjang kalau tembakan itu tepat, tak tahulah apa yang berlaku,'' katanya.

Bagi Noordin, ketika dalam PPH, hubungan anggota dan pegawai amat erat sekali.

``Ketika saya tidur dalam hutan, rakan lain akan jaga keselamatan saya.

``Begitu juga sebaliknya, apabila rakan lain tidur, saya pula menjaga mereka.

``Keadaan ini menyebabkan kami bagaikan satu keluarga. Makan, minum dan bergerak bersama. Memang sukar mencari suasana erat dan persahabatan yang amat akrab ketika dalam PPH yang kini ditukar namanya kepada Pasukan Gerakan Am,'' katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0630&pub=Utusan_Malaysia&sec=Polis_%26_Tentera&pg=te_04.htm#ixzz4ifxuASMr
© Utusan Melayu (M) Bhd