Ad

Monday 29 May 2017

Malaysia catat sejarah badminton



ARKIB : 20/05/2005

Oleh Norzie Mohd. Khasbi
 KUALA LUMPUR - Pasukan badminton negara melakar sejarah apabila buat kali pertamanya berjaya melayakkan diri dalam semua lima acara pada Kejohanan Dunia di Los Angeles, Ogos ini.

Malaysia kini akan memiliki wakil dalam perseorangan dan beregu lelaki, perseorangan dan beregu wanita serta beregu campuran pada kejohanan 15-21 Ogos itu.

Malah, ia juga merupakan petanda baik buat pemain-pemain wanita, apatah lagi mempunyai dua wakil dalam acara perseorangan - Wong Mew Choo dan M. Sutheaswari serta beregu - Wong Pei Tty-Chin Eei Hui dan Ooi Sock Ai-Mooi Hing Yau.

Ini juga kali pertama Malaysia akan menghantar dua pasangan dalam beregu campuran, Koo Kien Keat-Pei Tty dan Mohd. Fairuzizuan Tazari-Mooi Hing.

Bagi ketua jurulatih kebangsaan, Yap Kim Hock, ini merupakan kejayaan manis kedua Malaysia dalam tempoh dua minggu selepas berjaya kembali ke Divisyen Satu Piala Sudirman, bulan lalu.

``Jumlah penyertaan yang bertambah, terutama dalam beregu wanita dan campuran menunjukkan bahawa badminton Malaysia sudah banyak meningkat sejak dua tahun lalu,'' kata ketua jurulatih negara, Yap Kim Hock.

``Pemain-pemain kita mula mempamer kemajuan besar selepas Sukan Olimpik Athens tahun lalu,''

Setiap negara diberi tiga kuota jika terdapat tiga atau lebih pemainnya berada dalam kedudukan 24 terbaik dunia.

Dalam acara perseorangan lelaki, lima pemain Malaysia layak untuk beraksi pada Kejohanan Dunia - Lee Choong Wei (ranking ke-4), Muhd. Hafiz Hashim (6), Wong Choong Hann (11), Kuan Beng Hong (12) dan Sairul Amar Ayob (13)

Bagaimanapun hanya tiga daripada mereka akan dipilih oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan senarai akhir pemain akan diserahkan pada akhir Julai ini, iaitu selepas berakhirnya Terbuka Singapura dan Malaysia.

Pemain veteran, Muhd. Roslin Hashim gagal melayakkan diri selepas sekadar menduduki ranking ke-29.

Dalam beregu lelaki, empat beregu negara layak - Chan Chong Ming-Koo Kien Keat (8), Tan Bin Shen-Ong Soon Hock (13), Mohd. Fairuzizuan Tazari-Lin Woon Fui (14) dan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah (19). Hanya tiga akan mewakili Malaysia.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0520&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iXBA6yRb
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment