Ad

Wednesday, 31 May 2017

Perlis juara Liga Super


 

ARKIB : 03/07/2005
Perlis juara Liga Super
Pemain Perlis termasuk jurulatih Abdul Rahman Ibrahim (tiga dari kanan) bergembira meraikan kejayaan skuad Singa Utara apabila dinobatkan selaku juara Liga Super musim 2005 selepas menewaskan Pulau Pinang 1-0 di Stadium Utama, Kangar, semalam.

PERLIS 1 P. PINANG 0
MPPJ 1 PERAK 5
SABAH 4 TELEKOM 1
PAHANG 0 PUBLIC BANK 0

KUALA LUMPUR - Perlis mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai juara bola sepak Liga Super selepas menewaskan Pulau Pinang 1-0 di Stadium Utama di Kangar, semalam.

Kemenangan tersebut sekali gus meletakkan penyandang juara Piala Malaysia itu sebagai pasukan kedua menjuarai liga itu selepas Pahang pada musim lalu.

Gol kemenangan skuad Singa Utara dijaringkan oleh Manzoor Azwira Abdul Wahid pada minit ke-40.

Kemenangan manis itu turut disaksikan oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Syed Sirajuddin Jamalullail dan Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA).

Sejurus pengadil perlawanan meniup wisel penamat, stadium Utama gamat dengan pekik sorak di kalangan 20,000 penyokong yang hadir selain kesebelasan utama Perlis berpelukan sesama sendiri meraikan kejayaan manis menjulang Piala Liga Super.

Perlis yang kini memungut 41 mata dan kedudukan itu tidak mampu dicabar oleh pasukan lain walaupun skuad Singa Utara masih mempunyai baki dua perlawanan perlu diharungi.

Mereka akan bertemu Public Bank dan Telekom Melaka.

Piala Liga Super hanya akan diserahkan kepada Perlis selepas perlawanan terakhir dengan Telekom Melaka di Stadium Utama pada 9 Julai ini.

Di Stadium Darul Makmur, Pahang gagal menggunakan peluang bermain di gelanggang sendiri apabila sekadar seri 0-0 bertemu Public Bank.

Kehadiran pemain import baru Pahang dari Mesir, Khaled Ragab Abdelgany di bahagian tengah juga gagal membantu untuk mengutip kemenangan.

Lebih menghampakan persembahan kedua-dua pasukan jelas hambar selain tidak ada gerakan menarik dipamerkan.

Di Stadium Likas, jaringan hatrik pemain import, Julio Cesar membantu Sabah bertindak garang apabila membelasah Telekom 4-1.

Cesar membuka tirai jaringan pertama pada minit ke-25 sebelum menambah gol kedua menerusi sepakan penalti pada minit ke-45 dan gol ketiga menyusul pada minit ke-51.

Gol keempat tuan rumah dijaringkan oleh Joey Ryan Gundok pada minit ke-75 manakala gol tunggal Telekom pula menerusi Mohd. Hardi Jaafar pada minit ke-48 menerusi sepakan penalti.

Di Stadium Petaling Jaya, Perak meneruskan aksi cemerlang untuk terus kekal berada di tangga ketiga selepas membelasah MPPJ 5-1.

Penyerang import dari Liberia, Fran Seator sekali lagi beraksi cemerlang apabila mencipta jaringan hatrik pada minit ke-56, ke-64 dan ke-72.

Manakala dua gol lagi menerusi Syamsol Saad (m-20) dan Ahmad Shahrul (m-54).

Gol tunggal MPPJ dijaringkan oleh Ben Katanha pada minit ke-43.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0703&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4ihlowPym
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment