Ad

Wednesday, 31 May 2017

Chong Wei juara selepas atasi Roslin



ARKIB : 20/06/2005

KUANTAN - Lee Chong Wei muncul juara perseorangan lelaki setelah menumpaskan Mohd. Roslin Hashim pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Sirkit Kebangsaan Proton 2005-Terbuka Pahang di Stadium Sukan Pahang di sini, semalam.

Chong Wei bagaimanapun membuatkan para peminatnya gelisah pada satu ketika sebelum menewaskan Roslin dengan 15-13, 15-10.

Ketinggalan pada awal set pertama, Chong Wei mengekalkan aksi tenang untuk mengejar dari kedudukan 0-6 untuk mengumpul mata demi mata sebelum menamatkan permainan dengan keputusan 15-13.

Menyambung aksi cemerlangnya, pemain nombor satu negara itu terus menguaai set kedua menerusi kawalan gelanggang yang baik untuk menjinakkan Roslin.

Pemain pilihan pertama itu menggondol hadiah wang tunai RM4,000 manakala Roslin sebagai naib juara meraih hadiah wang tunai RM2,000.

Dalam pertemuan beregu lelaki pula, pasangan Tan Bin Shen dan Ong Soon Hock berjaya menewaskan pasangan Wong Choong Hann-Chew Choon Eng dengan keputusan 15-7, 15-3.

Sebagai juara beregu, Bin Shen-Soon Hock membawa RM6,000 manakala naib juara, Choong Hann-Choon Eng memenangi wang tunai RM3,000.

Sementara itu Wong Mew Choo membawa pulang RM2,000 selaku juara perseorangan wanita setelah menumpaskan Julia Wong juga dengan keputusan 11-5, 13-10.

Julia menerima RM1,000 selaku naib juara.

Chong Wei ketika ditemui pemberita menyifatkan kejayaannya ke atas Roslin tidak dicapai dengan mudah walaupun menang straight set.

``Saya tidak anggap perlawanan malam ini mudah kerana Roslin memberikan tentangan yang hebat dan kejohanan ini pula saya manfaatkan sebagai persiapan untuk Kejohanan Dunia pada Ogos depan,'' katanya.

Katanya, adalah penting untuk dia bermain sebaik mungkin pada setiap kejohanan sama ada tempatan atau pun antarabangsa bagi menilai prestasi permainannya dari semasa ke semasa.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0620&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4ifClrpYE
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment