6 Mei 2017
Lee Chong Wei.
KERJA berpasukan yang baik akan
meningkatkan semangat dan daya motivasi skuad badminton negara untuk melakukan
kejutan pada Kejohanan Piala Sudirman di
Gold Coast, Australia dari 21 hingga 25 Mei ini.
Jaguh perseorangan negara,
Datuk Lee Chong Wei berkata selain itu, kekuatan mental serta keyakinan diri
juga penting untuk membantu pasukan memberikan tentangan sengit dalam setiap
perlawanan pada kejohanan berpasukan campuran itu.
Chong Wei, selaku ketua
pasukan, berkata semua pemain perlu merangka strategi terbaik dalam menghadapi
perlawanan peringkat kumpulan C iaitu menentang Jepun dan Jerman terlebih
dahulu kerana semua pemain sudah boleh menjangkakan kekuatan dan kelemahan
pencabar masing-masing.
"Dalam cabaran peringkat
kumpulan, kita boleh jangka siapa pemain
lawan yang akan diturunkan, jadi sangat penting dalam kejohanan seperti ini
adalah kerja berpasukan. Sokongan daripada rakan sepasukan sangat
penting," katanya.
Skuad negara perlu muncul juara
peringkat kumpulan bagi mengelak bertemu pasukan pilihan utama pada peringkat
seterusnya, kata pemain veteran itu ketika ditemui pada sesi latihan di Akademi
Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, di sini, baru-baru ini.
Chong Wei turut yakin barisan
pemain yang diturunkan kali ini mempunyai potensi untuk mara sehingga ke
separuh akhir.
Selain Chong Wei, skuad negara
dibarisi pemain perseorangan lelaki,
Iskandar Zulkarnain Zainuddin,
Goh V Shem/Tan Wee Kiong dan Teo Ee Yi/Ong Yew Sin (beregu lelaki), Chan
Peng Soon/Cheah Yee See dan Tan Kia Meng/Lai Pei Jing (beregu campuran).
Goh Jin Wei dan Sonia Cheah
(perseorangan wanita), Vivian Hoo/Woon Khe Wei dan Chow Mei Kuan/ Lee Meng Yean
(beregu wanita).
Sebagai rekod, juara bertahan
China mendominasi kejuaraan Piala Sudirman sebanyak 10 kali (1995, 1997, 1999,
2001, 2005, 2007, 2009, 2011, 2013, 2015)
diikuti Korea Selatan tiga kali (1991, 1993, 2003) dan Indonesia sekali
pada tahun 1989. –Bernama
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 6
Mei 2017
No comments:
Post a Comment